Adakah Jatuh Talak Dari Seorang Penagih Dadah

Istilah ketagihan mula dikenali sejak penemuan kepada najis dadah yang membawa kepada penyalahgunaannya pada kali pertama pada kurun ke 19 Masihi. Selepas itu ia membawa kepada penemuan2 najis dadah yang lain seperti Morfin pada tahun 1806, Heroin pada tahun 1898 dan Halusinogen pada tahun 1947. Kemudian penyalahgunaan najis dadah ini mula berkembang di Eropah dan Amerika pada tahun 1870 semasa berlakunya Perang Saudara Amerika dan juga Perang Perancis-Jerman yang mana ramai tentera2 yang terlibat di dalam peperangan ini menagih najis dadah ini. Maka selepas pada itu penyalahgunaan dadah ini mula berkembang ke negara2 Arab dan negara2 Islam khususnya melibatkan golongan penuntut universiti dan juga golongan2 pekerja.

Morfin merupakan antara najis dadah yang paling aktif digunakan. Dadah yang dihasilkan dari buah popi ini boleh diambil sama ada melalui suntikan, rokok, sedutan melalui hidung atau terus menelannya. Heroin pula merupakan dadah yang paling berbahaya dan memberi kesan yang mendalam kepada penagihnya. Pengambilan kali pertama sahaja akan membawa kepada ketagihan sepanjang hayat. Heroin ini akan memberi kesan yang cepat kepada si penagihnya yang membawa kepada perubahan drastik dari segi emosi,mental dan fizikal. Apabila dadah ini mula diambil individu yang terlibat akan mula rasa resah dan gelisah dan merasa sakit di seluruh badan seperti ditusuk jarum tajam disebabkan berlakunya kekejangan otot dan urat2 saraf. Serangan ke atas otot dan urat saraf ini akan membawa hamba dadah tersebut ke ambang kematian atau sekurang2nya mengalami masalah mental yang kronik.

Jika ketagihan tersebut bukan disebabkan individu itu seperti perbuatan khianat dari pihak lain atau kesilapan dari pihak doktor yang merawatnya, perbuatannya tidak diambil kira kecuali apa yang ditaklifkan ke atasnya sahaja. Tetapi jika ketagihan tersebut atas kehendak dan pilihannya sendiri maka Ahli Feqah masa kini bersependapat sahnya berlaku talak tersebut jika si suami berada di dalam keadaan yang stabil dan tidak dipengaruhi dengan najis dadah tersebut. Tetapi jika ketika melafazkan talak tersebut si suami dipengaruhi dengan najis dadah yang membawa kepada kesan negatif terhadap dirinya maka Ahli Feqah berselisih pendapat mengenai masalah ini.

PENDAPAT PERTAMA : Sahnya lafaz talak dari penagih dadah tersebut. Ini merupakan pendapat dari kebanyakan Ahli Feqah.

Hujah mereka ialah mengqiyaskan penagih dadah ini dengan orang yang mabuk. Menurut pendapat dari Jumhur Fuqaha' dari Hanafi dan Maliki dan juga nas2 dari Mazhab Shafie lafaz talak dari orang yang mabuk adalah sah berdasarkan ikatan hukum yang melihat kepada sebab mabuk adalah dari individu itu sendiri. Mereka juga berhujah berdasarkan dalil As-Sunnah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah yang berbunyi :
أن النبي قال: ثلاث جدهن جد وهزلهن جد: النكاح والطلاق والعتاق
yang bermaksud Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda tiga perkara yang betul2 akan terjadi walaupun di dalam keadaan melawak ialah nikah, talak dan memerdekakan hamba. Selain itu antara hujah mereka yang lain penagih dadah juga seorang muslim yang mukallaf yang dikira lafaz talaknya seperti dikira jenayah2nya yang lain. Ini berbeza dengan orang yang gila yang tidak dikira jenayah yang dilakukannya.

PENDAPAT KEDUA : Terbatal talak yang dilafazkan jika berada di bawah pengaruh dadah. Ini merupakan pendapat sebahagian dari Ahli Feqah.

Hujah pendapat ini ialah juga mengqiyaskan penagih dadah ini dengan orang mabuk. Menurut pendapat الكراخي dan الطحاوي dari Mazhab Hanafi dan juga kata2 dari Mazhab Shafie dan riwayat dari Hanbali menyatakan sesungguhnya talak dari orang yang mabuk tidak dikira kerana dia tidak mengetahui apa yang diperkatakannya sepertimana dalil Al-Quran yang berbunyi :
قال الله تعالى : لا تقربوا الصلاة وأنتم سكارى حتى تعلموا ما تقولون
yang bermaksud : janganlah kamu mengerjakan sembahyang ketika mana kamu berada di dalam keadaan mabuk sehinggalah kamu ketahui apa yang kamu perkatakan. Tetapi munurut pendapat dari Mazhab Maliki dan Shafie jatuhnya talak orang yang mabuk ini dengan syarat dia menyedari ketika lafaz talak tersebut diungkapkan tetapi jika dia tidak menyedarinya maka talak tersebut tidak berlaku. Selain itu mereka juga berhujah berdasarkan dalil As-Sunnah yang berbunyi :
عن عائشة أن النبي قال: رفع القلم عن ثلاثة عن النائم حتى يستيقظ وعن الصغير حتى يكبر وعن المجنون حتى يعقل أو يفيق
Hujah yang ketiga ialah orang yang berada di bawah pengaruh dadah ini diibaratkan seperti orang yang dipaksa atau hilang kewarasan seperti orang gila atau orang yang tidur. Dan hujah mereka yang terakhir ialah berdasarkan nas yang dikeluarkan oleh Mazhab Hanafi dan diriwayatkan oleh Imam Nawawi dari Mazhab Shafie hukum bagi sesiapa yang makan ubat tanpa ada sebarang tujuan kemudian menyebabkannya hilang kewarasan berfikir maka talak yang dilafazkannya tidak dikira. Begitu juga keadaannya seorang penagih dadah kerana ibarat dadah tersebut seperti ubat yang memabukkan.

Jadi terbuktilah di sini gejala penagihan dadah masa kini telah mengundang pelbagai isu dan masalah di dalam komuniti masyarakat kita. Begitu juga masalah yang kita bincangkan di atas yang mengundang perselisihan pendapat dari Ahli2 Feqah kontemporari yang mana kebanyakan dari mereka mengeluarkan pendapat dengan melihat kepada maksud syarie. Ada pula yang mengeluarkan pendapat dengan melihat kepada keterikatan antara sebab dan penyebabnya. Dan ada pula yang berpendapat dengan melihat kepada fokus pentaklifan iaitu akal dan kemampuan individu tersebut. Namun pendapat yang dipilih bagi masalah yang dibicarakan ini ialah pendapat yang kedua iaitu lafaz talak dari penagih yang berada di bawah dadah adalah tidak sah. Ini kerana perbuatan itu akan menzalimi isteri dan anak2nya dan lafaz talak itu juga tidak diiktibarkan menepati maksud syariat Islam yang inginkan kesenangan dan mengelakkan kesusahan seperti ayat Al-Quran yang berbunyi
قال الله تعالى: وما جعل عليكم في الدين من حرج
yang bermaksud tidaklah dijadikan ke atas kamu keberatan atau kesusahan di dalam perkara agama. Jadi jelaslah di sini lafaz talak ini akan dikira di dalam apa jua keadaan sekiranya ianya menepati kehendak syarak.

0 comments:

Post a Comment