Hukum Ibu Tumpang (Penyewaan Rahim)

Istilah ibu tumpang bermaksud menumpang rahim seseorang wanita yang berkeupayaan untuk hamil secara sukarela atau dibayar dengan sejumlah kadar yang tertentu. Proses ini dilakukan dengan memindahkan benih wanita (ovum) yang telah disenyawakan dengan benih lelaki (sperma) yang mana kebiasaannya suami isteri seterusnya janin tersebut dikandung oleh ibu tumpang itu sehingga dilahirkan. Kemudian apabila dilahirkan bayi itu akan diserahkan semula kepada pasangan suami isteri itu. Secara amnya proses ini berlaku kerana seseorang wanita itu tidak mempunyai harapan untuk mengandung secara biasa kerana ditimpa penyakit atau kecacatan pada rahim mereka yang menghalangnya untuk mengandung dan melahirkan anak ataupun bagi wanita yang ingin memiliki anak tetapi telah putus haid (menopause). Sehingga kini pakar2 perubatan moden masih tidak mempunyai keupayaan untuk mencipta rahim tiruan sebagai alternatif bagi ibu2 yang menghadapi masalah rahim ini dalam membantu mereka merealisasikan impian untuk memiliki zuriat sendiri.

Menurut perspektif Fiqh Islam haram hukumnya penyewaan rahim ini jika ibu tumpang tersebut merupakan wanita asing bagi pasangan suami isteri itu kerana ia boleh dikategorikan sebagai zina. Tetapi jika ibu tumpang tersebut merupakan madu kepada wanita pemilik benih (ovum) itu iaitu isteri lain bagi suami pemilik benih (sperma) tersebut maka Ahli2 Feqah kontemporari berselisih pendapat mengenai masalah ini.

PENDAPAT PERTAMA : Haram secara mutlak penyewaan rahim ibu ini.

Hujah bagi pendapat ini ialah isu penyewaan rahim ini akan menyebabkan berlakunya percampuran nasab dan tercetusnya konflik dan perbalahan di antara pemilik benih (ovum) dan pemilik rahim. Selain itu masalah penyewaan rahim atau ibu tumpang ini juga akan mengundang perspektif buruk dari segi kemanusiaan dan juga akhlak seperti dominasi dan penindasan golongan2 kaya ke atas golongan miskin dan juga hilangannya erti keibuan yang menghubungkan seseorang ibu dan anak itu dengan ikatan yang terjalin secara semulajadi. Allah SWT ada menyebut di dalam kitab suci Al-Quran yang berbunyi :

قال الله تعالى : حملته أمه وهنا على وهن

yang bermaksud : Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan. Allah SWT juga ada menyebut di dalam potongan ayat Al-Quran yang lain yang berbunyi :
قال الله تعالى : إن أمهتهم إلا الئ ولدنهم

ertinya : Ibu2 mereka tidak lain hanyalah perempuan2 yang melahirkan mereka.

PENDAPAT KEDUA : Dibolehkan berlakunya perbuatan menyewa rahim ini di antara kedua2 isteri suami tersebut jika ada keperluan yang menuntut.

Hujah bagi pendapat ini ialah aktiviti penyewaan rahim ini menunjukkan sifat saling bantu membantu antara kedua2 isteri ini dalam mencapai tujuan syarak bagi isteri pemilik benih yang berkeinginan untuk memiliki cahaya mata namun tidak berkemampuan untuk mengandung dan melahirkan bayi itu. Jangan bimbang jika ada yang berpendapat perbuatan menyewa rahim atau ibu tumpang ini akan menghalalkan hubungan mahram di antara mereka. Ini kerana pemilik benih (sperma) itu juga merupakan suami yang sah bagi isteri2 tersebut. Di dalam hal ini tiada larangan jika ingin memasukkan benih suami (sperma) di dalam rahim salah seorang dari isterinya. Adapun benih dari madu bagi ibu tumpang tersebut ia dikategorikan sebagai perkara yang darurat. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang berbunyi :

تنزل الحاجة منزلة الضرورة

Jelaslah perubahan teknologi di dalam bidang perubatan moden membawa kepada tercetusnya pelbagai isu fiqh yang baru yang memerlukan Ijtihad dari golongan Ahli2 Feqah. Maka dalam meletakkan hukum bagi isu yang dibincangkan ini golongan2 ini perlu meletakkan beberapa peraturan dan undang2 disamping memelihara undang2 yang telah disyariatkan dan menjamin hak2 pihak yang berkaitan dengan isu ini.

[ Penulis buku ini tidak meletakkan pendapat yang terpilih bagi isu ini. Ini kerana isu ini masih memerlukan perbincangan dan kajian yang khusus di kalangan para ilmuan dan pengamal undang2 dalam meletakkan hukum bagi menyelesaikan isu ini. Namun selagi manusia itu menjadikan agama sebagai pegangan dan akhlak sebagai benteng selagi itulah ia tidak akan mengundang kemusnahan dan kecelaruan kepada institusi masyarakat ]



2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum, artikel yang mapan sekali. Bagaimanapun, satu persoalan timbul, mengapa apabila benih yang telah tersenyawa yang ditanam menggunakan mesin ke dalam rahim perempuan asing daripada pasangan berkahwin dianggap zina, bukankah pengertian zina itu sendiri bermaksud memasukkan bahagian sulit lelaki ke dalm bahagian sulit perempuan tanpa ikatan nikah? Harap terjawab.

syakirah said...

Assalamualaikum,,di mana boleh saya dptkan kitab2 rujukan bagi masalah ini?

Post a Comment