Pages

Monday, April 05, 2010

Kedudukan Penghidap AIDS Di Sisi Masyarakat

Di dalam posting yang sebelum ini kita telah membincangkan tentang hukum pengguguran bayi bagi ibu yang menghidap AIDS,hukum penjagaan dan penyusuan bayi bagi ibu yang menghidap AIDS dan hukum bera'zal dari pasangan yang dijangkiti AIDS. Dan pada kali kita akan membincangkan pula tentang kedudukan penghidap AIDS ini di sisi masyarakat.

Seperti yang kita semua ketahui, bilangan penghidap virus AIDS di muka bumi ini saban hari semakin bertambah dan telah mencapai ke tahap yang amat membimbangkan. Menurut statistik pertama yang dijalankan pada tahun 1981 penghidap AIDS ini hanya mencapai biangan 100,000 orang sahaja. Kemudian statistik yang berikutnya pada tahun 1992 mencatatkan 15 juta penghidap AIDS. Dan statistik yang terbaru pada tahun 1998 penghidap AIDS ini telah mencapai angka 35 juta orang.

Kita juga ketahui bertambahnya bilangan penghidap virus AIDS ini disebabkan berleluasanya gejala seks bebas dan juga perpindahan darah dari individu yang menghidap AIDS kepada individu yang sihat sama ada melalui luka atau perkongsian jarum suntikan dan pisau cukur yang dicemari dengan virus ini. Selain itu virus AIDS ini juga mungkin boleh merebak melalui kehamilan atau penyusuan ke atas bayi. Sehingga kini tiada lagi bukti yang boleh mensabitkan bahawa virus ini boleh merebak melalui pembawakan serangga, perkongsian makanan dan minuman, perkongsian alatan makanan dan pakaian dan sebagainya.

Rentetan dari kajian ilmiah berkaitan virus AIDS ini, ianya memberi kesan yang mendalam terutamanya berkaitan dengan isu masyarakat dan juga akhlak. Dan diantara isu yang paling penting yang timbul ialah status kedudukan penghidap AIDS ini di sisi masyarakat. Adakah ianya kesalahan si penghidap AIDS itu sendiri atau sebaliknya dan adakah perlu diasingkan mereka ini dari golongan yang sihat tubuh badan mereka. Maka Ahli2 Feqah telah bercanggah kepada 3 pendapat :

PENDAPAT PERTAMA :Jangkitan AIDS ini bukan dari kehendak mereka sendiri dan mereka ini juga tidak wajar untuk diasingkan kehidupan mereka dari individu2 yang lain. Pendapat ini merupakan pendapat dari kebanyakan Ulama' yang akhirnya menjadi resolusi bagi Pertubuhan Islam di dalam nadwah mereka berkaitan isu masyarakat bagi penghidap AIDS pada Muktamar Sains Perubatan yang ke-7 pada tahun 1993 di Kuwait.

Hujah mereka mengenai pendapat ini ialah bukan semua penghidap AIDS ini mendapat jangkitan virus ini dengan kehendak mereka sendiri. Mungkin berlakunya perpindahan darah tanpa disedari atau melalui cara2 yang lain. Selain itu antara hujah mereka lagi ialah jika menghukum penghidap AIDS ini dengan mengatakan ianya dengan kehendak mereka sendiri tanpa bukti yang kukuh ia dikira sebagai satu kezaliman dan ketidakadilan. Allah SWT telah berfirman :
اجتنبوا كثيرا من الظن إن بعض الظن إثم
yang bermaksud : jauhilah dari sangkaan(supaya menjauhi sangkaan yang dilarang) kerana sebahagian dari sangkaan itu mengundang dosa. Tambahan pula maklumat perubatan juga mengesahkan bahawa virus AIDS ini tidak akan merebak melalui aktiviti kehidupan seharian. Hal ini menguatkan lagi pendapat mereka bahawa penghidap AIDS ini tidak perlu diasingkan dari ahli masyarakat yang lain.

PENDAPAT KEDUA : Jangkitan AIDS ini juga bukan dari kehendak mereka sendiri tetapi harus untuk mengasingkan mereka dari masyarakat yang lain. Pendapat ini merupakan salah satu ketetapan yang dikeluarkan oleh Majlis Kesatuan Fiqh Islam melalui muktamar mereka yang ke-9 pada tahun 1995. Tetapi melalui ketetapan yang di keluarkan pada muktamar yang ke-8 pada tahun 1993, Ulama' berpendapat wajib ke atas penghidap virus ini untuk menjauhkan diri dari apa jua keadaan yang boleh menyebabkan jangkitan kepada orang lain. Hal ini membuktikan wajibnya mengasingkan penghidap AIDS ini dari masyarakat yang lain tetapi kemudiannya hukum wajib ini berubah kepada harus sahaja selepas perbincangan pada muktamar mereka yang ke-9.

Hujah mereka ialah masyarakat yang sihat mempunyai hak untuk menjaga kehidupan mereka tanpa perlu rasa bimbang atau berada di dalam ketakutan. Ini kerana jika penghidap AIDS ini bergaul dengan masyarakat, secara tidak langsung meletakkan masyarakat di dalam keadaan ketakutan dan bimbang jika virus ini berjangkit kepada mereka dan dalam masa yang sama perasaan benci masyarakat terhadap penghidap AIDS ini semakin meningkat. Bagi penghidap AIDS pula mereka akan terus menanggung seksa akibat dipandang serong oleh masyarakat.

PENDAPAT KETIGA : Jangkitan AIDS ini atas kehendak dan kemahuan penghidap itu sendiri dan harus untuk mengasingkan mereka dari masyarakat. Ini merupakan pendapat sebahagian kecil Ahli Feqah.

Hujah mereka ialah sebab utama jangkitan virus AIDS ini ialah dari hubungan yang terlarang. Jadi jangkitan AIDS ini menjadi bukti ia merupakan kehendak penghidap virus AIDS itu sendiri akibat dari perbuatan terkutuknya. Hal ini dibuktikan dengan tindakan Umar Al-Khattab yang menjatuhkan hukuman zina kepada perempuan hamil yang tidak mempunyai suami berdasarkan bukti yang zahir tersebut.

Jadi jelaslah di sini perkembangan pesat di dalam bidang perubatan telah berjaya mengupas beberapa isu masyarakat dan juga isu yang berkaitan dengan akhlak dan moral. Dan diantara isu yang paling penting yang berjaya dikupas ialah isu yang kita bincangkan di atas. Percanggahan pendapat dari Ahli Feqah menuntut kepada kajian dan perbincangan yang lebih mendalam berkaitan masalah ini. Namun pendapat yang terpilih bagi masalah yang dibincangkan ini ialah pendapat yang kedua iaitu tidak boleh terus meletakkan hukum dan memandang serong ke atas penghidap AIDS ini berdasarkan kaedah jangkitan yang berbagai-bagai. Mungkin semua itu berlaku bukan atas kehendak mereka. Namun jika terbukti ianya dari kehendak dan kesalahan penghidap virus itu sendiri barulah ia dikategorikan sebagai penghidap AIDS. Manakala pengasingan penghidap AIDS dengan masyarakat hanya sebagai langkah berjaga-jaga untuk mencegah jangkitan virus tersebut.

No comments:

Post a Comment