Hukum Menyebarkan AIDS Dengan Sengaja

Virus AIDS tersebar melalui jangkitan dan akan menyebabkan sistem imunisasi manusia menjadi amat lemah. Sistem imunisasi ini diciptakan oleh Allah SWT untuk menentang segala jenis bakteria. Setelah mendapat jangkitan AIDS, ianya akan sebati dalam sel-sel darah dan membiak seterusnya memusnahkan sel-sel ini. Kebiasaannya setelah munculnya simptom-simptom ini, pesakit AIDS hanya akan dapat bertahan tidak melebihi dua tahun, kerana sehingga ke hari ini masih tidak dapat ditemui kaedah penyembuhan yang berkesan.

Jangkitan AIDS bermula pada peringkat awalnya, mengambil masa beberapa bulan dan tahun bagi kanak-kanak. Bagi orang dewasa pula, tempoh yang diambil antara tujuh hingga sepuluh tahun. Tempoh ini semakin berkurang sekiranya pesakit tersebut menghidap penyakit berbahaya yang lain, atau tidak menjaga pemakanan.

Secara asasnya, virus AIDS ini berpindah melalui hubungan jenis, pemindahan darah daripada pesakit AIDS kepada orang yang sihat, atau penggunaan jarum suntikan yang tercemar terutamanya dari penagih dadah. AIDS tidak merebak melalui sentuhan, pernafasan, perkongsian makanan atau alatan makan, perkongsian tandas atau kolam renang dan segala aktiviti harian biasa.

Kebanyakan kes sengaja menyebarkan virus AIDS ini adalah kerana perasaan permusuhan yang mana mereka ini mula memusuhi dan membenci masyarakat sekeliling. Begitu juga dengan pengamal perubatan yang bermasalah cuba memindahkan virus AIDS ini kepada orang sihat. Dalam situasi ini, mereka telah melakukan suatu dosa besar kerana mendatangkan kemudharatan dan permusuhan yang nyata dan tiada perselisihan Ulama dalam hal ini.

Tetapi, adakah pelaku tersebut dikira sebagai pembunuh? Apakah bentuk jenayah ini?
Terdapat tiga pendapat Ulama' berkaitan permasalahan ini :

PENDAPAT PERTAMA :

Sengaja memindahkan virus AIDS kepada orang yang sihat dikira sebagai membunuh secara salah, wajib dikenakan ‘diat’ ( denda berbentuk wang yang ditentukan kadarnya oleh Syarak ) dan juga ‘kaffarah’ ( puasa selama dua bulan berturut-turut ).

Hujah :

AIDS adalah virus pembawa maut, oleh itu membunuh dengan perantara sebab dikira sebagai membunuh secara salah. Ini berdasarkan pendapat mazhab Hanafi.

PENDAPAT KEDUA :

Dikira sebagai membunuh dengan sengaja, wajib dikenakan ‘qisas’ ( bunuh dibalas bunuh ) dan boleh dimaafkan oleh waris mangsa dan digantikan dengan ‘diat’.

Hujah :

Membunuh melalui perantara sebab dikira sebagai membunuh dengan sengaja. Ini berdasarkan pendapat jumhur Ulama.

PENDAPAT KETIGA :

Perlu diperincikan dengan melihat kepada fasad yang ditanggung. Hukuman yang dikenakan sama ada hukuman kes ‘hirabah’, ‘qisas’ atau ‘takzir’.

Hujah :

Setiap peringkat fasad ditentukan hukuman yang bersesuaian dengannya. Ini pendapat yang digunapakai oleh Persidangan Islam bagi Sains Perubatan dalam forumnya yang ke-7 pada tahun 1993 berdasarkan deklarasinya : “Memindahkan virus AIDS kepada manusia yang sihat secara sengaja adalah perbuatan yang haram dan dikira sebaga dosa besar serta perlu dikenakan hukuman setimpal. Kadar hukuman ini ditentukan berdasarkan kemusnahan yang berlaku dan kesannya kepada individu tersebut serta pengaruhnya kepada masyarakat.”

Sekiranya tujuan si pelaku adalah semata-mata untuk menyebabkan virus ini tersebar di kalangan masyrakat, maka dia dikira sebagai melakukan suatu bentuk ‘hirabah’ atau serangan dan kerosakan di muka bumi ini serta wajib dikenakan hukuman berdasarkan ayat 33 di dalam surah al-Maidah yang berbunyi :

قال الله تعالى : إنما جزاؤا الذين يحاربون الله ورسوله ويسعون في الأرض فسادا أن يقتلوا أو يصلبوا أو تقطع أيديهم وأرجلهم من خلف أو ينفوا من الأرض ذلك لهم خزي في الدنيا ولهم في الأخرة عذاب عظيم

Maksudnya : “ Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bersilang, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar.”

Sekiranya bertujuan kerana memusuhi individu tertentu sahaja dan cara yang digunakan kebiasaanya dapat memindahkan virus tersebut dan mangsa menemui ajal, maka si pelaku dikenakan ‘qisas’.

Sekiranya bertujuan kerana memusuhi individu tertentu tetapi virus tersebut berjaya diubati dan mangsa terselamat, si pelaku dikenakan hukuman ‘takzir’ yang bersesuaian. Sekiranya mangsa tersebut meninggal dunia, waris berhak mendapat ‘diat’.
Sekiranya bertujuan kerana memusuhi individu tertentu tetapi virus tersebut tidak berjaya dipindahkan, maka si pelaku dikenakan ‘takzir’.
Ternyata pendapat ketiga ini yang memperincikan setiap situasi lebih dekat kepada keseimbangan dalam Syarak dan lebih sesuai hukumannya.

Aids & Fiqh Sakit Maut


AIDS merupakan satu daripada penyakit yang ditemui mutakhir ini, namun sehingga kini belum dikenalpasti penawarnya. Perkataan AIDS merupakan kata akronim kepada istilah Inggeris Acquired Immune Deficiency Syndrome yang bermaksud Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit. Ia dikaitkan dengan beberapa kumpulan penyakit yang berkaitan yang berlaku secara serentak. Ia tersebar melalui jangkitan dan merebak di kalangan manusia akibat kelemahan sistem imunisasi yang telah diciptakan Allah dalam diri manusia. Kelemahan ini menyebabkan pertembungan dengan pelbagai bakteria yang biasanya tidak memberi mudharat kepada manusia yang dikenali sebagai ‘opportunistic bacteria’. Jangkitan ini berlaku dalam diri manusia melalui beberapa peringkat :

Peringkat awal, mengambil masa beberapa bulan dan tahun sehingga kadang-kadang boleh mencapai tempoh 10 tahun berdasarkan kepada kesan penyakit-penyakit lain atau dari faktor pemakanan dan juga wanita yang hamil.

Selepas selesai jangkitan AIDS, ia akan berselindung dengan cepat di dalam sel-sel darah dan mula sebati. Kemudian ia akan memusnahkan sel-sel ini. Kebiasaannya setelah munculnya simptom-simptom penyakit ini, pesakit akan meninggal dalam tempoh masa yang singkat sahaja iaitu tidak akan melebihi dua tahun. Kadang-kadang AIDS juga menyerang pada peringkat-peringkat akhir yang akan menyebabkan berlakunya gangguan saraf dan hilang kesedaran. Hal ini pada kebiasaannya berlaku pada satu pertiga daripada merebaknya jangkitan penyakit ini.

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan kedudukan pesakit ini dari perspektif Fiqh. Adakah AIDS dikategorikan sebagai penyakit biasa atau ‘penyakit maut’. Sebagaimana yang diketahui, ‘penyakit maut’ mempunyai beberapa hukum yang berkaitan dengannya. Antaranya : pesakit ‘sakit maut’ ditegah daripada melakukan transaksi pilih kasih, atau mendermakan asetnya kecuali kurang daripada satu pertiga sebagaimana dalam hal wasiat atau dengan keizinan warisnya demi menjaga hak-hak mereka. Begitu juga dalam permasalahan talak, isteri yang diceraikan tidak terhalang daripada mendapat hak pusaka sekiranya pesakit mati ketika isteri masih dalam keadaan beriddah. Ini berdasarkan pendapat jumhur Ulama. Sebahagian Ulama pula berpendapat, kekalnya hak isteri yang ditalak tanpa had tempoh tertentu sekiranya pesakit tersebut menghidap ‘penyakit maut’. Ini sebagai suatu akibat kepada suami tersebut kerana perbuatan talaknya difahami sebagai cubaan untuk menafikan hak si isteri daripada mendapat hak pusaka.
Secara faktanya, pesakit AIDS masih dapat hidup walaupun terpaksa melalui beberapa peringkat yang berpanjangan hingga beberapa tahun dan pastinya pesakit AIDS ini akan meninggal dunia kerana tiada ikhtiar penyembuhan yang berkesan yang berjaya ditemui sehingga ke hari ini.
Tiga pendapat Ulama bagi masalah ini :

PENDAPAT PERTAMA :

AIDS merupakan penyakit biasa dan tidak dikira sebagai ‘penyakit maut’.

Hujah : Peringkat awal AIDS memakan masa sehingga sepuluh tahun, tidak tergambar bagaimana pesakit AIDS sepanjang tempoh ini dikira sebagai ‘penyakit maut’, lebih-lebih lagi teknologi perubatan yang sentiasa berkembang pesat berkemungkinan ditemui penawar kepada penyakit ini.

PENDAPAT KEDUA :

AIDS dikira sebagai salah satu ‘penyakit maut’.

Hujah : Penyakit tersebut tidak dapat diubati, hanya menunggu ajal. Sedangkan peringkat awal merupakan hanya tanggapan sahaja kerana ia tetap memerlukan makanan yang khusus dan penjagaan yang rapi bagi mengelakkan dihinggapi penyakit lain. Ini terpaksa dilalui oleh kebanyakan pesakit. Kaedah umum menyatakan ‘kebiasaan umur diambil kira’, sebagaimana yang disebut oleh Imam Nawawi ketika mendefinisikan ‘penyakit maut’ iaitu: “ditakuti dan menakutkan. Yang ditakuti adalah mati, dan yang menakutkan adalah orang yang melihatnya.” AIDS juga sedemikian.

PENDAPAT KETIGA :

Memperincikan penyakit AIDS kepada peringkat-peringkat jangkitannya.

Hujah : Pendapat ini menggabungkan kedua-dua hujah di atas. Ini adalah pendapat yang digunapakai oleh Persidangan Islam bagi Sains Perubatan dalam forumnya kali ke-7 pada tahun 1993, yang mana deklarasinya menyebut : “AIDS tidak dianggap ‘penyakit maut’ di sisi Syarak melainkan sekiranya pesakit telah sampai peringkat kritikal dan tidak mampu bergerak untuk melakukan aktiviti harian dan kemungkinan besar akan meninggal dalam tempoh terdekat.”

Pendapat ketiga ini adalah pendapat yang paling seimbang dalam permasalahan AIDS ini.

Hukum Penetapan Gender Janin

Penetapan gender janin manusia membawa maksud kebolehan pasangan suami isteri dengan bantuan doktor untuk memilih jantina anak yang akan dilahirkan sama ada lelaki atau perempuan. Penetapan gender ini dapat dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut :
Kaedah Pertama : (Post-implantation)
Atas permintaan pasangan suami isteri, doktor melakukan diagnosis ke atas janin yang dikandungkan. Sekiranya jantina yang diketahui bukan sebagaimana yang diidamkan, pasangan tersebut akan melakukan pengguguran. Ini dilakukan berterusan sehinggalah jantina yang diingini diperolehi.
Kaedah Kedua : (Pre-implantation)
Doktor menggunakan kaedah Pre-implantation Genetic Diagnosis (PGD) iaitu persenyawaan di antara sperma dan ovum secara in-vitro fertilization (IVF) terlebih dahulu dan setelah embrio dapat dikenalpasti jantinanya sebagaimana yang dikehendaki, barulah ia akan dimasukkan ke dalam rahim si ibu. Embrio yang tidak menepati jantina yang dikehendaki akan dibuang.
Kaedah Ketiga :
 
Doktor akan mengstimulasikan di antara sperma kromosom X yang menghasilkan anak lelaki dengan sperma kromosom Y yang menghasilkan anak perempuan. Setelah distimulasi dilakukan, perbezaan di antara keduanya dapat dikenalpasti berdasarkan ciri-ciri seperti bentuk, kepantasan dan kekuatan untuk menembus. Sperma kromosom Y adalah lebih berat dan besar jika dibandingkan dengan sperma kromosom X. Maka sperma dapat dipilih berdasarkan jantina yang diingini dan seterusnya persenyawaan dilakukan secara IVF.
Kaedah pertama tidak dibincangkan di sini kerana ia adalah pengguguran yang mempunyai hukum, syarat dan prosedur yang perlu diperincikan satu persatu. Ulama berselisih pendapat mengenai penetapan gender bukan melalui pengguguran.
PENDAPAT PERTAMA :
Haram menetapkan jantina janin.
Hujah : Ini berlawanan dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT kerana perkara yang berkaitan dengan alam rahim tidak boleh dicampuri oleh manusia. Firman Allah Taala di dalam surah Luqman ayat 34 yang berbunyi :
 
قال الله تعالى : ويعلم ما في الأرحام
Maksudnya : Dan Dialah yang mengetahui apa yang ada di dalam rahim-rahim.

Allah juga berfirman di dalam surah Ar-Ra’d ayat 8 yang berbunyi :

قال الله تعالى : الله يعلم ما تحمل كل أنثى وما تغيض الأرحام وما تزداد وكل شئ عنده بمقدار
Maksudnya : Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap perempuan, dan kandungan rahim yang kurang sempurna dan yang bertambah. Dan segala sesuatu pada sisi-Nya ada ukurannya.” Begitu juga, menetapkan jantina juga merupakan suatu perkara yang dianggap sebagai mengubah ciptaan Allah Taala. Hal ini seperti yang dirakamkan di dalam surah As-Syura ayat 49 yang berbunyi :


قال الله تعالى : لله ملك السموت والأرض يخلق ما يشاء يهب لمن يشاء إنثا ويهب لمن يشاء الذكور
Ertinya : Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua-dua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa) yang dikehendaki-Nya, dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha mengetahui lagi Maha Kuasa.
Penetapan jantina ini juga akan mengganggu keseimbangan demografi di antara lelaki dan perempuan lebih-lebih lagi apabila berlakunya taksub kepada mana-mana jantina. Ia juga seolah-olah telah kembali kepada sistem jahiliyyah, pembunuhan anak kerana jantina. Kaedah ini juga terdedah kepada percampuran nasab kerana dikhuatiri doktor akan melakukan kesilapan ketika melakukan proses IVF.
PENDAPAT KEDUA :
Harus melakukan penetapan gender dengan syarat tidak akan berlaku percampuran nasab dan tidak berlaku kecacatan dalam keseimbangan masyarakat serta keharusan diberikan hanya kepada masalah secara individu bukan secara umum kepada masyarakat.
Hujah : Penetapan jantina tidak terlepas daripada ruang lingkup pengetahuan ilmu Allah SWT kerana pengetahuan Allah Taala itu meliputi segala pengetahuan manusia. Ia juga tidak dianggap mengubah ciptaan Allah Taala tetapi dikira sebagai suatu kaedah pengubatan atau ikhtiar bagi melaksanakan hasrat pasangan suami isteri tersebut. Bantuan doktor terbabit dikategorikan sebagai tolong menolong atas dasar kebaikan. Sedangkan Nabi Zakaria a.s sendiri memohon dikurniakan seorang anak lelaki. Jika ia adalah haram nescaya baginda tidak akan memohonnya kerana setiap apa yang diharamkan, diharamkan juga memintanya dan antara syarat berdoa adalah tidak boleh memohon sesuatu yang haram.
Kaedah ini juga tidak dikira sebagai suatu bentuk pembunuhan kerana tiada pembunuhan yang dilakukan dan apa yang berlaku hanyalah pemusnahan embrio yang tidak dikehendaki.
Masalah ini akan semakin bertambah rumit kerana teknologi perubatan semakin berkembang saban hari. Para cendikiawan Islam wajib untuk mengikuti perkembangannya dan meletakkan garis panduan serta asas-asas yang berkaitan bagi melindungi kepentingan pasangan suami isteri dan merealisasikan hasrat semulajadi mereka ke arah sebuah masyarakat yang aman dan sejahtera.