Hukum Bank Susu Ibu

Istilah bank susu bukanlah suatu isitilah yang asing lagi bagi masyarakat kita masa kini. Pada hakikatnya bank susu ini ditubuhkan untuk menghimpunkan susu2 dari kaum ibu sama ada melalui sumbangan ikhlas atau berbayar dari mereka demi menampung keperluan susu ibu masa kini. Kemudian susu2 yang dihimpunkan itu akan disimpan di suatu tempat yang khusus dan disterilkan dengan menggunakan kaedah saintifik kemudian akan dikeluarkan berdasarkan permintaan dan keperluan yang mendesak daripada sebahagian bayi tertentu khususnya bagi bayi yang tidak mempunyai daya kekuatan dan kurang pertumbuhannya disebabkan kelahiran yang belum mencapai umur matang.

Sebenarnya idea bank susu ini telah dilaksanakan di negara2 barat dan telah mencapai kejayaan yang amat membangga dan menggembirakan bagi masyarakat di negara tersebut. Namun bagi negara2 Islam pula sehingga kini tiada lagi keperluan yang mendesak untuk mempraktikkan idea berkaitan bank susu ini. Ini kerana di negara2 Islam 85% dari golongan ibu ini memilih kaedah penyusuan secara semulajadi dan bakinya yang lain menggunakan susu alternatif dan kaedah2 alternatif yang lain agar anak2 tersebut mendapat bekalan susu yang secukupnya. Selain itu daripada jumlah keseluruhan kelahiran kira2 7% bayi lahir sebelum mencapai umur matang dan daripada jumlah tersebut hanya 7% sahaja yang memerlukan penyusuan susu ibu. Ini menunjukkan keperluan yang amat sedikit untuk mendirikan bank susu ibu pada masa kini. Walaupun tiada keperluan untuk mendirikan bank susu ini namun masyarakat perlu jelas mengenai hukum sebenar berkaitan isu yang diperbincangkan ini? Ahli2 Feqah kontemporari berselisih kepada beberapa pendapat utama.

PENDAPAT PERTAMA : Menurut pendapat Dr Yusuf Al-Qaradawi dan Dr Ahmad As-Shirbasi tiada larangan dari segi syarak untuk menubuhkan bank susu ibu ini selaras dengan maksud syariah yang bertujuan untuk memelihara insan2 yang lemah khususnya bagi bayi yang lahir sebelum umur matang ini. Selain itu, dibolehkan juga untuk menjual susu ibu itu dengan diQiyaskan perkara tersebut kepada pembayaran upah untuk sesuatu penyusuan itu. Pengharaman penyusuan yang dimaksudkan ialah penyusuan seorang bayi terus dari buah dada ibu yang menyusuinya sepertimana yang yang disebut oleh Imam Laith Bin Saad dan Imam Ahmad melalui salah satu riwayatnya. Ini kerana pengharaman penyusuan itu disyaratkan susu ibu semata2 seperti yang disebut oleh Mazhab Hanafi. Jika susu ibu itu telah bercampur dengan air atau ubat atau susu dari perempuan yang lain maka ianya tidak disabitkan pengharamannya kerana percampuran itu tidak jelas keadaan dan perihalnya. Tetapi jika jelas dan terbukti percampuran itu melibatkan susu dari 2 wanita yang berbeza maka tersabitlah pengharamannya. Ini kerana sesuatu perkara yang syak dan ragu2 itu tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang lain. Dengan maksud lain tidak terangkat sesuatu perkara yang yakin itu jika disertai dengan syak dan ragu2.

PENDAPAT KEDUA : Menurut pendapat Dr Wahbah Az-Zuhayli dan Akademi Fiqh Islam diharamkan mewujudkan bank susu ibu ini berdasarkan tiadanya keperluan yang menuntut untuk mewujudkannya disebabkan adanya susu2 alternatif yang lain. Tambahan pula ini akan meletakkan kedudukan bank susu ini di dalam perkara yang dilarang oleh syarak disebabkan beberapa faktor. Pertama - Akan mewujudkan hubungan mahram antara bayi yang disusui dengan keluarga ibu yang menyusuinya. Hal seperti ini membuatkan ramai pihak tidak menyedarinya sehingga berlakunya situasi seperti seorang lelaki berkahwin dengan wanita yang disusuinya atau berkahwin dengan wanita yang menyusu dari ibu lelaki tersebut. Maka Jumhur Ulama' mensabitkan pengharaman tersebut apabila sampainya susu ibu ke dalam perut bayi walaupun tidak melalui buah dada ibu itu. Kedua - Kewujudan bank susu ini akan menyebabkan penyalahgunaannya seterusnya membawa kemudharatan kepada golongan bayi ini. Ketiga - Bank susu ini juga akan menyebabkan berkembangnya perniagaan murahan di kalangan kaum miskin yang akan berkhidmat untuk golongan2 kaya sehingga membawa kepada kesan negatif terhadap kesihatan mereka. Ini merupakan perkara yang harus dijauhi.

PENDAPAT KETIGA : Dibolehkan mewujudkan bank susu ini jika bertepatan dengan kehendak syarak seperti jaminan keselamatan susu tersebut dan mengetahui siapakah ibu2 yang turut serta di dalam bank susu tersebut. Ini secara tidak langsung membuatkan sesiapa yang mengambil susu dari bank susu ini mengetahui siapakah pemilik dan ahli keluarga kepada susu tersebut seterusnya mengetahui hubungan mahramnya disebabkan penyusuan itu. Hal ini dapat dipraktikkan dengan menulis senarai nama ibu, isteri dan anak2 yang terlibat dengan bank susu ini di botol2 kaca susu ibu yang bercampur ini.

Kesimpulannya isu ini tetap menjadi titik perbezaan pendapat dari golongan2 ilmuan ini. Perkara ini wajar berlaku kerana tiadanya nas secara langsung yang membolehkan atau mengharamkan bank susu ini. Maka kajian dan perbahasan yang lebih mendalam perlu dilakukan bagi menyelesaikan isu ini dengan melihat kepada maslahah dan juga kefasadan wujudnya bank susu ini dan sejauh mana keperluan masyarakat kepada bank susu ini di masa hadapan.

[ Institut Kefahaman Islam Malaysia berpendapat wajar untuk mewujudkan bank susu ini kerana ianya memberi sumbangan besar kepada keperluan bayi khususnya bagi bayi yang menghadapi masalah dengan susu alternatif dan perkara ini juga selaras dengan maksud syariah yang bertujuan untuk mengawal diri manusia ]

0 comments:

Post a Comment