Merahsiakan Penyakit & Tanggungjawab Bagi Seorang Doktor

Rahsia ialah perkara yang disembunyikan oleh sesuatu pihak agar pihak lain tidak mengetahuinya atau sesuatu perkara yang mana dari segi adatnya menuntut agar disembunyikan agar tidak diketahui oleh pengetahuan umum. Rahsia ini meliputi perkara2 peribadi atau aib bagi seseorang individu yang dilarang diketahui oleh pihak lain.

Sebenarnya selepas kemajuan yang dicapai di dalam bidang perubatan dan kehendak masyarakat untuk bertemu dengan pihak doktor bagi mendapatkan nasihat kesihatan dan juga rawatan bagi penyakit dan kecederaan yang dialami, perkara2 ini menuntut pihak doktor untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai asal-usul penyakit tersebut dan sebab2 jangkitannya yang memungkinkan mereka untuk mengetahui apakah sebenarnya penyakit yang dihadapi oleh pesakit2 mereka yang tidak ketahui oleh pihak yang lain. Rahsia2 ini juga mempunyai ikatan dengan elemen2 yang lain seperti Agama, akhlak, undang2 dan juga kesejahteraan masyarakat sepertimana seseorang individu yang mempunyai ikatan dengan individu yang lain seperti ikatan suami isteri, tunang, waris dan lain2 lagi. Maka disebabkan perkara inilah timbullah persoalan tentang hak dan tanggungjawab bagi seseorang doktor itu untuk merahsiakan perkara tersebut atau perlu dihebahkan agar diketahui oleh pihak lain. Lalu Ahli2 Feqah kontemporari berselisih pendapat mengenai isu ini.

PENDAPAT PERTAMA : Haram bagi seseorang doktor itu menghebahkan rahsia penyakit tersebut.

Hujah bagi pendapat ini ialah rahsia itu merupakan suatu amanah dan diharamkan bagi seseorang doktor itu mengkhianati amanah tersebut. Maklumat berkaitan rahsia penyakit tersebut hanya untuk tujuan rawatan dan perubatan. Ini membuktikan pihak doktor tidak boleh untuk menghebahkan maklumat rahsia ini untuk tujuan yang lain walaupun bertujuan untuk kesejahteraan masyarakat kecuali setelah mendapat keizinan dari pesakit.

PENDAPAT KEDUA : Wajib ke atas pihak doktor untuk menggunakan maklumat rahsia pesakit ini untuk tujuan rawatan dan perubatan dan juga sebagai perintah kepada perkara2 kebaikan serta menjauhi perkara2 kemungkaran.

Hujah pendapat ini ialah sesuatu perkara yang keluar dari mulut seseorang pesakit itu sendiri tidak lagi dikira sebagai satu rahsia sepertimana seorang doktor yang mana sebelum bergelar sebagai seorang doktor mereka juga merupakan insan2 yang dipertanggungjawabkan oleh masyarakat untuk menjadi seorang reformis yang mampu untuk melakukan perkara2 kebaikan dan mencegah perkara2 yang memudharatkan dengan mempertimbangkan dasar politik yang berperingkat dan juga melihat kepada perkara yang lebih rendah kemudharatanya berbanding dengan perkara yang lain dalam merawati perkara sosial masyarakat ini. Jadi bagi seseorang doktor itu disamping menjaga perihal pesakitnya dia juga perlu bekerjasama untuk kesejahteraan masyarakat yang lain kerana itu juga merupakan tanggungjawabnya.

PENDAPAT KETIGA : Hukum asal bagi isu ini ialah diharamkan bagi seseorang doktor itu menghebahkan penyakit pesakitnya namun bagi sesetengah pengecualian hal ini dibolehkan sekiranya merahsiakan penyakit tersebut akan membawa kepada kemudharatan yang nyata dan menghilangkan maslahah2 yang lain.

Hujah pendapat ini ialah sepertimana yang disebut oleh hujah pendapat pertama dan kedua seperti yang tertera di atas. Pendapat inilah yang dipraktikkan oleh Pertubuhan Islam Bagi Sains Perubatan melalui persidangan mereka yang ke-3 pada tahun 1987 dengan kenyataan yang berbunyi : " Menghebahkan rahsia pesakit pada asalnya ditegah oleh undang2 dan syarak tetapi perkara ini dikecualikan sekiranya dengan merahsiakan maklumat tersebut akan mendatangkan kemudharatan yang lebih besar kepada pesakit tersebut atau dalam kata yang lain kepentingan dalam mendedahkan rahsia tersebut melebihi kerugian menyembunyikan rahsia itu. Hal ini meliputi 2 perkara berikut : PERTAMA - Hal yang mewajibkan menghebahkan rahsia tersebut demi mengelakkan kefasadan di dalam masyarakat dan individu. KEDUA - Hal yang membolehkan menghebahkan rahsia tersebut yang meliputi maslahah2 bagi masyarakat atau keizinan dari tuan empunya diri untuk menghebahkan rahsia itu. Di dalam apa jua keadaan sekalipun wajib untuk menjaga etika dan undang2 kedoktoran dalam melaksanakan perkara ini dengan mengkaji bagaimana untuk menghebahkan rahsia tersebut dan kepada siapa perlu dihebahkannya. Ini juga merupakan salah satu tanggungjawab untuk menyedarkan semua pihak di dalam arus masyarakat untuk berdepan dengan situasi seperti ini.

Pendapat yang terakhir inilah merupakan pendapat yang bertepatan dengan maksud syariah dalam memelihara lima perkara utama iaitu agama, diri, akal, keturunan dan harta benda.

0 comments:

Post a Comment