Isu Ibu Tumpang : Kepada Siapa Anak Tersebut Dinasabkan

Sebelum ini kita telah berbicara mengenai hukum ibu tumpang atau penyewaan rahim ini. Kebanyakan Ahli Feqah berpendapat haram hukumnya aktiviti penyewaan rahim ini secara mutlak demi memelihara ikatan keibuan yang terbentuk secara semulajadi dan mengelak dari berlakunya percampuran nasab. Namun sebahagian lain Ahli2 Feqah pula berpendapat dibolehkan aktiviti penyewaan rahim ini jika berlaku di antara isteri2 yang berkongsi suami dengan adanya keperluan yang menuntut. Ini kerana jika proses ini berlaku di antara madu2 bagi suami tersebut ia dikategorikan di dalam aspek saling tolong menolong sesama mereka yang bertepatan dengan kehendak syarak demi merealisasikan impian seorang wanita yang berkeinginan untuk menimang cahaya mata tetapi tidak berkemampuan untuk mengandung dan melahirkan. Tetapi apabila berlakunya proses ini timbullah persoalan mengenai siapakah sebenarnya ibu yang diberi hak untuk dinasabkan bayi itu untuk dan tersabit di antara mereka hak warisan. Adakah bayi tersebut dinasabkan kepada ibu pemilik benih atau kepada ibu yang bersusah payah mengandung dan melahirkannya? Secara saintifiknya benih seseorang ibu itu akan mewarisi sifat2 genetik biologi kepada bayi tersebut tetapi bagi pemilik rahim yang disewa (ibu tumpang) pula bayi tersebut tidak akan mewarisi apa2 sifat biologi dari ibu tumpang itu kecuali hanya beberapa perkara yang diwarisi hasil dari faktor pemakanan ketika ibu tersebut mengandung sehingga melahirkannya.

Ahli2 Feqah masa kini berselisih pendapat mengenai masalah nasab ibu apabila berlakunya aktiviti penyewaan rahim ini kepada beberapa pendapat utama :

PENDAPAT PERTAMA : Bayi yang lahir melalui aktiviti penyewaan rahim ini dinasabkan kepada ibu yang mengandung dan melahirkannya bukan dinasabkan kepada ibu pemilik benih.

Hujah bagi pendapat ini ialah ibu sepertimana yang disebut oleh nas Al-Quran ialah yang bersusah payah menanggung penderitaan sepanjang tempoh kehamilan dan yang melahirkan bayi tersebut. Hal ini bertepatan dengan ayat Al-Quran yang berbunyi :

قال الله تعالى : إن أمهتهم إلا الئ ولدنهم

yang bermaksud : Ibu2 mereka tidak lain hanyalah perempuan2 yang melahirkan mereka. Allah SWT juga ada menyebut di dalam potongan ayat Al-Quran lain yang berbunyi :

قال الله تعالى : حملته أمه كرها ووضعته كرها

ertinya : Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.

PENDAPAT KEDUA : Ibu sebenar bagi bayi itu ialah individu pemilik benih bukannya ibu pemilik rahim (ibu tumpang) tersebut.

Hujah bagi pendapat ini ialah pemilik rahim ini dihukumkan seperti seorang penjaga atau ibu susuan. Walaupun menyusu bayi tersebut dengan susu dari badannya sendiri yang membantu kepada pertumbuhan daging dan tulang bayi tersebut tetapi ibu yang menyusu tersebut tetap tidak dikategorikan sebagai ibu sebenar bagi bayi itu. Bagi pemilik benih pula dia merupakan individu yang memiliki sifat2 genetik biologi yang akan diwarisi oleh bayi tersebut. Maka di dalam hal ini ibu pemilik benih inilah yang berhak ke atas bayi tersebut dan dinasabkan bayi itu kepadanya.

PENDAPAT KETIGA : Ikatan keibuan itu dikongsi bersama di antara ibu pemilik benih dan ibu tumpang tersebut dan anak yang lahir dari proses penyewaan rahim ini dinasabkan kepada kedua2 individu tersebut. Kedua2 individu ini akan bersama2 menjaga dan mencurahkan kasih sayang mereka demi membesarkan bayi tersebut.

Hujah bagi pendapat ini ialah ikatan keibuan itu bukanlah bergantung kepada sifat genetik biologi itu semata2 tetapi juga bergantung kepada penderitaan yang ditanggung ketika tempoh kehamilan itu. Jika dilihat dari perspektif ilmu Fiqh juga tiada larangan ke atas seseorang individu itu untuk memiliki ayah atau ibu lebih dari seorang. Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang berbunyi :

حديث ابن عباس أن النبي قال : يحرم من الرضاعة ما يحرم من النسب

yang bermaksud : diharamkan saudara2 susuan itu sepertimana diharamkan saudara2 senasab.

Maka jelaslah di sini ahli2 Feqah kontemporari berhajat kepada kajian dan penelitian yang rapi untuk menetapkan hukum syarak yang berkaitan dengan isu2 baru di dalam bidang perubatan moden ini. Golongan ini juga perlu meletakkan rang undang2 demi memelihara sistem perundangan syarak yang merangkumi hak semua pihak yang terlibat dengan menitikkan faktor keseimbangan dan keadilan agar perkara ini dapat diselesaikan tanpa mengguris perasaan atau menganiayai mana2 pihak.