Pembacaan Genom Manusia & Persoalannya


Perkataan genom atau di dalam istilah Inggerisnya ‘genome’ merupakan kata lakur daripada perkataan gen dan kromosom, adalah kod kepada sel yang mengandungi keseluruhan maklumat keturunan suatu makhluk hidup. Kebanyakan negara-negara yang maju dalam bidang perubatan telah bekerjasama dalam ‘Projek Genom Manusia’, sebuah projek mega yang telah dimulakan pada tahun 1990 dan telah diumumkan hasilnya oleh White House pada tahun 2001, empat tahun lebih awal dari tarikh jangkaan sebenar.

Antara tujuan utama projek ini adalah menentukan lakaran genetik manusia dengan menjelaskan setiap kedudukan setiap gen ke atas kromosom, hubungkaitnya dengan gen sebelum dan berikutnya, serta cuba memecahkan kod khusus untuk setiap gen.

Keputusan dan faedah utama daripada projek ini ialah dapat mengetahui punca penyakit warisan dan pembentukan warisan bagi seseorang individu yang berkemungkinan menerima penyakit-penyakit tertentu seperti tekanan darah tinggi, serangan jantung, kencing manis, kanser dan sebagainya. Begitu juga dapat mengetahui impak rawatan terhadap gen-gen ini sekiranya terdapat penyakit warisan, serta menghasilkan ‘biological material’ dan hormon-hormon yang diperlukan oleh tubuh manusia untuk tumbesaran dan rawatan berkaitan.

Tiga pendapat Ulama berkaitan pembacaan genom ialah :

PENDAPAT PERTAMA :

Haram secara ringkasnya.

Hujah :

Pembacaan genom manusia dianggap sebagai usaha ke arah mengetahui masa depan. Tidak selayaknya untuk manusia ketika ini untuk mengetahui masa depannya. Pembacaan ini juga akan mengetahui tempoh masa tertentu untuk hidup sekiranya ternyata terdapat penyakit kanser melalui warisan. Ini merupakan kefasadan yang wajib dihindari.

PENDAPAT KEDUA :

Harus secara ringkasnya.

Hujah :

Pembacaan genom merupakan hasil penyelidikan ilmiah, maka tiada halangan dari segi Syarak. Firman Allah SWT di dalam surah al-Mujadalah ayat ke-11 yang berbunyi :

قال الله تعالى : يرفع الله الذين آمنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت

Maksudnya : “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

PENDAPAT KETIGA :

Pembacaan genom merupakan fardhu kifayah. Melaksanakannya dalam mengenalpasti penyakit dan merawatnya harus dengan bersyarat.

Hujah :

Pembacaan genom manusia merupakan salah satu ilmu yang bermanfaat dan suatu bentuk kaedah pengubatan serta untuk mengetahui hakikat dirinya sendiri. Ia adalah fardhu kifayah berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang berbunyi :

طلب العلم فريضة على كل مسلم

Maksudnya : “Menuntut ilmu itu suatu kewajipan kepada setiap individu muslim.”

Allah Taala SWT juga berfirman di dalam surah al-Fussilat ayat 33 yang berbunyi :

قال الله تعالى : سنريهم ءايتنا في الأفاق وفي أنفسهم حتى يتبين لهم أنه الحق أولم يكف بربك أنه على كل شئ شهيد

Maksudnya : “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahawa Al Quran itu adalah benar.”

Pelaksanaan pembacaan genom manusia dalam mengenalpasti penyakit dan rawatannya wajib disertakan dengan melakukan penilaian yang jitu terhadap bahaya-bahaya dan faedah-faedah yang bakal diperolehi serta mestilah individu tersebut berkelayakan dan mendapat keizinan darinya. Sekiranya individu tersebut masih belum berkelayakan, maka keizinan warisnya wajib diperolehi. Keputusan pembacaan genom ini wajib dirahsiakan secara sempurna dan tidak boleh didedahkan melainkan apabila berlaku darurat sebagaimana yang ditentukan oleh Syarak.

Pastinya, pendapat yang terakhir adalah pendapat yang bertepatan dengan keseimbangan Islam dalam mengambil manfaat setiap penemuan baru serta berwaspada daripada bercampuradukkan di antara kefasadan dengan maslahah. Menolak fasad itu lebih utama daripada memperoleh maslahah.