Status Perkahwinan Apabila Salah Seorang Dari Pasangan Memeluk Islam

Isu pasangan memeluk Agama Islam atau salah seorang sahaja dari pasangan memeluk Islam dan seorang lagi masih kekal dengan Agama yang dianuti merupakan isu kemasyarakatan yang telah lama diperkatakan dan diperbincangkan oleh Ahli2 Feqah terdahulu. Isu ini mula dibicarakan sejak tersebarnya Agama yang suci ini dan mula mendapat tempat di dalam kehidupan manusia. Apabila masyarakat dunia mula menganuti Agama Islam ini maka timbullah persoalan tentang status perkahwinan sebelum pasangan tersebut memeluk Islam dan juga status perkahwinan apabila salah seorang sahaja memeluk Islam dan seorang lagi masih kekal dengan agama asalnya. Sesungguhnya kajian Fiqh terdahulu mengenai isu yang dinukilkan ini terbina di atas kefahaman nas2 syarak dan peristiwa2 yang berlaku pada zaman awal Islam berdasarkan norma sosial masyarakat, adat istiadat dan keadaan persekitaran yang fanatik dengan sesuatu ajaran Agama. Apabila berubahnya peradaban manusia wujudlah beberapa perubahan di dalam arus masyarakat seperti wanita bekerja untuk membantu menyara keluarga dan kebebasan dalam memilih Agama dan Akidah yang dianuti. Hal ini mendorong Ahli2 Feqah masa kini kembali mengkaji isu ini khususnya selepas kecenderungan wanita2 Eropah untuk memeluk Islam tetapi dalam masa yang sama masih terikat dengan pegangan keluarga dan hubungannya dengan suami yang menganuti agama lain.

Jumhur Ulama' dahulu dan masa kini bersependapat pengishtiharan Islam dari segi zatnya tidak memberi kesan pada ikatan perkahwinan yang terbina. Ini kerana Islam mengakui orang bukan Islam dengan pernikahan mereka hasil perkenalan mereka antara satu sama lain. Apabila pasangan suami isteri tersebut memeluk Islam maka mereka masih terikat dengan ikatan perkahwinan yang pertama kerana ianya tidak menyalahi asal syarak. Jika si suami sahaja yang memeluk Islam ia juga tidak memberi kesan kepada ikatan perkahwinan mereka sepertimana perkahwinan dengan seorang wanita musyrik tetapi wanita itu dikira sebagai golongan Kitabi ketika di dalam tempoh iddah menurut pandangan Jumhur Ulama'. Tetapi bagaimana pula jika si isteri sahaja yang memeluk Islam? Jika si isteri seorang sahaja memeluk Islam ia juga tidak memberi kesan kepada ikatan perkahwinan yang terbina, tetapi ia akan membawa kesan kepada sejauh mana si isteri mampu memelihara dirinya dan Agama Islam yang dianutinya apabila berlakunya keganasan rumah tangga yang timbul dari pihak suami. Begitu juga dengan hak2 yang sewajarnya dituntut oleh isteri yang beragama Islam di dalam institusi kekeluargaan itu. Isteri juga dilarang untuk melakukan hubungan dengan suami tersebut di dalam hal sebegini seperti yang diriwayatkan oleh القرطبي '' Ijmak Dari Umat Manusia Seorang Lelaki Musyrik Tidak Boleh Menyetubuhi Seorang Wanita Mukmin Kerana Ianya Perkara Yang Memalukan Di Dalam Islam." Maka terdapat beberapa pendapat dari sudut Fiqh untuk dipilih oleh golongan isteri ini demi memelihara diri mereka di masa hadapan. Ahli2 Feqah berselisih pandangan mengenai pendapat2 tersebut.

PENDAPAT PERTAMA : Melihat kepada tempoh iddah si isteri. Sekiranya di dalam tempoh tersebut si suami membantu isterinya dan mengikuti isterinya untuk memeluk Islam maka mereka masih lagi kekal dengan ikatan perkahwinan mereka yang pertama. Tetapi jika si suami tidak mengikut untuk menganut Agama Islam wajib untuk mereka berpisah. Ini merupakan pendapat dari Jumhur Fuqaha' dan kata2 dari الأوزاعي , الليث dan إسحاق بن راهوية. Menurut pendapat dari Mazhab Hanafi tempoh iddah tersebut berlaku kepada suami yang berada di negara yang diperangi tidak kira sama ada isterinya telah disetubuhi atau tidak. Tetapi jika suami tersebut berada di negara Islam dia mempunyai tempoh 3 hari untuk mengisytihar keislamannya. Menurut pendapat dari Mazhab Maliki, Hanbali dan Shafie pula tempoh iddah tersebut hanya kepada isteri yang telah disetubuhi. Jika si isteri masih belum disetubuhi tiada tempoh iddah baginya. Perpisahan antara mereka berlaku dengan Islamnya si isteri tersebut bukannya dengan melihat kepada negara Islam atau negara yang diperangi.

Hujah mereka yang pertama ialah seperti yang diriwayatkan oleh sesetengah Ulama' Salaf sesungguhnya Nabi Muhammad SAW berkahwin dengan wanita2 Musyrikin sepertimana yang disebut oleh Ibn Qayyim : Ibn Syibramah telah berkata sesungguhnya umat manusia pada zaman Nabi Muhammad suami2 memeluk Islam sebelum isteri2 mereka atau isteri memeluk Islam sebelum suami. Sesiapa yang memeluk Islam sebelum tamat tempoh iddah isteri, perempuan2 itu adalah isteri mereka. Tetapi sesiapa yang memeluk Islam selepas tamatnya tempoh iddah tiada ikatan perkahwinan antara mereka. Begitu juga apa yang disebut oleh الزهري sesungguhnya isteri Safwan bin Umaiyyah telah memeluk Islam, kemudian Safwan juga memeluk Islam dan Nabi Muhammad SAW tidak pisahkan mereka berdua. Hujah mereka yang kedua ialah sesungguhnya Islam didatangkan untuk mempertahankan pemilikan dan hak masing2 bukannya sebagai penyebab untuk membatalkan ikatan perkahwinan. Islam juga didatangkan untuk memelihara tujuan syarak. Tujuan perkahwinan tidak akan diperoleh sekiranya si isteri tidak bersama si suami. Suami yang bukan beragama Islam tidak dapat menerima dengan lapang dada isterinya yang beragama Islam disebabkan perbezaan Akidah antara mereka. Tetapi suami yang beragama Islam dia dapat menerima isterinya sepenuh hati walaupun isterinya itu dari golongan Kitabi.

PENDAPAT KEDUA : Bergantung kepada sejauh mana kesabaran isteri untuk mampu bersama dengan suaminya yang menganuti agama lain selama mana yang dia inginkan. Apabila suaminya memeluk Islam maka ia tidak menuntut kepada akad pernikahan yang baru. Tetapi jika si suami tidak memeluk Islam dalam tempoh2 tertentu isteri berhak menuntut penceraian. Di dalam tempoh si isteri menunggu si suami memeluk Islam pernikahan itu seolah2 terhenti tanpa ada hubungan persetubuhan antara mereka. Ini merupakan pendapat dari Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim dan dipersetujui oleh kebanyakan Ahli Feqah masa kini.

Hujah pendapat ini ialah pertama apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas : sesungguhnya Nabi Muhammad SAW memulangkan anak perempuannya Zainab kepada suaminya Abi Al-As bin Rabi' dengan ikatan perkahwinan yang pertama tanpa perlu ikatan yang baru. Hujah mereka yang kedua ialah juga dalil dari Ibn Abbas yang berbunyi : seorang perempuan pada zaman nabi telah memeluk Islam kemudian perempuan tersebut telah berkahwin lain. Lalu suaminya yang pertama datang menemui Nabi lalu berkata : wahai Nabi sesungguhnya aku telah memeluk Islam dan dia mengetahui tentang keislaman ku. Lalu Nabi memisahkan perempuan tersebut dari suaminya dan mengembalikannya kepada suami yag pertama. Dan hujah mereka yang terakhir ialah kesabaran isteri sehingga suaminya memeluk Islam tiada akan mendatangkan kemudharatan ke atas isteri tersebut kerana itulah perkara yang diinginkan oleh si isteri tersebut. Hal ini juga tidak bersalahan dengan peraturan syarak kerana si isteri mampu memelihara dirinya dari dipengaruhi oleh suaminya yang beragama lain untuk kembali ke agama asalnya. Ayat Al-Quran ada menyebut :
قال الله تعالى : لا هن حل لهم ولا هم يحلون لهن

yang bermaksud : mereka tidak halal bagi orang2 kafir (sebagai isteri) dan orang2 kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami).

PENDAPAT KETIGA : Islamnya si isteri membatalkan ikatan perkahwinan antara mereka sama ada isteri tersebut telah disetubuhi atau belum disetubuhi walaupun si suami memeluk Islam selepas itu dengan sekelip mata. Ini merupakan pendapat dari الظاهرية dan diriwayatkan oleh Ibn Hazim.

Hujah mereka ialah berdasarkan ayat Al-Quran yang berbunyi :
قال الله تعالى : يا أيها الذين آمنوا إذا جاءكم المؤمنات مهاجرات فامتحنوهن الله أعلم بإيمانهن فإن علمتموهن مؤمنات فلا ترجعوهن إلى الكفار لا هن لهم ولا هم يحلون لهن وآتوهم ما أنفقوا

yang bermaksud : wahai orang2 yang beriman! Apabila orang2 perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka. Allah lebih mengetahui akan iman mereka. Dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang2 yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang2 kafir itu (sebagai isteri) dan orang2 kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami) dan berilah kepada suami2 (yang kafir) itu apa yang mereka telah belanjakan.

Selain itu mereka juga berhujah berdasarkan dalil As-Sunnah yang berbunyi :
عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده أن رسول الله رد ابنته على أبي العاص بمهر جديد ونكاح جديد

yang bermaksud : sesungguhnya Nabi Muhammad SAW mengembalikan anak perempuannya Zainab kepada Abi Al-As dengan mahar dan pernikahan yang baru.

PENDAPAT KEEMPAT : Islamnya isteri tidak memberi kesan kepada pelaksanaan perkahwinan tersebut bersama suami yang masih kekal dengan agama yang dianutinya. Dan keislaman isteri itu juga tidak menghalang mereka untuk melakukan hubungan kelamin sesama mereka. Ini merupakan pendapat sesetengah Ulama' kontemporari antaranya Doktor Abdullah Al-Judai' di dalam kajian majalah Majlis Fatwa Eropah bilangan ke-2 pada tahun 2003.

Hujah bagi pendapat ini ialah mengqiyaskan suami yang beragama Islam mengahwini wanita dari golongan Kitabi. Selain itu kekalnya suami dengan agama yang dianutinya tidak mendatangkan fitnah kepada isteri berdasarkan hak manusia yang bebas untuk memilih akidah masing2 seperti yang termaktub di dalam perlembagaan Eropah.

Jadi jelaslah isu pasangan memeluk Islam ini atau salah seorang sahaja dari mereka yang memeluk Islam dan seorang lagi masih kekal dengan agama yang dianuti merupakan isu Fiqh yang telah lama diperbincangkan. Tetapi perubahan2 dalam arus masa kini telah memperbaharui kajian dan perbahasannya. Maka di dalam masalah yang kita bincangkan ini pendapat yang dipilih ialah pendapat yang kedua iaitu pendapat dari Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim yang mengatakan kekalnya akad perkahwinan antara mereka namun perkakwinan itu terhenti sehingga si suami memeluk Islam untuk mengelakkan fitnah ke atas isteri. Bagi seorang isteri muslimah harusnya baginya di dalam keadaan yang darurat untuk kekal memelihara suaminya yang masih menganut agama lain sehinggalah Allah meredhai apa yang dilakukannya. Ayat Al-Quran ada menyebut :
من كفر بالله من بعد إيمانه إلا من أكره وقلبه مطمئن بالإيمان ولكن من شرح بالكفر صدرا فعليهم غضب من الله ولهم عذاب عظيم

yang bermaksud : sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar.

Adakah Jatuh Talak Dari Seorang Penagih Dadah

Istilah ketagihan mula dikenali sejak penemuan kepada najis dadah yang membawa kepada penyalahgunaannya pada kali pertama pada kurun ke 19 Masihi. Selepas itu ia membawa kepada penemuan2 najis dadah yang lain seperti Morfin pada tahun 1806, Heroin pada tahun 1898 dan Halusinogen pada tahun 1947. Kemudian penyalahgunaan najis dadah ini mula berkembang di Eropah dan Amerika pada tahun 1870 semasa berlakunya Perang Saudara Amerika dan juga Perang Perancis-Jerman yang mana ramai tentera2 yang terlibat di dalam peperangan ini menagih najis dadah ini. Maka selepas pada itu penyalahgunaan dadah ini mula berkembang ke negara2 Arab dan negara2 Islam khususnya melibatkan golongan penuntut universiti dan juga golongan2 pekerja.

Morfin merupakan antara najis dadah yang paling aktif digunakan. Dadah yang dihasilkan dari buah popi ini boleh diambil sama ada melalui suntikan, rokok, sedutan melalui hidung atau terus menelannya. Heroin pula merupakan dadah yang paling berbahaya dan memberi kesan yang mendalam kepada penagihnya. Pengambilan kali pertama sahaja akan membawa kepada ketagihan sepanjang hayat. Heroin ini akan memberi kesan yang cepat kepada si penagihnya yang membawa kepada perubahan drastik dari segi emosi,mental dan fizikal. Apabila dadah ini mula diambil individu yang terlibat akan mula rasa resah dan gelisah dan merasa sakit di seluruh badan seperti ditusuk jarum tajam disebabkan berlakunya kekejangan otot dan urat2 saraf. Serangan ke atas otot dan urat saraf ini akan membawa hamba dadah tersebut ke ambang kematian atau sekurang2nya mengalami masalah mental yang kronik.

Jika ketagihan tersebut bukan disebabkan individu itu seperti perbuatan khianat dari pihak lain atau kesilapan dari pihak doktor yang merawatnya, perbuatannya tidak diambil kira kecuali apa yang ditaklifkan ke atasnya sahaja. Tetapi jika ketagihan tersebut atas kehendak dan pilihannya sendiri maka Ahli Feqah masa kini bersependapat sahnya berlaku talak tersebut jika si suami berada di dalam keadaan yang stabil dan tidak dipengaruhi dengan najis dadah tersebut. Tetapi jika ketika melafazkan talak tersebut si suami dipengaruhi dengan najis dadah yang membawa kepada kesan negatif terhadap dirinya maka Ahli Feqah berselisih pendapat mengenai masalah ini.

PENDAPAT PERTAMA : Sahnya lafaz talak dari penagih dadah tersebut. Ini merupakan pendapat dari kebanyakan Ahli Feqah.

Hujah mereka ialah mengqiyaskan penagih dadah ini dengan orang yang mabuk. Menurut pendapat dari Jumhur Fuqaha' dari Hanafi dan Maliki dan juga nas2 dari Mazhab Shafie lafaz talak dari orang yang mabuk adalah sah berdasarkan ikatan hukum yang melihat kepada sebab mabuk adalah dari individu itu sendiri. Mereka juga berhujah berdasarkan dalil As-Sunnah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah yang berbunyi :
أن النبي قال: ثلاث جدهن جد وهزلهن جد: النكاح والطلاق والعتاق
yang bermaksud Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda tiga perkara yang betul2 akan terjadi walaupun di dalam keadaan melawak ialah nikah, talak dan memerdekakan hamba. Selain itu antara hujah mereka yang lain penagih dadah juga seorang muslim yang mukallaf yang dikira lafaz talaknya seperti dikira jenayah2nya yang lain. Ini berbeza dengan orang yang gila yang tidak dikira jenayah yang dilakukannya.

PENDAPAT KEDUA : Terbatal talak yang dilafazkan jika berada di bawah pengaruh dadah. Ini merupakan pendapat sebahagian dari Ahli Feqah.

Hujah pendapat ini ialah juga mengqiyaskan penagih dadah ini dengan orang mabuk. Menurut pendapat الكراخي dan الطحاوي dari Mazhab Hanafi dan juga kata2 dari Mazhab Shafie dan riwayat dari Hanbali menyatakan sesungguhnya talak dari orang yang mabuk tidak dikira kerana dia tidak mengetahui apa yang diperkatakannya sepertimana dalil Al-Quran yang berbunyi :
قال الله تعالى : لا تقربوا الصلاة وأنتم سكارى حتى تعلموا ما تقولون
yang bermaksud : janganlah kamu mengerjakan sembahyang ketika mana kamu berada di dalam keadaan mabuk sehinggalah kamu ketahui apa yang kamu perkatakan. Tetapi munurut pendapat dari Mazhab Maliki dan Shafie jatuhnya talak orang yang mabuk ini dengan syarat dia menyedari ketika lafaz talak tersebut diungkapkan tetapi jika dia tidak menyedarinya maka talak tersebut tidak berlaku. Selain itu mereka juga berhujah berdasarkan dalil As-Sunnah yang berbunyi :
عن عائشة أن النبي قال: رفع القلم عن ثلاثة عن النائم حتى يستيقظ وعن الصغير حتى يكبر وعن المجنون حتى يعقل أو يفيق
Hujah yang ketiga ialah orang yang berada di bawah pengaruh dadah ini diibaratkan seperti orang yang dipaksa atau hilang kewarasan seperti orang gila atau orang yang tidur. Dan hujah mereka yang terakhir ialah berdasarkan nas yang dikeluarkan oleh Mazhab Hanafi dan diriwayatkan oleh Imam Nawawi dari Mazhab Shafie hukum bagi sesiapa yang makan ubat tanpa ada sebarang tujuan kemudian menyebabkannya hilang kewarasan berfikir maka talak yang dilafazkannya tidak dikira. Begitu juga keadaannya seorang penagih dadah kerana ibarat dadah tersebut seperti ubat yang memabukkan.

Jadi terbuktilah di sini gejala penagihan dadah masa kini telah mengundang pelbagai isu dan masalah di dalam komuniti masyarakat kita. Begitu juga masalah yang kita bincangkan di atas yang mengundang perselisihan pendapat dari Ahli2 Feqah kontemporari yang mana kebanyakan dari mereka mengeluarkan pendapat dengan melihat kepada maksud syarie. Ada pula yang mengeluarkan pendapat dengan melihat kepada keterikatan antara sebab dan penyebabnya. Dan ada pula yang berpendapat dengan melihat kepada fokus pentaklifan iaitu akal dan kemampuan individu tersebut. Namun pendapat yang dipilih bagi masalah yang dibicarakan ini ialah pendapat yang kedua iaitu lafaz talak dari penagih yang berada di bawah dadah adalah tidak sah. Ini kerana perbuatan itu akan menzalimi isteri dan anak2nya dan lafaz talak itu juga tidak diiktibarkan menepati maksud syariat Islam yang inginkan kesenangan dan mengelakkan kesusahan seperti ayat Al-Quran yang berbunyi
قال الله تعالى: وما جعل عليكم في الدين من حرج
yang bermaksud tidaklah dijadikan ke atas kamu keberatan atau kesusahan di dalam perkara agama. Jadi jelaslah di sini lafaz talak ini akan dikira di dalam apa jua keadaan sekiranya ianya menepati kehendak syarak.

Hukum Menuntut Fasakh Dari Pasangan Yang Dijangkiti AIDS

Jika posting yang sebelum ini kita telah membincangkan mengenai isu menuntut fasakh bagi pasangan yang menagih dadah @ rokok yang mana pada akhirnya Ulama' masa kini berpendapat si isteri boleh menuntut fasakh jika sifat ketagihan si suami itu berlaku selepas terjalinnya ikatan perkahwinan dan si isteri tidak lagi mampu untuk menanggungnya. Tetapi alangkah lebih baiknya si isteri bersabar dengan tingkah laku si suami itu dalam masa yang sama mempraktikkan langkah2 pencegahan untuk mengelakkan perkara2 yang tidak diingini disamping sentiasa berdoa dan menasihati agar si suami tersebut dapat mengubah perangai buruknya itu. Bagi isu kali ini pula kita akan membincangkan pula mengenai isu menuntut fasakh dari pasangan yang dijangkiti AIDS.

Seperti yang disebut oleh Ahli2 Feqah syarat untuk menuntut fasakh dari pasangan masing2 ialah berlakunya aib yang menyempitkan perhubungan perkahwinan mereka. Aib inilah yang akan menjadi penghalang kepada berlakunya hubungan kelamin antara mereka seterusnya melanggar prinsip bagi individu yang sihat tubuh badannya. Antara contoh aib yang disebut oleh para Ulama' ialah kemaluan terpotong, kemaluan yang terlalu kecil, mati pucuk, ruang persetubuhan tersumbat, gumpalan daging pada faraj, gila dan penyakit sopak. Ulama' bersepakat jika si suami yang menanggung aib tersebut si isteri berhak untuk menuntut fasakh. Jika si isteri yang menanggung aib itu menurut pendapat Mazhab Hanafi si suami tidak berhak menuntut fasakh kerana dia mampu menyelesaikannya dengan talak. Tetapi menurut pendapat Jumhur Ulama' si suami berhak menuntut fasakh seperti keadaan si isteri.

Maka timbullah isu di dalam masyarakat kita masa kini tentang adakah AIDS juga dikategorikan sebagai aib yang boleh membawa kepada tuntutan fasakh dari pasangan masing2. Seperti yang diketahui sehingga kini masih tiada lagi penawar untuk mengubati penyakit AIDS ini yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada kematian masyarakat dunia sejak tiga dekad yang lalu. Wabak yang berjangkit melalui hubungan persetubuhan dan percampuran darah dari individu yang dijangkiti AIDS ini menjadi antara perkara yang ditakuti dan digeruni oleh masyarakat moden masa kini. Ulama' kontemporari bersependapat jika pasangan suami dan isteri kedua2nya dijangkiti viurs Aids ini maka terhalang bagi salah seorang dari mereka untuk menuntut fasakh. Tetapi jika salah seorang sahaja dari mereka dijangkiti AIDS maka Ahli2 Feqah berselisih pendapat mengenai hak menuntut fasakh ini kepada tiga pendapat :

PENDAPAT PERTAMA : Dibolehkan pasangan yang sihat tubuh badannya menuntut fasakh dari pasangannya yang dijangkit AIDS tidak kira sama ada jangkitan tersebut sebelum ikatan perkahwinan atau selepasnya. Ini merupakan pendapat yang diputuskan oleh Organisasi Islam bagi Sains Perubatan Kuwait pada nadwah mereka yang ke-7 pada tahun 1993.

Hujah mereka ialah penyakit AIDS merupakan agen pembunuh yang boleh berjangkit melalui hubungan persetubuhan atau kehamilan. Maka bagi pasangan yang sihat dia mempunyai hak untuk memilih semata2 untuk memelihara dirinya dan pewaris keturunannya dari dijangkiti virus AIDS itu. Sesungguhnya virus AIDS ini akan memudharat dan menggugat kekuatan individu yang sihat ini seterusnya menggoncang institusi kekeluargaan yang dibina.

PENDAPAT KEDUA : Individu yang sihat tidak boleh menuntut fasakh dari pasangannya yang dijangkiti AIDS. Ini merupakan pendapat sebahagian Ahli Fiqh.

Mereka berhujah sesungguhnya wabak AIDS ini bukanlah dari kategori aib yang boleh memutuskan ikatan prkahwinan seperti yang disebut oleh Ahli2 Fiqh terdahulu. Jangkitan AIDS ini bukanlah penghalang kepada perhubungan suami isteri ini yang merupakan maksud kepada terjalinnya ikatan antara mereka. Bagi individu yang sihat tubuh badannya mungkin boleh mempraktikkan langkah2 pencegahan seperti memakai "perisai" ketika melakukan persetubuhan demi untuk mengelakkan jangkitan AIDS itu. Dan jelaslah di sini maksud yang lebih besar terjalinnya ikatan perkahwinan itu bukan hanya terletak pada hubungan antara suami isteri tersebut tetapi terletak pada sifat penyayang dan tanggungjawab dalam menyediakan tempat tinggal dan nafkah2 yang lain.

PENDAPAT KETIGA : Melihat kepada situasi masalah tersebut. Jika isteri yang dijangkiti AIDS si suami tiada hak untuk menuntut fasakh kerana dia mempunyai hak untuk melafazkan talak. Tetapi jika si suami yang dijangkit wabak ini maka si isteri berhak untuk menuntut fasakh untuk mengelakkan kemudharatan ke atas dirinya. Ini merupakan pendapat yang dikeluarkan oleh Akademi Fiqh Islam melalui Muktamar Islam mereka yang ke-9 pada tahun 1995.

Hujah mereka ialah tidak terlalu memandang luas kepada masalah fasakh ini. Fasakh ini hanya akan berlaku apabila berlakunya aib2 seperti yang disebutkan di atas seperti yang disebutkan oleh Ulama' terdahulu.

Jadi jelaslah di sini wabak AIDS yang mula diketahui masyarakat dunia sejak tiga kurun yang lalu telah memberi kesan timbulnya isu yang kita bincangkan ini. Isu yang mengundang kepada pencanggahan pendapat dari segi hukum Fiqh ini yang menunjukkan kepada keluasan syariat Islam ini menuntut kepada perlunya kajian dan perbahasan yang lebih mendalam bagi menepati aspek perubatan dan juga hukum Fiqh. Namun berdasarkan data perubatan dan kajian saintifik pendapat yang dipilih bagi masalah ini ialah pendapat yang pertama iaitu pasangan yang sihat berhak untuk menuntut fasakh dari pasangannya yang dijangkiti AIDS dengan syarat dia bukanlah penyebab kepada jangkitan pasanagannya itu. Ini kerana individu yang sihat perlu mengasingkan diri dari pasangannya yang dijangkiti AIDS ini untuk mengelakkan kebinasaan yang akan berlaku jika dijangkiti virus tersebut. Tetapi menurut Undang2 Kekeluargaan Mesir yang ke-25 pada tahun 1929 yang bersamaan dengan Undang2 ke-100 pada tahun 1985 mereka memilih pendapat yang ketiga sebagai penyelesaian kepada isu ini. Rencana mereka yang ke-9 ada menyebut : si isteri boleh menuntut fasakh jika berlakunya ke atas si suami aib yang tidak mampu diubati lagi @ mengambil tempoh yang terlalu lama untuk diubati dan si isteri tidak mampu lagi untuk tinggal bersama suami tersebut dengan syarat aib itu berlaku sebelum ikatan perkahwinan dan tidak diketahui oleh si isteri @ berlaku selepas perkahwinan dan si isteri tidak meredhainya. Tetapi jika si isteri mengetahui tentang aib tersebut @ berlakunya aib itu selepas perkahwinan dan si isteri meredhainya maka di dalam keadaan ini dia tidak boleh untuk menuntut fasakh.

Hukum Menuntut Fasakh Dari Pasangan Yang Menagih Dadah @ Rokok

Masalah rokok dan dadah telah mula merebak di kalangan umat manusia sejak beberapa kurun yang lalu. Walaupun mereka ini mengetahui rokok dan dadah ini boleh membinasa dan merosakkan sel manusia, namun ia langsung tidak memberi kesan terhadap mereka untuk terus menghambakan diri kepada najis dadah dan rokok ini seterusnya mengubah peradaban manusia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pihak kerajaan dan Pertubuhan2 Bukan Kerajaan (NGO) telah menjalankan pelbagai aktiviti dan kempen untuk memberi kesedaran tentang bahayanya najis perosak ini namun ia sedikit pun tidak menampakkan kesan yang positif. Hingga akhirnya pihak kerajaan terpaksa menyediakan tempat khas untuk perokok ini demi menjaga masyarakat yang lain dari terjerumus ke lembah kebinasaan akibat perbuatan yang tidak berfaedah ini.

Seperti yang kita semua ketahui, kemudharatan akibat najis dadah dan rokok ini bukan sahaja kepada si penagihnya, bahkan turut mengundang kebinasaan kepada masyarakat sekelilingnya khususnya kepada isteri,anak2 dan sesiapa yang tinggal bersamanya. Antara kemudharatan yang jelas ialah pernafasan dan pakaian yang berbau dan berpindahnya penyakit akibat asap rokok dan dadah ini kepada ahli keluarga sekelilingnya. Selain itu, najis ini juga akan mendorong si penagihnya berkelakuan buruk akibat kesempitan wang yang dialami. Ini kerana mereka ini terpaksa menggadaikan nilai nafkah yang sepatutnya disalurkan kepada ahli keluarga mereka semata2 untuk memperoleh najis perosak ini. Akibat dari masalah ini, maka timbullah perdebatan mengenai isu yang diutarakan kali ini.

Menurut persepakatan Ulama'2 kontemporari, jika si isteri yang menjadi hamba kepada najis dadah @ rokok ini si suami tidak ada hak untuk menuntut fasakh kerana si suami mampu menyelesaikannya dengan talak. Ini kerana ketagihan itu bukanlah satu aib yang boleh berjangkit melalui hubungan persetubuhan antara suami dan isteri. Maka disebabkan faktor inilah Mazhab Hanafi tidak membolehkan kepada untuk menuntut fasakh. Tetapi berbeza pula dengan Jumhur Ulama' yang membolehkan kepada suami dan isteri menuntut fasakh tetapi dengan syarat aib tersebut aib yang menjijikkan. Tetapi ketagihan ini bukanlah di dalam kategori aib tersebut.

Jika si suami pula yang ketagihan rokok dan dadah ini, maka Ahli2 Feqah masa kini berselisih pendapat adakah si isteri ada hak untuk menuntut fasakh. Pendapat2 mereka adalah seperti berikut :

PENDAPAT PERTAMA : Isteri mempunyai hak untuk menuntut fasakh tidak kira sama ada ketagihan suami itu sebelum terjalin ikatan perkahwinan atau selepasnya. Pendapat ini merupakan pendapat yang paling popular bagi ilmu Fiqh masa kini.

Hujah pendapat ini ialah ketagihan rokok dan dadah ini merupakan suatu aib yang amat menjijikkan bagi si isteri yang sihat tubuh badannya. Maka dia mempunyai hak untuk menuntut fasakh demi mengelakkan sebarang kezaliman ke atasnya. Selain itu ketagihan rokok dan dadah ini juga akan mengundang kemudharatan kepada si isteri. Maka hal ini perlu dielakkan berdasarkan dalil yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad & Ibn Majah riwayat Ibnu Abbas sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda : لا ضرر ولا ضرار
Antara hujah mereka lagi ialah ketagihan merupakan satu sifat yang berterusan disebabkan si penagih tersebut sukar untuk menghentikan perbuatannya itu. Maka jalan yang terbaik adalah dengan berpisah. Allah SWT dengan jelas menyebut di dalam Al-Quran : "وإن يتفرقا يغن الله كل من سعته" yang bermaksud dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing2 dari limpah kurniaNya.

PENDAPAT KEDUA : Isteri mempunyai hak untuk menuntut fasakh jika ketagihan si suami tersebut berlaku selepas perkahwinan dan isteri tidak lagi untuk menanggungnya. Ini merupakan pendapat kecil di dalam ilmu Fiqh.

Hujah mereka ialah jika si isteri meredhai perbuatan si suami sebelum terjalinnya ikatan perkahwinan antara mereka atau si isteri yang menjadi penyebab kepada si suami mengambil najis dadah dan rokok tersebut maka tergugurlah hak si isteri untuk mengelak kemudharatan itu.

PENDAPAT KETIGA
: Ketagihan dadah atau rokok bagi si suami tidak memberi hak kepada si isteri untuk menuntut fasakh. Ini merupakan pendapat kebanyakan Ahli Feqah pada masa kini.

Hujah mereka ialah ketagihan ini bukanlah satu aib yang boleh memberi kesan di dalam hubungan kelamin antara suami & isteri. Selain itu kemudharatan akibat ketagihan ini akan kembali kepada si pelaku dan bagi isteri mungkin dapat mengelakkan perkara ini dengan mempraktikkan langkah2 pencegahan yang sewajarnya. Hujah mereka yang terakhir ialah jika si isteri diberi hak untuk menuntut fasakh maka ini akan membuka pintu yang luas berlakunya talak yang akan menyebabkan bertambahnya golongan janda dan anak2 terabai. Hal ini juga akan meningkatkan lagi golongan penagih najis dadah dan rokok ini.

Maka terbuktilah di sini perkembangan peradaban dan ilmu telah mewujudkan kajian2 yang mendalam tentang bahayanya najis dadah dan rokok ini. Masalah ini juga membuka lembaran baru dalam perbincangan hukum Fiqh dan di antara isu yang hangat diperbincangkan ialah isu berkaitan menuntut fasakh ini. Dan jelaslah di sini perselisihan pendapat Ahli2 Feqah masa kini lebih mengutamakan perbahasan dari segi maslahah syarak, sesetengahnya pula mengutamakan maslahah isteri untuk mengelakkan kemudharatan, ada pula yang mengutamakan maslahah institusi kekeluargaan agar kekal utuh selama2nya dan ada pula sesetengahnya yang menggabungkan kedua2 maslahah ini. Maka akhirnya pendapat yang dipilih bagi masalah ini ialah pendapat yang kedua yang menggabungkan semua maslahah. Jika si isteri mengetahui tabiat buruk si suami sebelum terjalinnya ikatan perkahwinan maka dia tidak mempunyai hak untuk menuntut fasakh kerana haknya telah tergugur dengan keredhaannya. Begitu juga jika tabiat si suami tersebut berlaku selepas ikatan perkahwinan dan disebabkan si isteri itu sendiri sehingga dia tidak mampu untuk menghentikan ketagihan si suami tersebut, dia juga tidah berhak untuk menuntut fasakh. Tetapi jika ketagihan suami tersebut berlaku selepas ikatan perkahwinan dan dia tidak mampu lagi untuk menanggungnya, maka dia berhak untuk menuntut fasakh demi untuk mengelakkan kemudharatan. Tetapi jika dia mampu untuk bersabar dan dalam masa yang sama mengambil langkah2 pencegahan dan berterusan menasihati suaminya agar menghentikan kegiatan yang membinasakan itu, maka itulah sebaik2 perkara yang dituntut oleh syarak sepertimana dalil Al-Quran yang berbunyi : وأمر أهلك بالصلاة واصطبر عليها yang bermaksud perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau sabar menunaikannya.

Hukum Berkahwin Dengan Warga Israel

Saban hari kita dapat mendengar dan melihat dari corong2 radio dan media massa tentang kekejaman Israel terhadap umat Islam di Palestin. Pemimpin2 Islam di seluruh pelusuk dunia hanya mampu berdiam diri dengan perbuatan mereka itu. Umat Islam pula hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti Allah SWT menurunkan azab yang setimpal untuk menghentikan kekejaman dan kezaliman puak Israel ini. Pelbagai perkara telah dilaksanakan oleh umat Islam masa kini seperti memboikot produk2 keluaran Israel dan negara2 sekufunya bertujuan untuk melumpuhkan kegiatan mereka itu namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk terus melakukan kezaliman terhadap umat Islam di dunia ini.

Namun di sebalik situasi yang berlaku ini, timbul pula isu perkahwinan umat Islam dengan warga Israel yang semakin berleluasa khususnya bagi umat Islam di Mesir. Menurut statistik dan laporan rasmi media isu ini telah mencapai ke satu tahap yang membimbangkan. Statistik pertama yang dikeluarkan oleh Kementerian Kemasyarakatan & Sosial melalui laporan rasmi dari menterinya Doktor Aminah Al-Jundi, sehingga tahun 2000 bilangan pekerja2 warga Mesir yang menetap di Israel telah mencapai angka 17000 orang. Kemudian Akhbar Mingguan Mesir keluaran ke 633 pada 29 Mei 2009 menyatakan bilangan terkini pemuda Mesir yang berkahwin dengan wanita Israel ialah seramai 30000 orang. Kebanyakan dari mereka mengambil keputusan untuk berkahwin dengan warga Israel ini hanya untuk meneruskan pekerjaan mereka di negara Israel. Namun perkara ini juga tidak dapat lari dari wujudnya sekarang ini perkahwinan pemuda2 Israel dengan wanita2 Mesir. Keadaan ini membuatkan Ahli2 Feqah masa kini melakukan kajian yang mendalam dalam menangani isu kemasyarakatan yang semakin meruncing ini.

Sebenarnya perkataan "Israeli" ini dinisbahkan kepada Israel iaitu lafaz Ibri yang membawa maksud hamba Allah. Ahli2 Feqah Islam mengklafikasikan warga Israel dahulu sebagai sesiapa yang berketurunan Israel, iaitu Nabi Allah Yaakub Bin Ishak. Dan semua Ulama' bersepakat muamalah mereka ini ialah muamalah ahli Kitab yang mana dibolehkan orang2 Musliman mengahwini wanita2 dari keturunan Israel ini. Namun Ahli Feqah masa kini pula mengklafikasikan Israel ini kepada sesiapa yang memegang kerakyatan Israel dan menetap di negara tersebut sama ada dari agama Yahudi, Masihi atau Islam.

Namun selepas melihat kepada kekejaman dan kezaliman yang dilakukan warga Israel khususnya ke atas warga Palestin yang mana menuntut kepada seluruh umat Islam memerangi golongan ini, maka timbullah persoalan tentang hukum perkahwinan orang Islam yang bukan warganegara Israel dengan warga Israel ini. Sebenarnya Israel menyatakan Palestin itu negara mereka selepas keluarnya tentera Britian dari bumi Palestin pada tahun 1948 dan kenyataan ini diiktiraf oleh kebanyakan negara2 Dunia dan beberapa negara Arab yang lain. Hal ini menyebabkan seluruh pelusuk dunia seakan2 merestui kezaliman yang dilakukan mereka ini. Lalu Ahli2 Feqah masa kini berselisih pendapat tentang masalah yang kita bincangkan ini. Pendapat2 mereka adalah seperti berikut :

PENDAPAT PERTAMA : Haram berkahwin dengan warga Israel secara mutlak tidak kira sama ada dari golongan Arab atau Ibrani, menetap di negara Israel atau tidak. Pendapat ini merupakan pendapat kebanyakaan para Ulama' dan juga pendapat yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Mahkamah Mesir melalui Menteri Dalam Negerinya yang menuntut digugurkan kerakyatan warga Mesir yang berkahwin dengan warga Israel.

Hujah mereka ialah negara Israel memusuhi dan memerangi umat Islam. Ini kerana mereka melakukan kezaliman dengan mengaku negara Palestin sebagai negara mereka pada tahun 1948. Walaupun kegiatan itu diiktiraf oleh negara2 Dunia yang lain, namun kita tidak dapat menerimanya kerana pengiktirafan itu dilakukan oleh negara yang tiada hak ke atas Palestin tersebut sepertimana Perjanjian Salam yang tidak diterima oleh sebahagian negara Arab kerana bercanggah dengan keadaan asal agama. Selain itu, perkahwinan dengan warga Israel ini akan melahirkan generasi anak2 yang memegang kerakyatan Israel dan sebagainya yang akan mewajibkan mereka mengikuti khidmat ketenteraan dan kenegaraan di dua negara yang bermusuhan. Hujah mereka yang lain ialah menurut pendapat Mazhab Hanafi perbezaan negara merupakan satu larangan untuk menjalinkan ikatan perkahwinan. Jika pasangan itu berkahwin kemudian keluar salah seorang dari mereka ke negara lain maka berlakulah penceraian antara mereka. Namun menurut pendapat Jumhur Ulama' perbezaan negara bukan penyebab berlakunya penceraian antara mereka. Dan hujah mereka yang terakhir ialah golongan Arab yang menetap di Israel bertindak mengahwini warga negara itu disebabkan darurat pada masa itu namun darurat ini tidak ada bagi umat Islam di luar negara Israel.

PENDAPAT KEDUA : Haram bagi umat Islam yang berketurunan Ibrani mengahwini warga Israel tetapi jika dari keturunan Arab harusnya berkahwin dengan warga Israel ini bagi meraikan Qiyas Syarie yang membolehkan perkahwinan dengan ahli Kitab. Pendapat ini meruapakan pendapat sebahagian Ahli Feqah dan juga pendapat Duta Mesir di Israel Mohd Basyuni.

Hujah pendapat ini ialah seperti pendapat yang pertama kecuali mereka mengecualikan golongan Arab pada tahun 1948 yang dibolehkan berkahwin kerana menepati kehendak syarie. Ini kerana mereka ini juga dari ahli bumi Palestin tetapi ditetapkan ke atas mereka memiliki kerakyatan Israel.

PENDAPAT KETIGA : Dibolehkan mengahwini warga Israel ini. Ini merupakan pendapat yang lemah di dalam Fiqh.

Hujah mereka ialah kebanyakan negara2 Dunia dan juga sebahagian negara2 Arab mengiktiraf negara Israel ini dan menjalinkan hubungan politik dan juga ekonomi yang bersesuaian dengan politik syarie yang menjadi hak bagi setiap pemimpin dan tidak ada yang mengatakan Israel merupakan negara perang dan penceroboh. Selain itu tiada nas syarak yang melarang berkahwin dengan warga Israel jika dia merupakan dari ahli Kitab. Hujah mereka yang lain ialah warga Israel juga seperti warga2 dunia yang lain yang dibolehkan berkahwin jika menepati kehendak syarak.

PENDAPAT KEEMPAT : Dibolehkan berkahwin dengan warga Israel ini jika ia berasal dari negara yang mengiktiraf Israel dengan syarat meraikan Qiyas Syarie iaitu Islamnya si suami dan si isteri dari kalangan ahli kitab. Tetapi jika negaranya tidak mengiktiraf Israel maka tidak dibolehkan perkahwinan tersebut.

Hujah mereka ialah seperti pendapat ketiga kecuali mereka melarang perkahwinan ini bagi negara yang tidak mengiktiraf Israel ini berpaksikan kaedah Fiqh iaitu antara hak bagi seorang pemerintah ialah menyekat perkara yang diharuskan demi untuk maslahah umum.

Maka jelas lah di sini perubahan2 dari segi sejarah dan politik bagi konflik Arab Israel telah menimbulkan isu kemasyarakatan yang semakin membimbangkan ini. Percanggahan pendapat di dalam masalah ini meliputi pelbagai aspek kehidupan yang menuntut kepada pendapat yang satu bagi menyelesaikan masalah ini. Namun disebabkan peranan Fiqh dalam menyelesaikan semua isu yang berlaku berlandaskan pendapat2 syarie dan jujur dalam setiap kajian yang dijalankan, maka pendapat yang dipilih ialah pendapat yang pertama sekurang2nya untuk tujuan masa hadapan dan mengangkat martabat diri kita dari penceroboh seperti Israel ini sehingga Allah SWT memberikan kemenangan kepada yang berhak. Bagi umat Islam yang telah berkahwin dengan warga Israel ini hendaklah berpisah dengan penceraian. Jika dia tinggal di Israel pulanglah ke negara masing2 atau berhijrah ke negara yang lain yang aman dan bebas dalam melaksanakan syiar2 Islam tanpa ada sebarang sekatan atau kezaliman.

Hukum Berkahwin Dengan Warga Asing

Saban hari kita dapat melihat dan mendengar pelbagai isu timbul di negara kita. Dengan isu ekonominya, gejala sosialnya dan juga isu2 masyarakat yang lain, semua ini kadang kala mengundang resah di kalangan masyarakat Malaysia. Dan di antara isu yang kerap berlaku di dalam masyarakat kita pada masa kini ialah ialah perkahwinan rakyat malaysia dengan warga asing. Memang tidak dapat dinafikan semua ini adalah jodoh dan ketetapan dari Allah Yang Maha Esa. Namun kadang kala perkahwinan yang pada mulanya diserikan dengan bibit2 percintaan ini akhirnya musnah di tengah jalan akibat berlakunya perkara2 yang tidak diingini di dalam rumah tangga tersebut. Akibat dari berlakunya masalah ini maka timbullah isu apakah hukum seorang Muslim atau Muslimah berkahwin dengan warga asing sama ada warga asing tersebut beragama Islam atau sebaliknya. Dan warga asing ini juga meliputi warga dari negara Islam yang lain, warga dari negara bukan Islam dan juga warga dari negara yang diperangi sepertimana yang dikategorikan oleh Feqh Islam yang terdahulu.

Sebenarnya isu ini juga berlaku di negara2 yang lain. Contohnya Akhbar Al-Ahram Mesir pada keluarannya yang ke-6 pada bulan Jun 2007 mendedahkan bilangan wanita2 Mesir yang berkahwin dengan warga asing setiap tahun ialah kira2 1202 orang dan bilangan pemuda2nya yang berkahwin dengan perempuan asing ialah seramai 845 orang. Dan Akhbar Mingguan Mesir keluaran ke-579 pada 10 Mei 2008 pula mendedahkan menurut statistik yang dikeluarkan oleh Dewan Nasional bagi Golongan Ibu dan Anak menunjukkan hampir 40000 wanita2 Mesir yang berkahwin dengan warga asing ini terdedah kepada masalah kelahiran dan kecacatan yang mana bilangan anak2 yang lahir akibat dari masalah ini mencapai angka 150000 orang. Apabila berlakunya masalah ini si suami mengambil langkah untuk berpisah dengan isteri dan tidak mengaku anak tersebut sebagai waris keturunannya menyebabkan si isteri menanggung derita keseorangan.

Ulama' pada masa kini bersatu pendapat menyatakan sahnya perkahwinan dengan warga asing ini jika ianya dari negara yang tidak diperangi. Tetapi jika dia dari negara yang diperangi Jumhur Ulama' dari Maliki, Shafie dan Hanbali menyatakan sah tetapi berdosa disebabkan perkahwinan ini mungkin akan menyakiti umat Islam yang lain. Bagi pendapat Hanafi pula perbezaan negara ini menjadi penghalang berlakunya pernikahan tersebut walaupun perkahwinan tersebut berlangsung di negara Islam.

Walaupun Ulama'2 ini bersependapat sahnya perkahwinan dengan warga asing ini, namun apakah sebenarnya hukum taklifi bagi masalah yang dibincangkan ini. Antara hukm dan hujah yang diutarakan oleh mereka ialah :

PENDAPAT PERTAMA : Haram perkahwinan dengan warga asing ini. Walaupun perkahwinan itu sah di sisi undang2 tetapi berdosa bagi orang yang melakukannya sepertimana hukum sembahyang dengan memakai pakaian yang. Ini merupakan pendapat dari sebahagian Ahli Feqah.

Hujah pendapat ini ialah perkahwinan dengan warga asing ini mencacatkan dalam sesetengah perkara dan akhirnya berakhir dengan penceraian. Hal ini disebabkan berbezanya adat di antara mereka disamping pelaksanaan bagi sesebuah negara besar yang meletakkan penjagaan dan perlindungan anak ke atas ibu keseluruhannya jika si ibu dari negara yang lain. Maka perkara ini wajib dijauhkan demi mengelakkan kezaliman ke atas si isteri dan sia2nya berlakunya perkahwinan tersebut. Selain itu perkahwinan dengan warga asing ini juga boleh mengundang pelbagai kefasadan dan kemudharatan kepada pasangan, anak2 dan juga masyarakat disebabkan perbezaan budaya dan cara hidup warga asing ini.

PENDAPAT KEDUA : Makruh perkahwinan dengan warga asing ini. Ini juga pendapat sebahagian kecil Ahli Feqah.

Hujah mereka ialah sepertimana hujah dari pendapat pertama iaitu berlakunya kecacatan dan kefasadan di dalam perkahwinan ini namun bagi mereka ianya bukanlah satu perkara yang pasti akan berlaku dan kemungkinan juga ianya tidak akan berlaku bagi sesetengah pasangan. Maka memadai diletakkan hukum makruh sahaja.

PENDAPAT KETIGA : Harus hukumnya berkahwin dengan warga asing ini. Pendapat ini merupakan pendapat kebanyakan para Ulama'.

Hujah mereka ialah dalil umum dari Al-Quran yang berbunyi :
قال الله تعالى: يا أيها الناس إنا خلقناكم من دكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا
yang bermaksud : Wahai umat manusia sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenalan antara satu sama lain. Selain itu antara hujah pendapat ini lagi ialah perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Mariah Al-Qibtiyah seorang wanita Masihi Rum. Ini menjadi bukti yang kuat tiada larangan perkahwinan dengan warga asing ini. Dan antara hujah mereka lagi ialah jika dilarang berlakunya perkahwinan dengan warga asing ini akan meletakkan manusia di dalam kesusahan. Hal ini bersalahan dengan ayat Al-Quran yang berbunyi:
قال الله: تعالى وما جعل عليكم رفي الدين من حرج
yang bermaksud tidaklah dijadikan ke atas kamu keberatan atau kesusahan dalam perkara agama.

PENDAPAT KEEMPAT : Melihat kepada warga asing tersebut. Jika warga asing tersebut dari warga arab maka hukumnya harus atau kebanyakannya berkata ianya makruh. Tetapi jika warga asing tersebut bukan dari warga arab maka hukumnya haram atau sekurang2nya makruh.

Jadi jelaslah di sini kesan dari perkembangan dari segi perkauman ini telah menimbulkan pelbagai isu dan diantaranya ialah isu perkahwinan dengan warga asing ini. Setelah kita melihat percanggahan pendapat para Ulama' yang merujuk kepada segala aspek persekitaran dan dibuktikan pula dengan keluasan hukum syariah yang meraikan situasi yang pelbagai yang bersesuaian dengan setiap tempat dan waktu, maka pendapat yang dipilih untuk masalah yang dibincangkan ini ialah pendapat yang ketiga iaitu harusnya perkahwinan dengan warga asing ini berdasarkan kebebasan yang diberikan oleh agama Islam kepada seluruh umat manusia demi mencapai maksud yang disyariatkan kepada pasangan setelah termeterainya ikatan perkahwinan. Kemudharatan yang dikatakan mungkin timbul dari perkahwinan yang berbeza adat dan budaya ini sebenarnya dapat dielakkan jika perkahwinan ini disertai dengan bibit2 percintaan dan diserikan dengan sifat2 yang sewajarnya agar ikatan yang terbina ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

Hukum Perempuan Yang Mengahwini Lelaki Yang Jauh Lebih Tua Darinya

Perkahwinan merupakan salah satu impian bagi setiap umat manusia di muka bumi ini. Tanpa mengenal erti miskin atau kaya, sihat atau sakit, cacat atau sempurna, semua ini tidak menghalang sesiapa sahaja untuk memasang impian mendirikan rumah tangga demi untuk menyambung nasab dan keturunan masing2 di samping menambahkan bilangan kaum Adam dan Hawa di muka bumi ini. Namun di sebalik arus kemodenan masa kini kita dapat melihat pelbagai jenis perkahwinan yang dilaksanakan demi untuk mencapai cita2 masing2 mendirikan rumah tangga. Perkahwinan antara teruna dengan janda, dara dengan duda, warga tua dengan wanita2 yang jauh lebih muda darinya, semua ini kadang-kala mengundang persoalan di kalangan masyarakat yang mana perkara2 ini jarang2 berlaku sebelum ini terutama pada zaman nenek moyang kita.

Namun sejak kebelakangan ini isu perkahwinan perempuan dengan lelaki yang jauh lebih tua darinya semakin kerap berlaku. Adakah ini merupakan 'trend' pada zaman yang semakin canggih ini? Atau memang jodoh yang tidak dapat dielakkan bagi orang yang melaluinya? Sebenarnya isu perkahwinan dengan pasangan yang jauh lebih tua ini mula timbul sejak berakhirnya peperangan Oktober pada tahun 1973 lagi. Kenaikan harga petrol di negara2 teluk dan peningkatan kos hidup yang semakin tinggi mendorong berlakunya isu ini. Apabila berlakunya perkara ini mendorong lelaki2 yang berumur dan kaya ini mengambil keputusan untuk mengahwini perempuan2 yang jauh lebih muda darinya demi untuk merealisasikan impian mereka. Namun perkahwinan2 yang berlaku ini kebanyakannya berakhir dengan penceraian sehingga menyebabkan anak2 terabai dan si isteri hilang tempat bergantung.

Ulama' Feqah bersatu pendapat sah perkahwinan jika lelaki mengahwini perempuan yang jauh lebih tua darinya. Ini kerana sifat الكفاءة(setaraf) hanya terletak di bahu si suami dan juga si suami mempunyai hak talak ke atas si isteri. Si isteri pula hanya insan yang lemah yang memerlukan kepada perhatian si suami. Tetapi bagaimana pula hukum perempuan yang berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih tua darinya? Ahli Feqah masa kini berselisih pendapat mengenai masaalah ini.

PENDAPAT PERTAMA : Sah perkahwinan perempuan yang mengahwini lelaki yang jauh lebih tua darinya dan hukumnya harus tanpa ada sebarang tegahan. Ini merupakan pendapat yang selalu diperkatakan di dalam ilmu Feqah.

Hujah bagi menyokong pendapat ini ialah Ulama'2 Feqah dari Mazhab Empat dan Mazhab Azzohiriah tidak melihat umur sebagai penghalang kepada perkahwinan. Perkahwinan ini memadai dinilai dari segi ilmu agamanya, baik keturunannya,harta sebagai bekalan masa depan dan sebagainya. Selain itu, tiada dalil yang melarang berlakunya perkara ini bahkan dibuktikan lagi dengan sahnya perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Saiyidah Aisyah yang mana umur Saiyidah Aisyah ketika itu 9 tahun dan ketika Nabi Muhammad SAW wafat umur beliau baru menjangkau 18 tahun.

PENDAPAT KEDUA : Sah perkahwinan dengan lelaki yang berumur ini. Namun hukumnya harus tetapi makruh. Ini merupakan pendapat sebahagian Ahli Feqah.

Hujah pendapat ini ialah mungkin adanya kemudharatan kecil di dalam perkahwinan ini kerana pasangan ini mungkin tidak serasi disebabkan perbezaan umur yang ketara di antara mereka. Dalil perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Saiyidah Aisyah tidak boleh menjadi kayu ukuran kerana itu antara khususiat bagi Baginda Nabi.

PENDAPAT KETIGA : Haram bagi perempuan mengahwini lelaki yang jauh lebih tua darinya. Ini juga pendapat sebahagian Ahli Feqah dan pendapat ini dipuji oleh Almarhum Doktor Ahmad Khandur di dalam bukunya " Ahwal As - syakhsiah".

Hujah bagi pendapat ini ialah pendapat yang dikeluarkan oleh Mazhab Shafie berkaitan masalah ini pendapat yang lemah. Mereka juga melihat orang tua tidak sekufu (setaraf) jika berkahwin dengan perempuan yang jauh lebih muda darinya. Seperti yang diketahui sifat kufu ini untuk kebahagiaan rumah tangga tersebut bukan sebagai syarat perkahwinan menurut pendapat Jumhur Ulama. Maka harus bagi sesiapa yang memiliki hak kufu (wali atau isteri) untuk mengiktirafnya atau menuntut fasakh. Tetapi menurut pendapat Hanafi dan sebahagian daripada Maliki kufu adalah syarat sah perkahwinan dan dikira tidak sah jika tiada sifat kufu tersebut. Selain itu perkahwinan dengan orang yang berumur ini yang boleh mengundang kemudharatan kepada pasangannya juga menjadi hujah haram berlakunya perkara ini.

Jadi jelaslah di sini perubahan di dalam arus masyarakat menjadi punca berlakunya masalah yang dibincangkan ini. Pencanggahan pendapat para Ulama' di dalam masalah ini perlu kepada penerangan2 yang lebih jelas untuk menentukan hukum yang sesuai. Walau bagaimanapun hukum perkahwinan ini sah jika menepati segala rukun dan syarat2nya. Terpulanglah kepada wali bagi perempuan tersebut untuk memilih pendapat yang paling sesuai berdasarkan maslahah dan menepati kehendak syarak. Sesungguhya wali ini lebih mengetahui apa yang baik untuk anak2 mereka bagi menjamin kebahagiaan perkahwinan tersebut hingga ke akhir hayat.