Hukum Merancang Keluarga

Apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan merancang keluarga seperti yang tertera di atas? Ungkapan ini yang lazimnya lahir dari bibir2 pasangan suami isteri khususnya yang baru mendirikan rumah tangga secara realitinya merujuk kepada perancangan untuk mendapatkan zuriat bagi pasangan tersebut yang meliputi perancangan dari segi jarak kelahiran dan juga bilangan zuriat yang ingin ditimang oleh pasangan masing2. Sebenarnya isu merancang keluarga ini mula berkembang di dalam arus masyarakat pada semester pertama dari kurun ke-20 selepas berlakunya perang dunia ke 2. Antara faktor utama berlakunya isu yang dinukilkan ini ialah faktor kesihatan dan juga ekonomi. Jika kita lihat dari faktor kesihatan apabila seseorang wanita yang sedikit berumur berkahwin dia mesti mengimpikan untuk menimang cahaya mata sebanyak mungkin sebelum sampai tempoh yang tidak sesuai lagi baginya untuk melahirkan anak. Di dalam tempoh tersebut dia akan berusaha untuk melalui proses kelahiran secara berturut2. Hal ini akan mengakibatkan lahirnya anak2 yang lemah disebabkan terputusnya sumber susu ibu selepas melalui proses kehamilan yang baru. Perkara ini akan mendorong kepada perlunya amalan perancangan keluarga untuk menjarakkan tempoh kehamilan ibu tersebut dengan mempraktikkan kaedah2 mencegah kehamilan seperti memakai kondom dan juga pengambilan ubat2an yang khusus. Jika dilihat dari segi ekonomi pula ketidaksamaan yang ketara di antara kadar pertumbuhan penduduk dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang menyaksikan kadar pertumbuhan penduduk ini telah melebihi jangkaan realiti pemikiran kita.
Kadar pertumbuhan penduduk yang meningkat secara mendadak ini juga mendorong kepada perlunya aktiviti menghadkan bilangan zuriat dengan mengamalkan kaedah2 untuk mencegah kehamilan seperti sterilisasi (bebas dari persenyawaan benih) yang dilakukan pada awal proses pernikahan atau selepas berlakunya proses kelahiran yang pertama atau kedua. Kemajuan di dalam bidang perubatan dalam menyelesaikan masalah pasangan yang mandul dan kewujudan proses2 yang boleh melewatkan kematian juga antara faktor yang meningkatkan kadar pertumbuhan penduduk dunia sehingga mencapai ke suatu kadar yang tidak logik akal untuk difikirkannya.

Ahli2 Feqah kontemporari bersepakat dibolehkan aktiviti merancang keluarga ini sama ada dari segi penentuan jarak kelahiran atau penentuan bilangan zuriat jika bertepatan dengan maslahah perubatan yang telah ditetapkan bagi menghindari wanita itu dari sebarang kemudharatan atau kebinasaan hasil dari kehamilan yang berturut2 itu. Ini juga bertepatan dengan dalil Al-Quran yang berbunyi :

قال الله تعالى : ولا تلقوا بإيديكم إلى التهلكة

yang bermaksud : janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. Ahli2 Feqah ini juga bersepakat haramnya aktiviti merancang keluarga ini jika berlaku di dalam 3 keadaan berikut. Pertama : Aktiviti perancangan keluarga itu merupakan satu ketetapan dari pihak kerajaan ataupun satu aktiviti yang lazim bagi masyarakat sesuatu negara tersebut. Ini kerana ianya menyalahi kebebasan dan hak asasi manusia. Perbuatan membunuh janin di dalam rahim ketika berlakunya kehamilan bukanlah satu undang2 perancangan keluarga dan perbuatan ini menyerupai perbuatan Firaun yang melarang kelahiran bayi lelaki dari Bani Israel kerana ditakuti akan berkuasa suatu hari nanti. Kedua : Aktiviti perancangan keluarga itu dilakukan melalui cara yang dilarang oleh syarak seperti membunuh atau pengguguran yang diharamkan berpandukan dalil Al-Quran yang berbunyi :

قال الله تعالى : ولا تقتلوا النفس التي حرم الله إلا بالحق

ertinya : Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Ketiga : Jika aktiviti perancangan keluarga tersebut dilakukan kerana takut terputus atau tiada sumber rezeki. Hal ini bersalahan dengan akidah umat Islam berdasarkan dalil Al-Quran yang berbunyi :

قال الله تعالى : ولا تقتلوا أولادكم خشية إملاق نحن نرزقهم وإياكم

mafhumnya : Dan janganlah kamu membunuh anak2 kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Tetapi bagaimana pula hukumnya jika aktiviti perancangan keluarga itu merupakan pilihan dan kehendak seseorang individu dan dilakukan melalui cara yang dibenarkan tanpa melibatkan pembunuhan atau juga pengguguran. Maka di dalam hal ini Ahli2 Feqah masa kini berselisih kepada 3 pendapat berikut :

PENDAPAT PERTAMA : Dibolehkan aktiviti merancang keluarga ini sama ada dari segi penentuan jarak kelahiran atau penentuan kepada bilangan zuriat itu jika ianya merupakan kehendak individu tersebut yang tidak takut kepada kepapaan. Aktiviti ini juga hendaklah melalui jalan yang dibolehkan syarak tanpa melibatkan aktiviti pembunuhan atau pengguguran dan aktiviti ini dipraktikkan dengan bersandarkan kepada maslahah perubatan, maslahah masyarakat atau maslahah2 lain yang diakui. Ini merupakan pendapat dari Organisasi Islam bagi Sains Perubatan Kuwait yang merupakan pendapat majoriti melalui nadwah mereka yang pertama pada tahun 1983.

Hujah pendapat ini ialah berdasarkan apa yang dikeluarkan dari pendapat mazhab Shafie melalui kata2nya yang masyhur yang membenarkan aktiviti a'zal walaupun tanpa keizinan isteri dan juga apa yang dikeluarkan dari pendapat Jumhur Ulama' yang membenarkan aktiviti a'zal dengan keizinan isteri berpandukan hadis Nabi Muhammad SAW yang berbunyi :

رواية مسلم : كنا نعزل على عهد رسول الله فبلغه ذلك فلم ينهنا

yang bermaksud : kami melakukan a'zal pada zaman Nabi Muhammad SAW dan apabila baginda mengetahuinya baginda tidak pula melarang aktiviti kami itu. Hujah yang kedua bagi pendapat ini ialah sesungguhnya maksud perkahwinan dari segi syarak ialah memperoleh tempat tinggal, cinta dan kasih sayang di antara suami dan isteri. Tetapi perkara2 ini mungkin tidak dapat diperolehi dengan kewujudan zuriat yang ramai. Maka diterimalah pendapat yang membenarkan aktiviti merancang keluarga dengan mengikut segala ketetapan yang telah ditetapkan oleh syarak berdasarkan maslahah dan kemampuan pasangan tersebut berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menyebut :

أن النبي كان يتعوذ من جهد البلاء ودرك الشقاء وسوء القضاء وشماتة الأعداء

ertinya : Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW memohon perlindungan dari kesengsaraan, perpecahan, keburukan di dalam penghakiman dan kesombongan pihak musuh.
Hujah yang terakhir bagi pendapat ini ialah aktiviti membina kekuatan dan memperelokkan nasab keturunan itu adalah salah satu daripada maksud syarak. Jadi secara lazimnya kita dapat menerima pendapat yang membolehkan aktiviti menentukan jarak kelahiran dan menghadkan bilangan zuriat yang ingin diperolehi kerana ia merupakan satu usaha untuk membina kekuatan sepertimana dalil yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang berbunyi :

عن أبي هريرة أن النبي قال : المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف وفي كل خير احرص على ما ينفعك واستعن بالله ولا تعجز

maksudnya : Mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai oleh Allah SWT berbanding dengan mukmin yang lemah dan di dalam setiap kebaikan itu berusahalah melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepadamu. Mohonlah bantuan daripada Allah SWT dan jangan merasa lemah.

PENDAPAT KEDUA : Diharamkan amalan merancang keluarga ini dalam apa jua keadaan sekalipun. Ini merupakan pendapat yang masyhur di dalam ilmu Fiqh yang dikeluarkan oleh Akademi Fiqh Islam melalui daurah mereka yang ke-3 pada tahun 1980.

Hujah pertama bagi pendapat ini ialah berdasarkan pendapat dari ابن حزم الظاهري ؛ الهادوية ؛ ابن حبان yang mengharamkan perbuatan a'zal secara mutlak sama ada dengan keizinan atau tanpa keizinan berdasarkan dalil yang diriwayatkan oleh Muslim hadis dari جذامة بنت وهب الأسدية yang bermaksud : "Sesungguhnya aku telah bersama2 Nabi Muhammad SAW ketika bertemu dengan penduduk setempat lalu Nabi Muhammad SAW berkata : Aku telah terfikir untuk membolehkan perbuatan الغيلة (persetubuhan wanita dalam waktu menyusukan anak). Ini kerana Aku telah melihat di bandar Rom dan Parsi wanita2 yang melakukan persetubuhan dalam waktu menyusukan anak ia tidak mendatangkan sebarang kemudharatan kepada anak2 tersebut. Kemudian Nabi Muhammad SAW ditanya mengenai perbuatan a'zal? Lalu Nabi Muhammad SAW menjawab itu merupakan pembunuhan anak secara tersembunyi lalu Nabi Muhammad SAW berfirman dengan potongan ayat Al-Quran yang berbunyi :

قال الله تعالى : وإذا المؤودة سئلت بأي ذنب قتلت

maksudnya : Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup2 itu ditanya, dengan dosa apakah ia dibunuh?

Hujah yang kedua bagi pendapat ini ialah mempunyai zuriat keturunan yang ramai dan penjagaan yang sempurna kepada zuriat2 tersebut merupakan salah satu daripada maksud yang didatangkan oleh syarak yang perlu dipraktikkan oleh semua pihak. Maka perbuatan merancang keluarga adalah satu perbuatan yang diharamkan kerana bercanggah dengan maksud syarak tersebut berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik yang berbunyi :

أن النبي قال : تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأنبياء يوم القيامة

maksudnya : Kahwinilah (wanita) yang penyayang dan subur kerana aku akan mempunyai umat yang paling ramai berbanding Rasul lain di Hari Kebangkitan nanti. Hujah terakhir bagi pendapat ini ialah perbuatan merancang keluarga ini merupakan satu amalan yang di bawa dari negara barat yang mana aktiviti ini disuntik dengan sokongan kewangan yang besar dari pihak barat sendiri. Ini kerana aktiviti yang mempunyai kepentingan dari segi politik ini diamalkan hanya untuk mengurangkan bilangan penduduk di negara2 barat seterusnya membuktikan kepada dunia pihak barat ini mampu untuk sentiasa membangun dan memodenkan negara mereka. Hal ini juga berlaku khususnya selepasa melihat kepada statistik pertumbuhan penduduk di negara2 Asia dan Afrika yang jauh lebih besar jika dibandingkan dengan Negara2 Eropah dan Jepun dan di dalam masa yang sama negara2 Eropah ini pula tidak menghadapi sebarang masalah dari segi perubatan atau ekonomi jika dibandingkan denga apa yang dihadapi oleh negara2 Asia dan juga Afrika. Ini membuktikan ianya merupakan suatu amalan buruk yang diamalkan oleh pihak barat yang hanya mementingkan keseronokan, harta yang banyak dan kemodenan negara dan menjadikan anak dan penduduk yang ramai sebagai alasan kepada timbulnya masalah dari segi ekonomi dan juga perubatan kepada negara.


PENDAPAT KETIGA : Melihat kepada perbezaan dari segi penentuan jarak kelahiran dan menghadkan bilangan zuriat yang diinginkan. Adapun amalan merancang keluarga dengan menentukan jarak kelahiran adalah satu amalan yang dibolehkan syarak berdasarkan ketetapan2 yang telah ditetapkan tetapi jika amalan merancang keluarga itu dengan menghadkan bilangan zuriat yang diinginkan maka ianya tidak dibenarkan sama sekali. Ini merupakan pendapat dari Jumhur Fuqaha' dan menjadi resolusi bagi Akademi Kajian dan Penyelidikan Islam di dalam daurah mereka yang ke-5 pada tahun 1988.

Hujah bagi pendapat ini ialah amalan menentukan jarak kelahiran bersandarkan kepada pemikiran ingin menjarakkan dan mengawal tempoh kehamilan dengan kaedah2 yang mampu menghalang kehamilan di dalam suatu tempoh tertentu. Hal ini bertepatan dengan maslahah yang dimaksudkan tanpa melibatkan sebarang kemudharatan atau kebinasaan. Adapun amalan menghadkan bilangan zuriat pula merupakan pemikiran ingin menghentikan kehamilan secara keseluruhannya dengan melakukan kaedah2 seperti sterilisasi, hysterectomy (membuang rahim) dan juga vasectomy (buang testis). Perkara2 ini semuanya diharamkan oleh kebanyakan para ilmuan kerana mengundang kemudharatan sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud :

كنا نغزو مع رسول الله وليس لنا شيء فقلنا : ألا نستخصي ؟ فنهانا عن ذلك

maksudnya : Kami bersama2 Nabi Muhammad SAW di dalam peperangan dan kami tidak memiliki apa2 pun bersama kami (isteri). Lalu kami bertanya : adakah dibolehkan kami melakukan perbuatan mengkasi? Lalu Nabi Muhammad SAW melarang kami melakukan perbuatan tersebut.

Jadi jelaslah di sini perkembangan dalam bidang perubatan, ekonomi dan juga politik membuka satu lebaran di dalam sesetengah isu fiqh yang penting di dalam masyarakat kita masa kini dan di antara isu tersebut ialah isu yang kita bincangkan kali ini. Kita melihat perselisihan pendapat Ahli2 Feqah kontemporari ini membawa kepada hukum yang berlainan. Sesetengah dari mereka menetapkan hukum berdasarkan isu kebebasan yang telah ditentukan oleh syariat. Sesetengahnya pula melihat kepada isu pembangunan negara yang bercanggah dengan maksud syarak. Dan sesetengah yang lain pula menghimpunkan kedua2nya dengan membezakan di antara perbuatan menentukan jarak kelahiran dan menghadkan bilangan zuriat. Tetapi pendapat yang terpilih di dalam isu ini ialah pendapat yang pertama iaitu dibolehkan amalan merancang keluarga ini sama ada dari segi menentukan jarak kelahiran atau menghadkan bilangan zuriat dengan berpaksikan ketetapan2 syarak yang melarang berlakunya sebarang kemudharatan atau percanggahan2 umum yang lain berdasarkan persepakatan pendapat kebanyakan Ahli Feqah yang membenarkan perbuatan a'zal. Adapun larangan aktiviti merancang keluarga ini seperti yang disebut oleh hadis جذامة , hadis tersebut telah ditukar ganti dengan hadis dari جابر kerana ianya merangkumi ruang lingkup hak kebebasan individu seperti yang telah ditetapkan oleh kerangka syariat Islam.


1 comments:

Unknown said...

assalamualaikum.. boleh saya tahu surah apa dan ayat berapa bagi setiap ayat al-Quran di atas..

Post a Comment