Hukum Pengklonan Manusia & Haiwan


Pengklonan ialah istilah yang digunapakai untuk menyatakan kaedah apabila  lahirnya seekor  biri-biri yang diberi nama Dolly. Dolly ialah haiwan pertama dari kumpulan mamalia yang lahir melalui proses pembiakan seksual tanpa memerlukan percantuman sel jantan (sperma) dengan sel betina (ovum). Individu pertama yang menemui  dan menghebahkan kaedah ini  ialah kumpulan saintis genetik di bawah kelolaan Dr Ian Wilmut yang berpusat di Edinburgh, Britain pada bulan Februari 1997. Jadi amatlah penting bagi kita untuk mengambil istilah yang dimaksudkan dari penemuan ini sebagai “KLON”  yang dipetik dari istilah Inggeris “cloning” seperti istilah biologi yang digunapakai  pada masa kini. Di dalam bahasa arab pula kaedah ini dikenali sebagai “at-tansil” oleh sebahagiannya atau “al-istinsaq” oleh sebahagian yang lain.

Isu berkaitan pengklonan ini telah memberi kesan yang mendalam dan menggegarkan aspek akhlak dan agama yang mempunyai per perbezaan dari segi akidah dan ajarannya. Sekalipun mereka bersepakat mereka tidak menentang ilmu atau kemajuan dari segi sains, tetapi mereka memberi amaran bahawasanya penyalahgunaan ilmu akan mendatangkan kesan yang buruk kepada institusi kekeluargaan manusia.
 
Fiqh Islam berusaha untuk menyelesaikan isu pengklonan ini bersandarkan kepada kaedah-kaedah umum dan juga maksud syarak agar ianya bertepatan dengan nas-nas syarak bahkan juga dengan hukum Fiqh warisan dan membezakan di antara pengklonan manusia dengan pengklonan haiwan yang mana pengklonan manusia itu masih dianggap sebagai satu khayalan sains kerana tiadanya maklumat rasmi mengenai kejayaan eksperimennya mereka.

Adapun pengklonan manusia kebanyakan para penyelidik dan golongan Fuqaha’ kontemporari berpendapat ianya haram dan menuntut agar dihentikan segala jenis percubaan penyelidikannya. Ini kerana ianya menjadi penghalang kepada keharmonian dan kasih sayang di kalangan manusia dengan hukum pembiakan secara berpasangan yang mana Allah jadikannya sebagai petunjuk di dalam ayat al-Quran bahkan pengklonan ini juga bercanggah dari tabiat semulajadi manusia. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hujurat ayat 13 :

قال تعالى : يأيها الناس إنا خلقنكم من ذكر وأنثى وجعلنكم شعوبا وقبائل لتعارفوا

Maksudnya : Wahai umat manusia sesungguhnya sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa agar kamu berkenal-kenalan.

Allah SWT juga berfirman di dalam surah ar-Rum ayat 21 yang berbunyi :

قال تعالى : ومن ءايته أن خلق لكم من أنفسكم أزوجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورحمة إن في ذلك لأيت لقوم يتفكرون

Maksudnya : Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir.

Pengklonan manusia ini juga akan mengundang kefasadan dan kemudharatan yang tidak dapat ditanggung oleh institusi kekeluargaan manusia dari pelbagai aspek antaranya mengalami penuaan awal disebabkan berlakunya pembahagian sel yang cepat dan berterusan. Selain itu, pengklonan ini akan menghilangkan faktor emosi dan juga ruh di antara ahli keluarga kerana menyisihkan peranan salah seorang dari ibu bapanya di dalam kelahiran yang baru serta menghilangkan nasab keturunan. Pengklonan ini juga akan menyebabkan wujudnya keturunan manusia yang tidak normal kerana wajud manusia yang serupa. Ini kerana klon yang dihasilkan ini akan menyamai atau hampir menyamai individu yang asal dan seterusnya akan menyebabkan berlakunya penyamaran ini bagi sebahagian dari mereka. 

Sebahagian kecil ahli Fiqh berpendapat pengharaman hukum pengklonan ini adalah suatu pendapat yang tergesa-gesa kerana tiadanya penjelasan yang jelas selepasnya. Dan mereka menyeru agar eksperimen pengklonan manusia ini diteruskan dan menyokongnya kerana inilah yang dinamakan sebagai kuasa sains. Manusia berhak untuk menyingkap rahsia-rahsia kehidupan. Namun segala keputusan eksperimen tersebut adalah ketentuan Allah SWT. Sesuatu perkara itu tidak akan berlaku kecuali Allah SWT menginginkannya. Selain itu, tiada nas yang melarang perbuatan ini. Pensyariatannya bersandarkan kepada keharusan yang asal.

Bagi pengklonan haiwan pula kebanyakan para penyelidik dan ahli Fiqh kontemporari menyokong pensyariatannya berdasarkan kepada prinsip tidak khuatir adanya larangan dari segi syarak seperti percampuran nasab. Ini kerana pengklonan haiwan ini membawa kepada pertambahan sumber makanan kepada manusia kerana haiwan adalah sumber kurniaan Allah SWT kepada manusia. Allah SWT berfirman :

قال تعالى : وسخر لكم ما في السموت وما في الأرض جميعا منه

Ertinya : Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan keguaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya.

Sebahagian kecil dari golongan Fiqh pula berpendapat kepada pengharaman aktiviti pengklonan haiwan kerana bercanggah dari pendekatan semulajadi dalam proses pembiakan dan dikhuatiri akan menghasilkan baka-baka haiwan yang tua yang akan memudharatkan sumber pemakanan manusia.

Dan isu ini memerlukan kepada pemerhatian dari sudut Fiqh apabila memperolehi maklumat yang baru dari ujikaji sains yang dilakukan. Hukum bagi sesuatu perkara itu adalah satu cabang dari gambarannya. 

Hukum Pertukaran & Pengesahan Jantina

Pertukaran jantina bermaksud kecenderungan untuk melakukan pembedahan bagi menukar jantina sama ada pertukaran dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya. Perkara ini merupakan seburuk-buruk amalan yang bercanggah dengan sifat semulajadi manusia. Secara dasarnya jantina mereka itu telah jelas lelaki ataupun perempuan tetapi disebabkan kecenderungan mereka yang inginkan jantina yang diimpikan atau kebencian kepada jantina asal semasa dilahirkan serta dikuasai keinginan untuk menjalani kehidupan seks songsang namun kesemua perkara ini kembali kepada satu sebab yang utama iaitu kurangnya didikan agama. Kaedah perubatan sudah tidak mampu lagi merawat sebahagian dari golongan ini yang mana hasil kajian yang telah dijalankan ke atas kebanyakan dari mereka membuktikan rawatan ke atas mereka adalah suatu perkara yang mustahil. Pembedahan ini telah bermula di negara barat kemudian telah mula merebak ke dalam masyarakat Islam kita. Pembedahan ini dilakukan dengan membuang zakar dan membentuk faraj serta memperbesarkan buah dada bagi golongan yang ingin menukar jantina lelaki kepada perempuan. Bagi golongan perempuan yang ingin bertukar kepada lelaki pula mereka akan melakukan pembedahan dengan membuang buah dada dan juga saluran kemaluan wanita lalu membentuk anggota sulit lelaki yang dicipta atau dibentuk dari daging paha dengan menggunakan kaedah mekanikal agar alat itu berfungsi.

Maksud pengesahan jantina pula ialah melakukan pembedahan bagi menentukan jantina mereka sama ada mereka itu tergolong di dalam golongan khunsa musykil (tidak jelas) atau khunsa wadhih (jelas). Tidak semua golongan ini dicela. Ada sebahagian dari mereka dilahirkan dengan mempunyai dua alat kelamin (zakar dan faraj). Sebahagiannya pula dilahirkan tanpa ada alat kelamin secara mutlak cuma terdapat lubang yang keluar padanya air kencing. Dan sebahagiannya pula ketika dilahirkan telah jelas jantinanya sama ada lelaki atau perempuan namun pembentukan dalaman badan mereka didominasi oleh kelenjar atau hormon jantina lain. Kemungkinan hal ini tidak akan dapat dilihat kecuali pada peringkat umur yang semakin meningkat. Berdasarkan pemerhatian sebahagian dari pakar perubatan di dalam pengesanan rutin mereka terhadap golongan wanita yang pada zahirnya adalah wanita namun jelas dia adalah lelaki bukannya perempuan. Ini kerana terdapat padanya testis dan juga hormon lelaki yang terlalu tinggi tetapi ianya tidak berfungsi disebabkan tiada sel-sel yang khusus pada kulitnya. Begitu juga pemerhatian terhadap golongan lelaki yang mampu melahirkan anak kerana terdapat padanya rahim dan juga ovum. Inilah yang dinamakan kekeliruan jantina dan menuntut kepada individu yang mengalaminya untuk mengesahkan jantina mereka berdasarkan sel yang hakiki yang ditentukan oleh pakar perubatan masa kini.

Sesungguhnya Fiqh Islam telah berijmak bahawa haram melakukan pembedahan penukaran jantina semata-mata berdasarkan keinginan atau sesuka hati. Ini kerana perbuatan ini adalah sia-sia kerana mengubah struktur badan manusia tanpa ada sebarang hajat. Perbuatan ini juga merupakan salah satu kemusnahan kepada sistem seksual manusia. Hal ini menjadikan seseorang wanita itu tidak mampu untuk melahirkan anak begitu juga dengan golongan lelaki. Pembedahan pertukaran jantina ini dikaitkan dengan aspek luaran bukannya dari aspek dalaman.

Fiqh Islam juga telah berijmak sesungguhnya dibolehkan untuk melakukan pembedahan pengesahan jantina bagi golongan khunsa musykil yang tidak tahu sama ada mereka itu lelaki ataupun perempuan. Ini kerana ianya merupakan kaedah rawatan mengikut kaedah semulajadi. Mengikut fitrah semulajadi manusia, manusia itu dilahirkan samada lelaki ataupun perempuan berdasarkan firman Allah Taala yang berbunyi :

قال الله تعالى : يهب لمن يشاء إنثا ويهب لمن يشاء الذكور * أو يزوجهم ذكرانا وإنثا ويجعل من يشاء عقيما إنه عليم قدير

Maksudnya : Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau ia mengurniakan kedua-duanya anak lelaki dan perempuan dan ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.

Para Fuqaha' kontemporari telah berselisih pendapat berkaitan hukum pertukaran jantina bagi golongan yang mengalami gangguan psikiatri dengan jantina yang lain iaitu golongan lelaki yang mengalami gangguan psikologi untuk bertukar kepada wanita atau golongan wanita yang ingin bertukar kepada lelaki. Fuqaha' juga berselisih pendapat berkaitan hukum pengesahan jantina bagi golongan khunsa yang jelas iaitu golongan lelaki yang jelas kelakiannya tetapi terdapat baginya rahim dan juga ovum. Begitu juga dengan golongan perempuan yang jelas kewanitaannya tetapi terdapat baginya testis. Perselisihan ini terbahagi kepada dua iaitu :

PENDAPAT PERTAMA

Dibolehkan untuk melakukan pembedahan pertukaran jantina tersebut. Ini kerana pada hakikatnya ianya untuk mengesahkan jantina dan merawat penyakit psikologi yang dialami sama kepentingnya dengan merawat kesakitan anggota. Allah telah berfirman :


قال الله تعالى : ومن أحياها فكأنما أحيا الناس جميعا

Maksudnya : Sesiapa yang menjaga keselamatan manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.

Sesungguhnya lelaki atau wanita itu merupakan fitrah semulajadi. Jika berubah salah satunya kepada jantina yang lain tidak akan berlaku kejanggalan kepada fitrah semulajadi tersebut.

PENDAPAT KEDUA

Haram untuk melakukan pembedahan pertukaran atau pengesahan jantina. Ini merupakan pendapat dari kebanyakan Fuqaha'. Golongan wanita yang pada zahirnya adalah wanita namun memilki dua testis dibolehkan untuk membuangnya dan tidak diharuskan untuk membiarkan dua testis tersebut dan membuang organ yang zahir padanya. Begitu juga dengan golongan lelaki yang pada zahirnya adalah lelaki tetapi memiliki rahim dan ovum diharuskan untuk membuang tanda-tanda kewanitaan tersebut dan tidak diharuskan untuk melakukan sebaliknya. Selagi sesuatu organ itu mampu untuk menjalankan fungsinya maka ia perlu dilindungi. Ini kerana pertukaran jantina tidak akan mengubah fungsi sistem semulajadi manusia malah akan menghilangkan fungsinya dan sesiapa yang melakukan pertukaran jantina ini tidak akan memperolehi fungsi jantina yang lain. Pembedahan pertukaran jantina ini akan mendatangkan konflik kepada fungsi semulajadi manusia terutamanya apabila ia mengganggu kestabilan imbangan masyarakat dan hak-hak yang berkaitan dengan lelaki perempuan seperti hak warisan, aurat di tandas lelaki dan wanita serta selainnya.

Dan wajib untuk melakukan apa jua demi untuk merawat mereka-mereka yang sakit ini tanpa ada sebarang penyelewangan terhadap status jantina mereka yang zahir. Jika berlaku sebaliknya, ia merupakan ikutan kepada amalan syaitan di dalam mengubah ciptaan Allah SWT sepertimana Firman Allah SWT yang berbunyi :


قال الله تعالى : ولأمرنهم فليبتكن ءاذان الأنعم فليغيرن خلق الله ومن يتخذ الشيطان وليا من دون الله فقد خسر خسرانا مبينا

Maksudnya : Aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu, dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan sebagai pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang dan nyata.

Sesungguhnya Nabi SAW melaknat golongan-golongan yang menyerupai kaum lain dan memerintahkan agar dikeluarkan mereka dari rumah-rumah kerana tiada kefasadannya dan para pemerintah perlu meyediakan pusat-pusat rawatan kepada golonghan ini. Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Ibn Abbas katanya : Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai kaum wanita dan wanita yang menyerupai kaum lelaki. Dan Nabi SAW berkata : keluarkan mereka dari rumah-rumah mereka.

Seharusnya, masih banyak fakta-fakta perubatan perlu dikaji agar golongan ahli Fiqh dapat menyelesaikan dua isu penting ini iaitu pertukaran dan pengesahan jantina dengan bukti dan hujah-hujah yang relevan.