Hukum Mengembalikan Selaput Dara

Apakah maksud mengembalikan selaput dara? Mengembalikan selaput dara ialah proses untuk menampal semula selaput dara yang telah terkoyak atau proses untuk mewujudkan selaput dara yang baru bagi menggantikan selaput dara yang telah terkoyak. Selaput dara ini atau di dalam bahasa inggerisnya disebut hymen ialah lapisan membran yang nipis dan lembut yang terletak di antara mulut vagina bagi seseorang perempuan. Secara teorinya, selaput dara yang terkoyak sebelum perkahwinan disebabkan oleh beberapa faktor tertentu. Jika difikirkan secara negatif, tentulah koyakan selaput dara ini disebabkan berlakunya hubungan kelamin yang diharamkan oleh syarak. Tetapi jika difikirkan secara positif, koyakan selaput dara ini mungkin disebabkan oleh berlakunya sesuatu kemalangan yang mengakibatkan kecederaan di bahagian tersebut atau seseorang itu sejak dari azali lagi tidak mempunyai selaput dara.

Masyarakat dunia berbeza pandangan mengenai kepentingan selaput dara ini iaitu sebagai lambang keperawanan bagi seseorang wanita. Sebagaimana masyarakat Islam dunia berpendapat selaput dara ini merupakan lambang mahkota sejati bagi seseorang wanita, masyarakat barat pula beranggapan wanita yang memiliki dara ialah golongan yang tidak mempunyai pengalaman di dalam melakukan hubungan seksual dan mereka ini seolah-olah tidak berkeinginan untuk melakukan perkara tersebut.

Pada dasarnya, pembedahan untuk mengembalikan selaput dara ini merupakan isu baru yang muncul selepas berkembangnya ilmu sains perubatan ini. Kejayaan kepada pembedahan ini mengundang kepada kekusutan apabila wanita-wanita yang mengalami kekoyakan selaput dara sebelum menempuhi gerbang perkahwinan antara golongan awal yang melakukan pembedahan ini. Malah di dalam masyarakat Islam kini, wanita-wanita yang mampu untuk menempuhi gerbang perkahwinan tanpa sebarang halangan sama ada halangan dari keluarga atau masyarakat setempat juga memohon untuk melakukan pembedahan ini. Hal ini membuatkan para doktor yang melakukan pembedahan ini merasa bingung kerana mereka ini telah bersubahat dengan golongan wanita tersebut kerana menipu bakal-bakal suami mereka sepertimana golongan doktor ini berasa terpanggil untuk menyelamatkan golongan wanita ini dari sebarang skandal atau dibunuh akibat di pandang serong oleh masyarakat apabila dikatakan telah menjual kehormatan diri mereka. Sebenarnya, pembedahan untuk mengembalikan selaput dara ini bukan sahaja dilakukan oleh wanita-wanita yang belum berkahwin, bahkan juga dilakukan oleh golongan janda dan juga wanita-wanita yang telah diceraikan. Selain itu, hal ini juga mengundang kepada sesetengah golongan isteri untuk melakukan pembedahan ini agar sentiasa merasakan diri itu masih dara dan mengingatkan kepada pasangan suami isteri itu kepada malam pertama perkahwinan mereka.

Ahli-ahli Feqah kontemporari telah berselisih berpendapat berkaitan hukum melakukan pembedahan untuk mengembalikan selaput dara ini iaitu :

PENDAPAT PERTAMA :

Dibolehkan untuk mengembalikan selaput dara ini secara mutlak iaitu dalam apa jua keadaan sekalipun bagi wanita-wanita yang menginginkannya.

Golongan ini berhujah dengan mengatakan tiada nas syarak yang melarang aktiviti ini. Aktiviti ini juga memungkinkan wanita itu untuk bertaubat atau mengelak dirinya dari kefasadan jika pembedahan mengembalikan selaput dara itu mempunyai tujuan yang tertentu. Selain itu, hal ini juga dapat memberikan kepuasan kepada pasangan suami isteri itu dalam melakukan hubungan seks. Ini kerana suami tersebut telah mengetahui status si isteri tersebut sama ada si isteri itu isteri yang telah dikahwininya atau seorang janda atau seorang yang telah diceraikansuaminya. Tetapi jika pembedahan itu dilakukan untuk membohongi suaminya bukan sahaja pembedahan itu diharamkan bahkan juga diharamkan untuk mendedahkan apa saja yang dilarang.

PENDAPAT KEDUA :

Diharamkan secara mutlak untuk melakukan pembedahan mengembalikan selaput dara ini.

Ini kerana antara perkara negatif yang akan berlaku ialah boleh meruntuhkan institusi perkahwinan yang dibina dan juga boleh mengundang kepada berlakunya jenayah pembunuhan. Selain itu, antara perkara negatif lain ialah berlakunya kecurangan, melihat aurat yang dilarang tanpa ada keperluan yang memaksa dan membuka kepada pintu penipuan. Jika wanita itu melakukan perkara tersebut kerana kesalahan dari dirinya sendirinya, maka dia perlu dijatuhi hukuman dan diberi peringatan dan teguran kepada wanita-wanita yang lain. Tetapi jika wanita itu tidak mampu untuk memelihara daranya atas sebab-sebab tertentu maka wanita itu diberi sijil kesihatan dari pihak doktor agar dapat membersihkan namanya dan keluarga dari dipandang serong oleh masyarakat.

PENDAPAT KETIGA :

Golongan ini melihat kepada permintaan untuk melakukan pembedahan ini terbahagi kepada 2 kategori :

PERTAMA : Golongan yang diharamkan untuk melakukan pembedahan mengembalikan selaput dara ini. Golongan ini terdiri daripada 4 golongan. 1) Pelacur yang dikenali dengan sifat buruknya itu. Ini kerana menyembunyikan perkara ini tidak membawa apa-apa manfaat kepadanya sedangkan dia bersenang-senang dengan sesiapa sahaja yang diinginkannya. 2) Janda yang kematian suami selepas disetubuhi. Ini kerana golongan ini tidak berhajat untuk mengembalikan daranya kerana dia mampu untuk menjalinkan hubungan dengan orang lain selepas dikahwininya. 3) Wanita yang diceraikan suaminya selepas disetubuhi. agar ikatan perkahwinan itu terbina secara terang-terangan. 4) Isteri yang ingin mengingatkan suaminya saat malam pertama perkahwinan mereka. Ini kerana perbuatan ini bukan untuk bersenang-senang semata-mata dan dalam masa yang sama golongan isteri ini akan mendedahkan aurat mereka yang dilarang tanpa ada sebarang kemudharatan.

KEDUA : Golongan yang dibolehkan untuk melakukan pembedahan mengembalikan selaput dara. Golongan ini terdir daripada 2 golongan. 1) Sesiapa yang mengalami koyakan selaput dara bukan dari jalan maksiat. Koyakan selaput dara ini membuatkan golongan wanita itu dipandang serong oleh masyarakat. 2) Sesiapa yang mengalami koyakan selaput dara itu melalui jalan yang dikeji tetapi perbuatannya itu tidak diketahui oleh sesiapapun. Pembedahan mengembalikan selaput dara ini membuka pintu taubat bagi wanita tersebut. Ini kerana Allah SWT telah menyembunyikan perkara tersebut dari diketahui oleh umum maka tiada larangan baginya untuk melakukan perkara tersebut. Hal ini seperti Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang berbunyi :

عن أبي هريرة أن النبي قال : لا يستر عبد عبدا في الدنيا إلا ستره الله يوم القيامة

Maksudnya : Seorang hamba yang menyembunyikan perihal hamba yang lain di dunia, Allah SWT akan menyembunyikan perihalnya pada hari Qiyamat.

Jadi jelaslah perubahan di dalam arus masyarakat dan perkembangan dari segi ilmu pengetahuan dan pemikiran membuatkan ahli-ahli Fiqh memerlukan usaha yang lebih mendalam dalam meletakkan sebarang kawalan dan undang-undang yang membezakan di antara kebebasan individu dan juga kesejahteraan masyarakat.

Pengguguran Janin Dari Prospek Perubatan Menurut Perspektif Islam

Pengguguran ialah membuang janin yang terdapat di dalam rahim seseorang wanita yang hamil yang mana janin tersebut masih belum cukup sifat atau masih belum cukup tempoh yang memungkinkannya untuk hidup. Sebenarnya pengguguran ini merupakan suatu masalah yang telah lama melanda sejarah tamadun manusia dan juga perundangannya. Namun selepas berlakunya perkembangan khususnya di dalam bidang ilmu sains dan pengetahuan, isu ini merupakan antara isu kontemporari yang cuba dibasmi oleh semua pihak. Selain itu, janji para doktor kepada kepada semua individu masyarakat yang akan membantu agar janin-janin ini dapat hidup sejak dari peringkat permulaan kehamilan iaitu ketika bercantumnya benih lelaki (sperma) dan benih wanita (ovum) membuktikan isu ini tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana pada peringkat permulaan ini, sel-sel manusia akan membentuk objek-objek yang berbeza yang akan melalui tempoh-tempoh tertentu sehingga lahirnya bayi tersebut. Menurut pandangan syarak janin ini perlu dipelihara di dalam semua peringkat perkembangannya kerana kehidupan yang dimiliki oleh janin adalah suatu kehidupan yang mesti dihormati. Ia dianggap makhluk hidup yang wajib dipelihara dan dijaga sebaiknya. Lalu hukum syarak itu sendiri telah menetapkan agar tidak boleh melakukan penganiayaan ke atas janin ini dengan menggugurkannya kecuali di dalam keadaan darurat atau berdasarkan keperluan perubatan.

Ahli-ahli Fiqh telah bersepakat dengan menyatakan haram melakukan pengguguran janin ini untuk tujuan penganiayaan atau melakukan kezaliman dalam apa jua keadaan sekalipun berdasarkan Firman Allah SWT yang berbunyi :

قال الله تعالى : ولا تعتدوا إن الله لا يحب المعتدين

Maksudnya : Dan janganlah kamu menceroboh(menganiaya) kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh(orang yang melakukan penganiayaan).

Tetapi jika pengguguran itu dilakukan secara terpaksa kerana berlakunya sesuatu kemudharatan maka perbuatan itu tidak mendatangkan dosa sepertimana sebuah Hadis Nabi SAW yang berbunyi :

رفع عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه

Maksudnya : Tidak dikira segala amalan umat-umatku yang dilakukan kerana tersalah, terlupa atau terpaksa melakukannya.

Selain itu Allah SWT juga telah berfirman di dalam Al-Quran yang berbunyi :

قال الله تعالى : فمن اضطر غير باغ ولا عاد فإن ربك غفور رحيم

Maksudnya : Kemudian sesiapa yang terpaksa (kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Dalam apa jua keadaan pengguguran sekalipun, setiap waris yang menggugurkan janin itu diwajibkan untuk mengeluarkan denda (diyat) atau harta pampasan yang dikenali sebagai "ghurrah". Nilai diyat yang dikenakan ialah 150 Dinar jika dihitung dengan nilai emas iaitu kira-kira 425 gram emas atau 600 Dirham jika dihitung dengan nilai perak iaitu kira-kira 1740 gram perak. Tetapi jika pengguguran tersebut dilakukan pada suatu tempoh tertentu di dalam waktu kehamilan, maka waris janin tersebut tidak perlu membayar denda (diyat) tersebut. Namun para Fuqaha' berselisih pendapat berkaitan tempoh tersebut. Menurut pendapat Imam Malik, hak bagi janin tersebut tersabit sejak hari pertama kehamilan lagi. Ini kerana kesempurnaan janin tersebut tidak akan berlaku jika tidak dipeliharanya sejak dari permulaan penciptaan janin tersebut. Menurut pendapat dari Jumhur Fuqaha' pula, hak janin itu tersabit apabila ditiup ruh kepadanya iaitu apabila menjangkau hari yang ke 120 sejak dari permulaan kehamilan. Ini kerana sebelum dari tempoh tersebut, janin itu masih dikategorikan sebagai segumpal darah dan isi. Hal ini berdasarkan sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang berbunyi :

عن ابن مسعود أن النبي قال : إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة ، ثم يكون علقة مثل ذلك ، ثم يكون مضغة مثل ذلك ، ثم يرسل الله الملك فينفخ فيه الروح

Maksudnya : Daripada Ibn Mas'ud sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda : kejadian seseorang manusia itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama 40 hari. Setelah genap 40 hari kedua, terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap 40 hari ketiga, berubah pula menjadi segumpal daging. Kemudian Allah SWT mengutuskan seorang Malaikat untuk meniupkan ruh kepadanya.

Bagi pendapat yang masyhur di kalangan Mazhab Hanbali pula menyatakan hak janin itu tersabit apabila telah sempurna penciptaannya di dalam perut ibu iaitu selepas berlalunya tempoh 6 bulan dari awal kehamilan. Ini kerana golongan ini berpendapat jika sebelum sampai tempoh tersebut, janin itu tidak mungkin dapat hidup jika dilahirkan.

Jadi jelaslah di sini, kemajuan di dalam bidang perubatan ini membuka prospek di dalam bidang Fiqh berkaitan dengan janin ini. Antaranya ialah tempoh yang ditetapkan untuk menggugurkan janin yang cacat iaitu pada minggu-minggu pertama kehamilan dengan melakukan pengguguran yang bukan bertujuan untuk melakukan penganiayaan dengan nasihat dan dilakukan oleh doktor pakar. Selain itu, antara prospek lain ialah pengguguran yang dilakukan di dalam keadaan seseorang ibu yang hamil itu tidak mampu untuk melahirkan anak tersebut atau mengalami kesukaran ketika mengandungkan bayi tersebut yang boleh mendatangkan kebinasaan atau meragut nyawa ibu itu. Adakah para Jumhur Fuqaha' akan berpegang dengan pendapat yang menyatakan tiupan ruh kepada janin itu menjadi asas utama untuk menghormati janin tersebut dan diwajibkan ke atas sesiapa yang menggugurkan janin itu untuk membayar denda (diyat) seperti yang dinyatakan di atas? Ataupun jelas bagi mereka kebijaksanaan Imam Malik dalam melontarkan pendapat yang mensabitkan penghormatan pada janin itu sejak dari hari pertama kehamilan lagi? Ini semua bukanlah pengakhiran kepada kajian dari segi perubatan ini. Ini kerana Imam Malik bersandarkan kepada penelitian dari segi akal dalam mengeluarkan pendapatnya. Manakala bagi golongan perubatan moden pula mereka bersandarkan kepada penelitian dari sudut ilmu sains itu sendiri dalam mengeluarkan pendapat mereka. Jadi secara dasarnya perkara ini masih memerlukan kajian dan perbahasan yang lebih mendalam agar segala kemungkinan yang berkaitan dengan isu ini dapat dikenalpasti dan di atasi.

Hukum Melakukan Pembedahan Kosmetik

Pembedahan kosmetik atau lebih dikenali sebagai pembedahan plastik mula dikenali pada pertengahan era perubatan moden. Pembedahan plastik ini merangkumi dua keadaan iaitu :

PERTAMA : Pembedahan untuk merawat pemandangan luaran manusia yang disebabkan keaiban atau kecacatan semulajadi yang berlaku atau disebabkan oleh faktor luaran seperti kemalangan dan kebakaran.

KEDUA : Pembedahan yang bertujuan untuk menambahkan kecantikan luaran manusia berdasarkan kehendak nafsu semata-mata seperti membesarkan atau mengecilkan buah dada, menegangkan kulit dan sebagainya.

Pembedahan plastik ini telah melalui satu peringkat perkembangan yang amat menakjubkan. Hal ini membawa kepada meningkatnya nisbah kejayaan pembedahan plastik yang dilakukan oleh doktor-doktor pakat ini di negara-negara maju sejak kebelakangan ini. Perkembangan di dalam bidang perubatan ini juga membawa kepada keinginan manusia itu sendiri untuk melakukan pembedahan plastik yang lain seperti mengecilkan lubang hidung, dagu, telinga, membesarkan atau mengecilkan bibir dan lain-lain lagi.

Sebenarnya istilah pembedahan palstik ini berasal daripada perkataan Yunani iaitu "plastikos" yang bermaksud acuan atau membentuk. Tetapi istilah tersebut bukanlah maksud yang sebenar yang digunapakai oleh para doktor pada masa kini. Maksud yang sebenar bagi pembedahan plastik ini seperti yang telah dinyatakan di atas iaitu mengembalikan rupa bentuk asal manusia atau menambahkan kecantikan luaran manusia bagi memperolehi rupa atau anggota yang diingini. Secara logiknya, pembedahan plastik ini merupakan satu lagi isu yang amat penting dan berbahaya yang melanda umat manusia khususnya bagi golongan muda-mudi. Isu ini sebenarnya telah wujud sejak zaman dahulu lagi yang mana golongan Cina dan Hindu telah melakukan amalan bertindak di hidung dan telinga sejak tahun 700 Masihi lagi.

Di dalam syariat Islam pula, isu ini mula timbul pada akhir kurun ke-6 Hijrah yang mana Rasulullah SAW sendiri telah melakukan beberapa perkara yang berkaitan dengan isu kecantikkan ini seperti mewarnakan rambut dan sebagainya sepertimana yang diriwayatkan oleh Al-Tibrani daripada Aisyah R.A yang berbunyi :

غيروا الشيب ولا تشبهوا باليهود والنصارى

Maksudnya : Daripada Aisyah R.A katanya, Rasulullah SAW telah bersabda : ubahlah rambut uban dan jangan menyamai kaum Yahudi dan Nasrani.

Antara perkara lain yang berkaitan dengan isu ini yang berlaku pada zaman awal kemunculan Islam ialah memelihara kehalusan kulit tangan wanita sepertimana hadis diriwayatkan di dalam sebuah Hadis yan berbunyi :

عن صخرة بن سعيد عن جدته عن امرأة من نسائه قالت ، دخل علي رسول الله فقال لي ، اختضبي تترك إحداكن الخضاب حتى تكون يدها كيد الرجال

Maksudnya : Daripada Sokhrah bin Said daripada datuknya daripada seorang wanita dari kalangan mereka telah berkata : Rasulullah SAW telah masuk kepadaku dan bersabda : warnakanlah, kamu meninggalkan khidhob (mengecat dengan inai) hingga tangan kamu menyamai tangan lelaki.

Selain itu, antara perkara lain lagi yang berlaku ialah mengimplan benda lain sebagai ganti kepada anggota sepertimana Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi yang berbunyi:

عن عبد الرحمن بن طرفة أن جلدة أنف عرفجة بن أسعد قطعت يوم كلاب أيام الجاهلية ، فاتخذ أنفا من ورق فضة فأنتن عليه ، فأمره النبي أن يتخذه من ذهب

Maksudnya : Daripada Abd Rahman bin Tarafah sesungguhnya kulit hidung Arfajah bin As'ad telah terpotong pada hari peperangan Kulab pada zaman Jahiliyyah, maka dia menggantikan hidungnya yang rompong itu dengan perak lalu berbau busuk, lalu Nabi Rasullullah SAW memerintahkan agar digantikannya dengan emas.

Secara dasarnya, kebanyakan daripada para penyelidik dan ahli-ahli Fiqh kontemporari tidak melihat pembedahan plastik ini sebagai suatu yang dilarang sekiranya bertujuan untuk merawat keaiban atau kecacatan yang dialami oleh para pesakit. Keaiban dan kecacatan ini boleh membawa kepada gangguan mental pesakit tersebut sekiranya tidak dijalankan pembedahan plastik ini. Secara logiknya, gangguan mental ini lebih teruk jika dibandingkan dengan kesakitan pada anggota badan. Sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik ada berbunyi :

أن النبي قال : يا عباد الله تداووا فإن الله لم يضع داء إلا وضع له شفاء إلا الهرم

Maksudnya : Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda : wahai hambda-hamba Allah sekalian, berubatlah kamu sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan sesuatu penyakit itu melainkan dijadikannya ubat kecuali penyakit tua.

Namun, sebahagian kecil daripada ahli-ahli Fiqh berpendapat haram dilakukan pembedahan plastik ini kerana ianya menolak ketentuan dan takdir Allah dan pembedahan plastik ini juga mengubah ciptaan Allah SWT dan perkara ini merupakan amalan syaitan sepertimana potongan ayat Al-Quran yang berbunyi :

قال الله تعالى : ولأمرنهم فليغيرن خلق الله

Maksudnya : Dan aku akan meyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.

Selain itu, Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud ada menyatakan :

عن ابن مسعود أن النبي قال : لعن الله الواشمات والمستوشمات ، والنامصات والمتنمصات ، والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله

Maksudnya : Allah SWT melaknat orang-orang yang membuat tatu dan yang meminta untuk dibuat tatu, dan orang-orang yang menipiskan bulu kening dan orang-orang yang meminta untuk dinipiskan bulu kening, dan orang-orang yang merenggangkan gigi untuk tujuan kecantikan yang mana perkara ini mengubah ciptaan Allah.

Sebuah lagi Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada berbunyi :

عن أسماء أن امرأة قالت : يا رسول الله إن بنتا لي عروس ، وإنها اشتكت فتمزق شعرها فهل علي جناح إن وصلت لها فيه ؟ فقال : لعن الله الواصلة والمستوصلة

Maksudnya : Daripada Asma' sesungguhnya seorang perempuan datang kepada Nabi lalu berkata : aku ada seorang anak perempuan yang baru melangsungkan perkahwinan, dia telah jatuh sakit lalu rambutnya telah gugur. Adakah boleh bagiku untuk menyambungkan rambutnya itu dengan benda lain (dengan diberi cemara dan sebagainya), lalu Nabi SAW berkata : Allah SAW melaknat orang yang menyambung rambut dan orang-orang yang meminta untuk menyambung rambut.

Jadi isu ini sebenarnya tidak memerlukan kepada kajian yang mendalam dari segi Fiqh untuk menyelesaikan masalah ini. Yang penting adalah dapat membezakan tujuan dilakukan pembedahan ini sama ada tujuannya untuk sia-sia atau kesejahteraan ataupun suatu perkara keperluan atau kemudharatan. Sesungguhnya hukum Syarak itu mendatangkan kesenangan bagi umat manusia dalam meniti perjalanan hidup seharian sepertimana Firman Allah SWT yang berbunyi :

قال الله تعالى : يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر

Maksudnya : Sesungguhnya Allah mendatangkan kesenangan kepada umat manusia dan bukan mendatangkan kesusahan kepada mereka.


Hukum Bank Kulit

Sebelum ini kita ada membincangkan tentang hukum melakukan pembedahan penempelan kulit. Daripada kesan kejayaan pembedahan penempelan kulit ini yang dilakukan bagi sesiapa yang ditimpa musibah yang mengakibatkan kecederaan yang serius di bahagian kulit atau melecur terbakar maka timbullah keperluan untuk mewujudkan bank kulit. Bank kulit ini memainkan peranan untuk menyimpan dan menjaga kulit-kulit yang didermakan oleh para penderma khususnya dari orang yang telah meninggal dunia kemudian kulit-kulit ini akan digunakan ketika mana diperlukan bagi tujuan perubatan sepertimana peranan yang dimainkan oleh bank darah dan juga bank tulang.

Ada tiga cara untuk menyimpan dan menjaga kulit ini :

CARA PERTAMA : Kulit disimpan dan didinginkan pada suhu 4 darjah celcius. Melalui cara ini kulit-kulit ini boleh disimpan selama tempoh tiga minggu.

CARA KEDUA : Kulit dibekukan pada suhu 90 di bawah tahap beku dengan menggunakan nitrogen cair atau sebagainya. Melalui cara ini kulit ini mampu disimpan sehingga tempoh 6 bulan atau lebih.

CARA KETIGA : Kulit dibekukan sehingga kering kemudian dijaga di dalam bentuk serbuk pada suhu bilik iaitu kira-kira 20-25 darjah celcius selama tempoh 18 bulan. Apabila kulit ini hendak digunakan ianya akan dicairkan kembali dengan dicampurkan bersama larutan garam asli kemudian ditempelkan kepada anggota yang terkena musibah.

Secara realitinya, jika dilihat dari cara penyimpanan kulit di atas, kulit-kulit ini disimpan bukan pada waktu yang diperlukan. Hal ini bertentangan dengan pendapat yang membolehkan untuk menanam atau memindahkan anggota badan manusia. Ini kerana pendapat ini mensyaratkan wujudnya keperluan atau keadaan yang mendesak. Jika tidak wujud keadaan ini maka tidak dibolehkan untuk melakukan pemindahan organ atau kulit ini. Tetapi jika pendapat ini diambil kira ianya akan mengundang maut bagi sesiapa yang ditimpa musibah seperti kebakaran dan sebagainya kerana ketidakwujudan bekalan kulit ini akan menyebabkan para doktor tidak dapat mengambil tindakan yang selanjutnya untuk menyelamatkan pesakit tersebut. Hal ini mengundang kepada perbahasan para Fuqaha' kontemporari bagi hukum bank kulit ini kepada 3 pendapat utama :

PENDAPAT PERTAMA :

Boleh untuk mewujudkan bank kulit ini secara mutlak sama ada penderma kulit itu dari individu yang masih hidup atau yang telah meniggal dunia.

Hujah bagi pendapat ini ialah tiada wujudnya nas yang melarang bagi hal ini. Selain itu kewujudan bank kulit ini juga tidak mendatangkan keburukan dan kemudharatan dari segi syarak. Ini kerana keperluan-keperluan semasa menuntut untuk diwujudkan bank kulit manusia ini dengan tujuan untuk menyelamatkan individu-individu yang bakal ditimpa musibah. Ini kerana kemudharatan yang bakal berlaku sama peringkatnya dengan kemudharatan yang telah berlaku. Jadi langkah untuk mewujudkan bank kulit ini merupakan suatu langkah yang terbaik demi untuk mencegah segala kemudharatan ini.

PENDAPAT KEDUA :

Haram untuk mewujudkan bank kulit manusia ini secara mutlak tidak kira sama ada dari individu yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Hujah bagi pendapat ini ialah dibolehkan pembedahan penempelan kulit manusia hanya ketika darurat dan darurat ini pula ada kadar dan hadnya. Hal ini tidak meliputi idea untuk mewujudkan bank kulit manusia kerana bank kulit ini diwujudkan untuk menyimpan dan menjaga kulit-kulit yang telah didermakan oleh para penderma. Penyimpanan ini membuktikan ianya bukanlah suatu darurat bahkan ianya sebagai bekalan kepada para doktor apabila ada pesakit yang ditimpa musibah.

PENDAPAT KETIGA :

Melihat kepada tujuan untuk mewujudkan bank kulit tersebut. Jika kewujudan bank kulit itu untuk menjaga kulit-kulit yang didermakan semasa penderma-penderma tersebut masih hidup maka dibolehkan untuk mewujudkan bank kulit itu. Tetapi jika kewujudan bank kulit itu untuk menjaga kulit-kulit selepas matinya penderma-penderma tersebut maka perkara tersebut diharamkan.

Hujah bagi pendapat ini ialah individu-individu yang masih hidup berhak untuk mendermakan sebahagian dari kulitnya tetapi berbeza pula bagi orang yang telah meninggal dunia. Ini kerana apa yang diharamkan bagi orang yang telah meninggal dunia sama juga seperti apa yang telah diharamkan ke atas orang yang masih hidup sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban dan Abu Daud sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda :

كسر عظم الميت ككسره حيا


Maksudnya : Mematahkan tulang individu yang telah meninggal dunia sama hukumnya seperti mematahkan tulang individu yang masih hidup.

Ini bermaksud jika seseorang yang melakukan kecederaan kepada seseorang individu lain yang masih hidup akan dikenakan hukuman begitu juga seseorang yang melakukan kecederaan ke atas individu yang telah mati juga akan dikenakan hukuman. Jadi jelaslah walaupun individu tersebut telah meninggal dunia kita tidak berhak untuk mengambil mana-mana organ atau anggota dari mayat tersebut. Tetapi bagi individu yang masih hidup pula mereka berhak untuk mendermakan mana-mana organ atau anggota badan mereka dengan keizinan mereka sendiri. Keizinan itulah membuktikan keikhlasan para penderma ini dalam membantu insan-insan lain yang memerlukan bantuan.Bold

Tidak dapat disangkal lagi isu bank kulit manusia ini masih memerlukan kepada kajian yang menyeluruh dan penelitian yang mendalam dari sudut Fiqh berpandukan kepada keperluan semasa dalam bidang perubatan. Kajian ini hendaklah meliputi dari segala aspek sama ada dari segi positif penubuhan bank kulit ini mahupun dari segi negatifnya agar dapat memelihara kemuliaan insan itu sendiri dan juga dapat memudahkan tugas para doktor. Berdasarkan kepada resolusi yang dikeluarkan oleh Organisasi Islam bagi Ilmu Perubatan pada muktamar mereka yang ke-8 pada tahun 1995, golongan ini bersepakat dengan membolehkan penubuhan bank kulit manusia ini. Namun penubuhan bank kulit ini hendaklah selari dengan tiga syarat utama iaitu :

PERTAMA : Penubuhan bank kulit ini di bawah seliaan dan kawalan pihak kerajaan atau mana-mana pertubuhan yang diamanahkan oleh pihak kerajaan.

KEDUA : Penyimpanan kulit-kulit manusia ini sekadar keperluan untuk menampung insiden-insiden yang berlaku dan yang akan berlaku.

KETIGA : Menghormati kulit-kulit yang telah dipotong dengan dikebumikannya seperti mayat dan anggota-anggota badan yang lain bukan membuangnya seperti sampah.