Hukum Suami Meminta Isteri Untuk Berhenti Bekerja

Jika perbahasan yang sebelum ini kita telah membicarakan mengenai hukum si suami meminta si isteri bekerja untuk bersama2 menyara keluarga, di dalam perbahasan kali ini akan dinukilkan pula hukum suami meminta isteri untuk berhenti bekerja. Sebenarnya apabila fenomena golongan wanita keluar bekerja ini mula berkembang di dalam arus masyarakat pada pertengahan kurun ke-20 dan penerimaan golongan muda untuk mengahwini golongan wanita yang bekerjaya ini dengan harapan agar dapat saling membantu antara satu sama lain serta meningkatkat taraf hidup keluarga yang dibina, tetapi malangnya kebanyakan perkahwinan yang dibina itu berantakan apabila golongan isteri ini mula mengabaikan kewajipan terhadap keluarganya dan menyumbangkan terlalu sedikit dari pendapatannya untuk keperluan asas keluarga tersebut. Dalam masa yang sama golongan isteri yang bekerja ini masih menuntut hak nafkah dari si suami dan hak2 mereka yang lain yang melampaui kewajipan seorang suami untuk menunaikannya. Malah konflik rumah tangga tersebut semakin parah apabila si isteri yang bekerjaya ini mengambil langkah untuk menyimpan hasil pendapatannya dan sebahagiannya lagi disalurkan kepada kedua ibu bapa serta saudara maranya dan bukan untuk keluarganya sendiri. Maka disebabkan masalah inilah timbullah isu yang kita bincangkan pada kali ini iaitu suami memohon dari isteri untuk berhenti berkerja dengan tujuan untuk memulihkan keadaan dan menyelamatkan institusi kekeluargaan yang dibina.

Sebenarnya masalah ini merupakan satu isu yang amat sukar pada dasarnya untuk diselesaikan khususnya apabila si suami sendiri telah meredhai kerjaya isteri tersebut sebelum ini dan kemudiannya menarik balik keredhaan itu dengan alasan keperluan anak2 kepada perhatian seorang ibu di rumah dan si isteri terdedah kepada risiko dan terpaksa bersusah payah untuk melaksanakan kerja tersebut. Ini merupakan isu yang baru diperkatakan yang mana secara hakikatnya tiada jalan penyelesaian bagi Ulama'2 terdahulu secara khususnya tetapi sesetengah dari mereka ada menyebut masalah ini hampir2 seperti perbincangan dalam hukum nusyuz. Manakala Ahli Feqah masa kini pula melihat isu ini dari segi kepentingan dan faktor2nya dan menyelesaikan masalah ini berdasarkan kaedah2 Ulama' Salaf dalam meletakkan hukum berpandukan nas2 umum dan kaedah2 Fiqh.

Ahli2 Feqah masa kini bersepakat apabila pasangan suami isteri ini telah meredhai apa jua syarat yang dipersetujui ketika termeterai ikatan perkahwinan atau bersepakat si suami berhak untuk menyuruh si isteri berhenti bekerja maka perjanjian tersebut hendaklah dilaksanakan kecuali ada faktor2 yang menuntut kepada perubahan perjanjian tersebut. Tetapi Ahli2 Feqah ini berselisih pendapat apabila si suami yang sebelum ini telah bersetuju dengan kerjaya si isteri dan syarat2 yang dipersetujui antara mereka tiba2 menukar pengakuan tersebut. Ataupun si suami membenarkan si isteri bekerja tanpa meletakkan sebarang syarat kemudian tanpa ada sebarang alasan menyuruh isteri tersebut berhenti bekerja. Begitu juga dengan si isteri yang bekerja tanpa izin dari suami. Adakah di dalam situasi2 seperti ini si suami berhak melarang isterinya dari bekerja dan patutkah si isteri menurut perintah tersebut. Ahli2 Feqah berselisih kepada 3 pendapat.

PENDAPAT PERTAMA : Suami berhak menyuruh si isteri untuk berhenti bekerja dalam apa jua keadaan sekalipun walaupun sebelum ini mereka telah bermuafakat mengenai kerjaya si isteri itu tetapi dengan syarat pekerjaan tersebut mendatangkan kemudharatan dan juga mengurangkan hak isteri ke atas suaminya. Jika si isteri mengingkarinya maka dia dikategorikan sebagai isteri yang nusyuz dan tergugur haknya untuk menerima nafkah. Ini merupakan pendapat Jumhur Fuqaha' masa kini. Antaranya Syeikh Mohd Salam Madkur, Syeikh Mohd Abu Zahrah dan Doktor Abdul Rahman Hujjaj. Pendapat ini juga telah dipraktikkan oleh Sistem Perundangan Mesir melalui perbicaraan kes yang ke 853 di Mahkamah Syariah pada tahun 1953 dan perbicaraan kes yang ke 157 di Mahkamah Rendah Kaherah pada tahun 1956.

Hujah bagi pendapat ini ialah pertama redhanya suami ke atas kerjaya isteri sebelum ini tidak akan menggugurkan haknya untuk mengawasi dan menjaga si isteri itu dan keredhaan tersebut hanya tertakluk kepada suatu tempoh yang tertentu. Hujah yang kedua ialah pendapat ini juga bersetuju dengan nas yang disebut oleh Fuqaha' dari Mazhab Hanafi yang merupakan mazhab utama yang dipakai oleh Sistem Perundangan Mesir bagi Masalah Kekeluargaan yang menyatakan : "Si suami bebas untuk melarang isterinya dari bekerja sekiranya pekerjaan tersebut membuatkan si isteri keluar dari rumah, mengurangkan hak si suami dan mendatangkan kemudharatan kepadanya". Hujah yang terakhir bagi pendapat ini ialah isteri tidak berhak untuk meminta si suami meredhai untuknya bekerja. Hak suami melarang isteri bekerja merupakan salah satu cabang hak yang perlu ditaati oleh isteri. Hak yang perlu ditaati oleh isteri tidak pernah tergugur sama sekali kecualilah si suami menyuruh kepada perkara kemungkaran. Keredhaan suami untuk isteri bekerja sebelum ini tidak akan mengurangkan hak suami untuk melarang si isteri bekerja. Jika perkara ini dipraktikkan di dalam institusi kekeluargaan yang dibina ia akan menatijahkan bibit2 kebahagiaan kerana bertunjangkan landasan dan syariat yang ditetapkan oleh Islam.

PENDAPAT KEDUA : Suami tiada hak untuk menyuruh isteri berhenti bekerja jika dia telah meredhainya sebelum atau selepas terjalinnya ikatan perkahwinan walaupun tidak disyaratkan ke atas suami untuk bersetuju dengan pekerjaan si isteri tersebut. Ini merupakan pendapat sebahagian Ahli Feqah dan juga diamalkan oleh Sistem Perundangan Mesir pada perbicaraan kes yang ke 184 Mahkamah Syariah Asyut pada tahun 1946/1947 dan juga perbicaraan kes yang ke 81 di Mahkamah Rendah Iskandariah pada tahun 1963.

Hujah pendapat ini ialah apabila si suami meredhai si isteri untuk bekerja, maka keredhaan itu dikira selama2nya tanpa ada batasan waktu. Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari :

من حديث عقبة أن النبي قال : أحق ما أوفيتم من الشروط أن توفوا به ما استحللتم به الفروج

maksudnya : syarat yang paling berhak untuk ditepati adalah menunaikan syarat yang dinyatakan untuk menghalalkan faraj (nikah). Selain itu antara hujah lain pendapat ini ialah apabila si suami meredhai kerjaya si isteri tersebut maka ia menggugurkan haknya ke atas diri isteri sepenuhnya dan si suami tiada hak untuk menarik balik kenyataannya itu kerana perkara yang digugurkan tidak akan dapat dikembalikan. Dan hujah mereka yang terakhir ialah apabila si isteri telah terikat dengan kerjaya selepas mendapat keredhaan dari suami maka ia menjadi hak kepada isteri melaksanakannya amanah yang dipikul itu dan si suami tiada hak untuk melarangnya.

PENDAPAT KETIGA : Suami tiada hak untuk meminta isteri berhenti bekerja tidak kira sama ada dia telah meredhainya sebelum ini atau tidak atau bekerjanya si isteri itu sebelum atau selepas terjalinnya ikatan perkahwinan. Ini merupakan pendapat dalam ilmu Fiqh dan dipraktikkan oleh Mahkamah Syariah Asyut melalui kes ke 184 pada tahun 1946/1947.

Hujah pertama bagi pendapat ini ialah isteri2 yang bekerjaya ini dimaafkan syarak kerana pekerjaan tersebut ada fungsi dan kepentingannya kepada mereka. Hujah yang kedua ialah mengqiyaskan keluarnya golongan wanita untuk bekerja ini dengan bolehnya keluar golongan ini untuk menghadiri majlis2 ilmu. Dan hujah mereka yang ketiga ialah keluarnya golongan wanita untuk bekerja ini merupakan satu perkara darurat kerana ia merupakan salah satu keperluan masyarakat. Maka si suami tiada hak untuk melarangnya kecuali di dalam keadaan darurat. Ini kerana hak masyarakat lebih diutamakan berbanding dengan hak individu berdasarkan kaedah Fiqh yang berbunyi :
يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام

yang bermaksud : memilih kemudharatan yang khusus untuk mengelakkan kemudharatan yang umum.

Jadi terbuktilah perubahan2 dalam institusi kekeluargaan seperti keretakan ikatan perkahwinan, keperluan anak2 kepada individu yang prihatin kepada mereka sepanjang hari, suami yang terpaksa merantau untuk bekerja dan sebagainya menjadi punca utama si suami memohon si isteri berhenti bekerja seterusnya memusnahkan impian isteri yang bekerjaya itu. Jika kita lihat perselisihan pendapat Ahli Feqah masa kini disebabkan beberapa faktor. Ada yang berpendapat berdasarkan bukti suami berhak ke atas si isteri sepenuhnya dan perkara itu tidak akan gugur selama2nya walaupun dengan syarat. Ada pula yang berpendapat suami tidak boleh meminta isteri untuk berhenti bekerja kerana kerjaya merupakan hak manusia dan si suami tidak boleh campur tangan dalam hal tersebut kecuali jika ada kemudharatan. Dan sebahagian yang lain pula berpendapat si suami berhak meminta isterinya berhenti bekerja dengan alasan tidak mendapat keredhaan darinya terlebih dahulu berdasarkan bukti "setiap keperluan bagi sesuatu itu perlu ada syaratnya". Dan setelah berbicara panjang maka pendapat yang dipilih bagi isu ini ialah pendapat yang ketiga iaitu larangan kepada suami untuk meminta si isteri berhenti bekerja. Ini kerana kerjaya merupakan hak bagi semua manusia yang telah ditaklifkan oleh syarak dan ia juga tidak mengundang apa2 kemudharatan seperti yang didakwa oleh si suami. Namun jika kerjaya tersebut menyebabkan si isteri mengabaikan tugas dan peranannya kepada suami dan anak2nya maka si suami berhak untuk meminta si isteri untuk berhenti bekerja. Ini kerana jika dibiarkan perkara itu berlaku mungkin akan menyebabkan timbulnya pergolakan di dalam rumah tangga yang di bina dan dalam masa yang sama anak2 mula terlibat dengan masalah sosial kerana kurangnya perhatian dari ibu bapa mereka. Si isteri pula hendaklah patuh dengan arahan si suami tersebut demi kebahagiaan dan keharmonian institusi kekeluargaan mereka. Tetapi jika si isteri mampu memikul tanggungjawabnya sebagai insan yang bekerjaya di luar rumah dalam masa yang sama sebagai isteri yang tidak mengabaikan hal ehwal keluarganya maka laksanakanlah tanggungjawab tersebut dengan sebaiknya dan si suami tiada hak untuk menghalangnya. Ini kerana disamping berbakti dan berkhidmat kepada masyarakat kerjaya si isteri itu juga dapat membantu meningkatkan taraf hidup keluarga seterusnya menggamit kebahagian dan memori indah di dalam rumah tangga yang dibina.

0 comments:

Post a Comment