Bantuan Kecemasan Untuk Mati Jantung

Perkembangan teknologi terkini dapat mengenalpasti penghujung hayat manusia melalui tiga kondisi, iaitu :

Kondisi Pertama :

Berlakunya mati otak dan semua organ utama turut mati serentak. Tiada percanggahan pendapat dalam isu ini dan segala penyelenggaraan jenazah dilakukan seperti biasa.

Kondisi Kedua :

Berlaku mati otak tetapi organ utama seperti jantung dan paru-paru belum mati. Isu telah dibincangkan sebelum ini, sila rujuk sini.

Kondisi Ketiga :

Mati jantung atau terhenti seketika sebahagian organ utama seperti paru-paru daipada berfungsi, yang kekal masih hidup adalah otak.

Pakar perubatan menganggap kondisi ketiga ini sebagai peringkat sakit dan masih hidup. Iaitu masih ada peluang untuk melakukan bantuan kecemasan, antaranya menggunakan pengepam darah bantuan bagi mengembalikan perjalanan darah atau menghentak jantung dengan menggunakan defibrillator atau bantuan pernafasan. Dalam sesetengah keadaan, jantung dapat berfungsi kembali, bernafas seperti sediakala dan sedar semula. Bantuan kecemasan ini hanya dapat dilakukan sekiranya belum mati otak yang hanya dapat disahkan melalui teknologi perubatan moden.

Secara normal, kematian itu bermula dengan terhentinya jantung, kemudian secara automatik pernafasan akan turut terhenti dan hilang kesedaran. Setelah itu, organ-organ lain akan terhenti bermula dengan otak pada detik yang pertama. Sekiranya dapat dilakukan bantuan kecemasan kepada jantung sejurus selepas terhenti dan berlaku reaksi positif, kemungkinan nyawa dapat diselamatkan.

Berdasarkan situasi ini, timbul persoalan fiqh apabila membiarkan pesakit tanpa bantuan kecemasan sekiranya pesakit tersebut jantungnya telah mati tetapi belum mati otak. Terdapat dua pendapat utama, iaitu :

PENDAPAT PERTAMA :

Wajib menyelamatkan pesakit tersebut sedaya upaya dengan kehadiran para doktor yang terlibat. Kegagalan mereka untuk hadir dianggap sebagai sengaja membiarkan pesakit tersebut mati dan mereka boleh dikenakan hukuman takzir.

Hujah : Matinya organ utama seperti jantung dan paru-paru belum dikira sebagai mati selagi otak masih berfungsi, tetapi ia adalah peringkat sakit yang wajib untuk diberikan rawatan selagi masih ada harapan untuk hidup. Pertubuhan Islam bagi Sains Perubatan menggunapakai pendapat ini di dalam persidangan mereka yang ke-2 pada tahun 1975, kemudian diperkukuhkan semula dalam persidangan yang ke-9 pada tahun 1996.

PENDAPAT KEDUA :

Pasrah dan redha menerima ketentuan Allah sekiranya jantung dan paru-paru telah berhenti secara sempurna dan tiada kemungkinan untuk kembali normal. Oleh yang demikian, tidak melakukan bantuan kecemasan tidak dianggap sebagai mengabaikan pesakit tersebut.

Hujah : Kematian itu biasanya bermula dengan terhentinya jantung kemudian diikuti dengan terhentinya pernafasan seterusnya hilang kesedaran. Kemudian barulah berlakunya mati otak pada detik yang pertama. Majma' Fiqh Islami yang berpusat di Mekah telah menggunapakai pendapat ini di dalam persidangannya yang berlangsung di Jordan pada tahun 1996.

Kesimpulan :

Perbezaan di antara kedua-dua pendapat ini tidak terlalu ketara. Walau bagaimanapun, pendapat pertama lebih layak diutamakan dalam keadaan terdapatnya peralatan bantuan seperti defibrallator serta kehadiran doktor-doktor pakar yang mahir ketika itu. Pendapat ini amat bertepatan dengan kehendak syariat iaitu memelihara nyawa.