Hukum Persenyawaan Tabung Uji

Maksud persenyawaan tabung uji ialah permulaan penciptaan janin di dalam bekas atau tiub di luar rahim ibu melalui proses sedutan ovum dari ovari kemudian digabungkan dengan sperma suami untuk di senyawakan lalu dipindahkan janin yang terbentuk itu ke dalam rahim melalui faraj wanita untuk proses tumbesaran dan penyempurnaan kejadiaannya.
 
Kaedah semulajadi dalam persenyawaan ialah dengan sempurnanya hubungan kelamin di antara suami dan isteri lalu bercantumnya sperma suami yang naik dari faraj dengan ovum isteri yang terdapat di dalam ovari kemudian ianya bergerak memasuki saluran rahim yang dinamakan sebagai tiub fallopio. Setiap wanita memiliki dua tiub fallopio. Apabila kedua-dua benih bertemu di tiub fallopio kedua-duanya akan menempel pada sel yang satu dan bergerak ke rahim untuk proses tumbesaran dan penyempurnaan janin.
 
Ada juga berlaku persenyawaan bukan secara semulajadi iaitu keadaan apabila dua saluran tiub fallopio tersebut tersumbat yang menyebabkan sperma dan ovum akan berjauhan atau sperma tidak mampu untuk bergabung dengan ovum. Apabila perkara ini berlaku maka ianya berhajatkan kepada persenyawaan luaran yang dilakukan di dalam bekas di luar rahim wanita. Disebabkan itulah perkara ini dikenali sebagai persenyawaan dengan bantuan makmal dan perpindahan embrio.
 
Sesunggguhnya persenyawaan makmal ini telah membantu dalam menyelesaikan masalah-masalah kesuburan yang berlaku pada kebanyakan golongan isteri yang mana masalah ini telah menjerumus mereka ke dalam konflik rumah tangga sehingga membawa kepada penceraian. Peratus kejayaan proses ini tidak lebih daripada 15%.
 
Golongan Fiqh kontemporari telah berselisih mengenai hukum persenyawaan ini kepada dua pendapat :
 
PENDAPAT PERTAMA : Dibolehkan untuk melakukan persenyawaan dengan bantuan makmal (bayi tabung uji) di antara suami dan isteri ketika ada keperluan. Ini merupakan pendapat dari kebanyakan Fuqaha'.
 
Hujah mereka ialah sesungguhnya Islam tidak berdiri di atas tujuan yang sah iaitu untuk mendapatkan anak. Persenyawaan makmal ini disifatkan sebagai salah satu alternatif perubatan untuk penyakit kemandulan. Hal ini bersandarkan kepada hadis yang dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan Abu Daud dengan sanad yang sahih, hadis daripada Usamah bin Syarik yang berbunyi :
 
أن النبي قال : تداووا عباد الله فإن الله لم يضع داء إلا وضع له دواء
 
Maksudnya : Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyakit itu kecuali dijadikannya penawar.
 
Abu Daud menambah :
 
غير داء واحد الهرم
 
Maksudnya : kecuali satu penyakit yang tiada penawarnya iaitu tua.
 
PENDAPAT KEDUA : Haram melakukan persenyawaan dengan bantuan makmal ini secara mutlak.
 
Hujah mereka ialah beramal dengan kaedah  سد الذرائع   iaitu menutup jalan yang membawa kepada perbuatan yang dilarang kerana proses ini akan mengundang masalah yang berbagai  disebabkan berlakunya percampuran nasab atau membawa nasab kepada si mati sepertimana telah sempurnanya persenyawaan ketika si suami masih hidup kemudian diletakkan embrio tersebut di dalam rahim isteri selepas kematian suaminya lalu akan menyebabkan timbulnya masalah harta warisan. Golongan ini juga mengaitkan dengan peratusan kecil kejayaan proses ini di samping pihak-pihak yang telah mengeksplotasi proses ini kepada suatu bentuk perniagaan untuk mengaut keuntungan kecil untuk menarik minat pasangan-pasangan yang inginkan cahaya mata sebagai salah satu hujah untuk mengharamkan proses persenyawaan makmal ini.
 
Maka isu persenyawaan dengan bantuan makmal (bayi tabung uji) kekal sebagai suatu isu yang berhajatkan kepada kajian-kajian baru di kalangan Fuqaha' untuk meletakkan garis panduan yang meliputi hak-hak pihak-pihak yang terlibat tanpa menghalang sesuatu hak lain yang telah ditetapkan oleh Islam semata-mata suatu ilusi yang mungkin boleh dikawal darinya bersandarkan garis panduan tersebut.


Hukum Ujian DNA

Deoxyribonucleic acid atau lebih dikenali sebagai DNA ialah suatu istilah baru yang dipelopori oleh Profesor Alex Jeffrey pada tahun 1985 ketika menjalankan ujian rutin terhadap gen manusia lalu menemui susun jalur yang menakjubkan di dalam DNA tersebut yang membezakan setiap individu seperti cap jari. Penemuan fakta saintifik ini kemudian disahkan oleh Eric Lander dan menamakannya sebagai 'pengesahan identiti terakhir' selepas menemui semua ciri-ciri asas yang diperlukan untuk membezakan identiti setiap manusia melalui DNA ini sekalipun berada dalam pelbagai keadaan dan DNA ini mampu dilakukan dengan adanya kesan air mani, darah atau air liur yang kering. Begitu juga sisa tulang, rambut, kulit dan sebagainya walaupun telah melalui tempoh yang panjang. Proses ini akan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan serta teknik-teknik moden.

Sebahagian akademi-akademi fiqh telah mengetahui sesungguhnya DNA ini merupakan struktur genetik yang terperinci yang menunjukkan identiti setiap individu tertentu dan penemuan saintifik ini merupakan realiti yang menakjubkan bagi manusia yang mana Allah SWT telah memerintahkan untuk menelitinya sepertimana firman Allah SWT yang berbunyi :

 
قال الله تعالى :  وفي أنفسكم أفلا تبصرون
 
Maksudnya : Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu).
 
Jesteru, diwajibkan ke atas kita untuk mezahirkan tanda syukur kepada golongan-golongan pengkaji ini.
 
Adapun kesan DNA ini dari sudut Fiqh dan syarak, ianya telah wujud di dalam masalah-masalah yang banyak yang mempunyai kaitan dengan hasil penemuan saintifik ini.
 
 
HASIL PERTAMA : Sesungguhnya DNA akan mengesahkan identiti seseorang individu dengan sifat yang khusus yang akan membezakannya dengan yang lain yang mana tidak akan ada persamaan seorang pun manusia dengannya. Daripada hasil ini, kemungkinan dapat mengetahui siapakah individu yang hadir di satu tempat tertentu, atau siapakah yang meletakkan tangan atau mana-mana bahagian anggotanya ke atas sesuatu melalui kaedah menyiasat apa yang ditinggalkan dari kesan-kesan manusia seperti darah, air mani dan air liur atau sehingga ke titisan peluh begitu juga dengan rambut, tulang dan sebagainya di lokasi kejadian jenayah atau sebagainya. Kemungkinan juga dapat diambil iktibar dari hasil ini di dalam masalah-masalah yang berbagai antaranya : Pertama -mengesahkan identiti individu yang telah hilang setelah beberapa tahun kemudian pulang semula dalam keadaan imejnya yang telah berubah dan ahli keluarganya juga menafikannya. Kedua - boleh mendedahkan penipuan identiti individu yang telah hilang dengan tujuan untuk mengambil harta peninggalannya atau melakukan serangan ke atas isterinya. Ketiga - mengetahui identiti penjenayah untuk memudahkan pengadilan.
 
HASIL KEDUA : DNA juga dapat mengesahkan identiti seseorang individu dengan sifat-sifat asalnya iaitu sifat-sifat yang dikongsi bersama keturunan dan juga pewarisnya. Daripada hasil ini kemungkinan dapat diketahui ibu-ibu,bapa-bapa dan anak-anak mereka. Kemungkinan juga hasil ini dapat memberikan manfaat di dalam masalah-masalah yang berbagai antaranya : menyelesaikan pertelingkahan nasab apabila bercampurnya anak-anak yang dilahirkan di hospital-hospital dan sebagainya. Selain itu, ia juga dapat menghalang penipuan dalam mendakwa nasab anak pungut seperti melakukan helah dalam mem 'bin' kan anak tersebut kepada yang diharamkan. Allah SWT berfirman :
 
قال الله تعالى : ادعوهم لأبائهم هو أقسط عند الله فإن لم تعلموا ءاباءهم فإخوانكم في الدين وموليكم
 
Maksudnya : Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber 'bin' kan kepada bapa-bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama.
 
Di dalam setiap sudut, sesungguhnya DNA ini akan membuka suatu lembaran fiqh yang baru untuk mengesahkan nasab dan kembali pertimbangkan dalam menasabkan anak zina kepada pelakunya selepas mengetahuinya melalui DNA ini. Jesteru, golongan ahli Fiqh wajib menitikberatkan hal ini sebagai persiapan untuk menghadapi isu-isu saintifik di masa hadapan yang tidak dapat dielakkan.