Mati Otak dan Ventilator

Sekiranya seseorang itu telah mati otak, jantungnya masih berdegup untuk beberapa detik dan kadang-kadang sehingga beberapa hari hasil sokongan ventilator, tetapi tiada lagi harapan untuk hidup kerana sel-sel otaknya telah mati maka ia tidak dapat dipulihkan semula berdasarkan teknologi semasa. Atas dasar inilah, pakar perubatan seluruh dunia dan sebahagian para Fuqaha' menganggap mati otak sebagai mati sepenuhnya setelah diagnosis lengkap dilakukan secara terperinci. Sebahagian pakar perubatan dan Fuqaha' pula menganggap mati otak sebagai peringkat sakit yang terakhir (masih hidup). Manakala sebahagian yang lain melaksanakan beberapa hukum berkaitan orang mati berdasarkan pendapat bahawa mati melalui beberapa peringkat. ( rujuk artikel sebelum ini, sini )
Sekiranya seseorang yang mati otak itu bergantung sepenuhnya kepada ventilator ( apa itu ventilator? rujuk sini ) bagi mengekalkan degupan jantung dan berlaku pernafasan untuk beberapa jam atau beberapa hari yang biasanya tidak melebihi dua minggu tanpa harapan untuk hidup kembali, maka timbul persoalan berkaitan hukum menghentikan penggunaan ventilator. Dengan alasan untuk mengurangkan kos rawatan yang ditanggung oleh waris serta menyelamatkan pesakit lain yang mempunyai lebih peluang untuk sembuh dan lebih memerlukan ventilator ini.

Terdapat tiga pendapat ulama kontemporari berikut :

PENDAPAT PERTAMA :

HARAM menghentikan penggunaan ventilator daripada individu yang mati otak sedangkan jantungnya masih berdegup dengan bantuan alat ini.

Hujah : Menghentikan penggunaan ventilator seolah-olah mempercepatkan kematian dan dianggap sebagai membunuh sekalipun teknologi perubatan terkini tidak mampu menyembuhkan penyakit tersebut.

PENDAPAT KEDUA :

WAJIB menghentikan penggunaan ventilator daripada individu yang mati otak.

Hujah : Mengekalkan penggunaan ventilator dikira sebagai membazir kepada perkara yang tiada faedah, begitu juga dianggap menyakiti hati si waris dengan memberikan mereka harapan palsu, kerana tiada lagi mukjizat bakal berlaku setelah berakhirnya zaman kenabian.

PENDAPAT KETIGA :

HARUS untuk menghentikan penggunaan ventilator tetapi tidak wajib.

Hujah : Berubat bukan sesuatu yang wajib melainkan sekiranya perlu bagi menyelamatkan nyawa, sedangkan mati otak adalah sebaliknya. Mengekalkan penggunaan ventilator adalah harus berdasarkan hukum asal dengan syarat menggunakan perbelanjaan si pesakit dengan izin ahli waris atau hasil derma orang ramai dan tiada pesakit lain yang lebih memerlukan alat tersebut.

Kesimpulan :

Pertubuhan Islam untuk Sains Perubatan mengambil ketetapan berdasarkan pendapat yang ketiga dalam persidangannya yang ke-2 pada tahun 1985, kemudian diperakukan semula dalam persidangannya yang ke-9 pada tahun 1996. Akademi Fiqh Islami di bawah Persatuan Negara-Negara Islam yang berpusat di Mekah turut sama menggunapakai pendapat ketiga sebagaimana yang telah diputuskan di dalam persidangannya di Jordan pada tahun 1996. Ini adalah pendapat yang bertepatan dengan siasah perbandingan dalam syarak dan memenuhi kebajikan sejagat.

Mati Otak dan Persoalannya

Persoalan berkaitan dengan kematian amat dititik berat oleh syariat Islam. Hal ini meliputi penyelenggaraan jenazah yang bermula dengan urusan mandi, kafan, solat seterusnya urusan pengebumian. Selain itu, segala hutang si mati perlu dilangsaikan, wasiat perlu dilaksanakan dan harta pusaka perlu diagihkan kepada yang berhak. Si balu juga harus melalui proses iddah setelah kematian suaminya.

Manusia mengenalpasti kematian melalui tanda-tanda yang jelas seperti : denyutan nadi, pernafasan dan pergerakan. Dengan perkembangan teknologi dalam bidang perubatan dan kelengkapan moden yang serba canggih, telah mampu untuk mengembalikan pernafasan dan denyutan jantung selepas terhenti seketika selagi belum sampai ke pangkal otak. Tetapi sekiranya telah sampai ke pangkal otak, sel-sel otak yang telah mati tidak dipulihkan kembali, lalu anggota atau organ lain akan turut mati secara beransur-ansur.

Dengan kepakaran terkini, individu yang mati otak masih dapat dikekalkan denyutan jantung dan paru-paru mereka serta sebahagian anggota atau organ lainnya dalam tempoh beberapa jam sehingga kadang-kadang menjangkau tempoh dua minggu. Dalam tempoh itulah proses pemindahan organ boleh dilakukan kepada yang memerlukan, kerana pemiliknya sudah dianggap tidak dapat memanfaatkan lagi anggota atau organnya akibat mati otak. Sekiranya terlambat sehingga berlakunya kematian organ-organ dalaman ini, biasanya proses pemindahan sudah dapat dilakukan lagi.

Perkembangan teknologi masa kini telah memberi impak dalam penentuan mati otak. Keinginan melakukan pemindahan organ setelah mati otak, persoalan hakikat kematian dan perbincangan fiqh berkaitan isu ini dapat disimpulkan dengan tiga pendapat utama berikut :

PENDAPAT PERTAMA :

Mati otak tanpa kematian organ lain bukanlah kematian sebenar, namun dianggap sebagai satu peringkat terakhir kehidupan.

Hujah : Kematian tidak boleh dipisah-pisahkan. Bagaimana boleh kita kebumikan individu yang mati otak sedangkan jantungnya masih berdegup? Dakwaan bahawa sel-sel otak yang mati tidak dapat dipulihkan semula adalah berdasarkan realiti, namun kita tidak mengetahui rahsia di sebalik apa yang ditentukan oleh qadar Allah SWT.

Berkemungkinan juga, perkembangan teknologi akan datang dapat memulihkan semula sel-sel otak yang mati atau sebahagiannya sehingga pesakit dapat hidup kerana pelbagai percubaan ke arah itu menampakkan kejayaannya mutakhir ini. Begitu juga, dikhuatiri dengan mengisytiharkan mati otak secara tergesa-gesa akibat daripada tuntutan untuk pemindahan organ.

PENDAPAT KEDUA :

Mati otak dianggap sebagai penamat kehidupan. Wajib diisytiharkan sebagai mati walaupun jantung masih berdegup dan paru-paru masih bernafas dengan hasil bantuan ventilator.

Hujah : Degupan dan pernafasan yang berlaku bukanlah secara sebenar, tetapi berlaku hasil tindakbalas ventilator. Sekiranya dimatikan alat tersebut, seluruh tubuh akan terhenti.

Tambahan pula, tidak mungkin untuk memulihkan dan merawat sel-sel otak yang mati buat masa kini atau dalam tempoh terdekat berdasarkan kemungkinan sedia ada. Individu yang mati otak sudah tiada harapan untuk hidup semula. Yang penting adalah diagnosis yang tepat mesti dilakukan mengikut prosedur perubatan semasa.

PENDAPAT KETIGA :

Mati otak dianggap sebagai satu peringkat kematian, yang boleh dilaksanakan sebahagian hukum-hakam berkaitan si mati dan ditangguhkan sebahagian yang lain sehingga semuanya benar-benar mati. Antara hukum-hakam yang boleh dilaksanakan setelah mati otak ; menanggalkan ventilator dan menghentikan rawatan kos tinggi, melaksanakan wasiat berkaitan pendermaan organ dalaman sekiranya proses tersebut perlu dilakukan segera. Manakala hukum-hakam berkaitan urusan mandi, kafan, solat dan pengkebumian hendaklan ditangguhkan sehingga semuanya anggota benar-benar telah mati. Sedangkan hukum-hakam berkaitan pusaka dan permulaan tempoh iddah bagi si balu sama ada berdasarkan mati otak atau mati sepenuhnya, mestilah ditentukan berdasarkan siyasah syar'iyyah atau keputusan daripada hakim.

Hujah : Berdasarkan kaedah "mati berperingkat dan hukumnya juga berperingkat" dan Ijmak bahawa seseorang yang sakit membawa kepada maut telah dikenakan kepadanya beberapa hukum sebagaimana orang yang telah mati, berkaitan dengan pusaka seperti ditegah daripada mendermakan melebihi satu pertiga daripada hartanya dan isteri yang diceraikan dalam tempoh itu juga tidak terhalang daripada menerima pusaka berdasarkan kepada situasi-situasi tertentu.

Kesimpulan :

Pertubuhan Islam bagi Sains Perubatan telah mengambil ketetapan berdasarkan pendapat yang ketiga setelah diputuskan di dalam persidangannya yang ke-2 pada tahun 1985, kemudian diperkukuhkan semula pada persidangannya yang ke-9 pada tahun 1996. Ia adalah pendapat yang menghimpunkan kebaikan-kebaikan yang bercanggah.