Hukum Menderma & Memindahkan Organ

Apabila dunia memasuki abad ke-20,masyarakat dunia dapat menyaksikan lahirnya beberapa perkembangan dan permodenan dari pelbagai bidang seperti teknologi, perubatan dan lain-lain.Dan di antara perkembangan yang menakjubkan di dalam bidang perubatan ialah pembedahan untuk memindahkan organ manusia. Pembedahan pemindahan organ manusia ini dapat disaksikan dengan lebih meluas khususnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan berlakunya pembedahan-pembedahan organ seperti kornea mata, kulit, hati, ginjal dan juga hati. Selain itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga kedengaran juga kejayaan dalam bidang perubatan moden ini dengan melakukan pemindahan sebahagian sel otak, kelenjar dan juga alat-alat kelamin seperti testis.Langkah-langkah seperti ini di ambil oleh doktor-doktor pakar untuk menghindari pembedahan pemindahan organ yang di ambil dari haiwan kerana organ-organ yang di ambil dari haiwan ini gagal untuk berfungsi disebabkan penolakan tubuh si penerima kerana tiadanya hormon yang bersesuaian yang terdapat di dalam sel tisu manusia.

Pemindahan organ manusia ini yang dilihat dari segi pemderma dan penerimanya terdapat di dalam empat gambaran.

PERTAMA : Pemindahan dari manusia yang masih hidup dan sempurna kehidupannya. Berlakunya pemindahan organ dari gambaran yang pertama ini bagi organ-organ atau anggota yang tidak memberi kesan kepada fungsi asal organ tersebut dan juga manfaatnya seperti salah satu dari ginjal atau kornea mata.

KEDUA : Pemindahan dari manusia yang tidak sempurna kehidupannya seperti manusia yang dihukum mati atas kesalahan jenayah yang dilakukannya. Gambaran ini meliputi apa jua perkara yang berkaitan dari segi hukum Fiqh dan juga hak asasi manusia.

KETIGA : Pemindahan organ dari manusia yang telah mati. Gambaran ini merupakan keadaan yang paling aman dan harmoni bagi pihak penerima organ tersebut kerana tiada berlakunya sebarang paksaan dan juga tidak melanggar etika seorang penderma dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang insan.

KEEMPAT : Pemindahan dari organ-organ janin dan sel-selnya. Gambaran keempat ini mula timbul selepas kemajuan di dalam bidang perubatan dan juga lahirnya diagnosis (proses mengenalpasti) penyakit-penyakit janin. Secara saintifiknya penggunaan organ-organ janin ini dapat digunakan selepas tiga bulan pertama selepas proses pengguguran janin tersebut. Namun secara hakikatnya keadaan ini ditakuti akan berlakunya lebih banyak pengguguran yang dilarang demi untuk tujuan pemindahan dan penanaman organ semata-mata.

Jika dilihat dari segi tabii organ yang dipindahkan pula, proses ini berlaku di dalam tiga gambaran.

PERTAMA : Pemindahan organ baru yang tidak memberi kesan kepada sifat-sifat genetik seperti darah, kulit dan rambut.

KEDUA : Pemindahan organ-organ lama yang juga tidak memberi kesan kepada sifat-sifat genetik manusia seperti hati dan juga pankreas.

KETIGA : Pemindahan organ-organ yang memberi kesan kepada sifat genetik manusia sama ada kesan secara langsung atau tidak langsung. Keadaan ini ditakuti akan menyebab berlakunya percampuran nasab misalnya organ-organ seperti testis dan juga pembiakan kelenjar dan sel di dalam otak.

Secara realitinya, proses pemindahan organ ini merupakan isu perubatan yang baru yang tidak pernah dibincangkan oleh golongan Fuqaha' terdahulu. Namun bagi golongan Fuqaha' kontemporari mereka berbeza pendapat dalam mengeluarkan ijithad bagi masalah ini.

PENDAPAT PERTAMA : Golongan ini berpendapat haram secara mutlak berlakunya proses pemindahan organ ini sama ada dari manusia yang masih hidup atau yang telah mati walaupun bagi tujuan untuk mengubati penyakit.

Hujah bagi pendapat ini ialah manusia tidak memiliki apa jua yang telah dikurnikan oleh Allah SWT kepadanya sama ada anggota badan dan sebagainya. Ini kerana secara hakikatnya manusia ini dimiliki oleh Allah SWT. Selain itu pemindahan organ ini akan menyebabkan berlakunya percampuran nasab di antara sesama manusia dan hal ini mengubah ciptaan Allah SWT dan ianya merupakan perkara yang diamalkan oleh syaitan. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam Firman Allah SWT di dalam ayat al-Quran yang berbunyi :

قال الله تعالى : ولأمرنهم فليبتكن ءاذان الأنعم ولأمرنهم فليغيرن خلق الله ومن يتخذ الشيطان وليا من دون الله فقد خسر خسرانا مبينا

Maksudnya : Dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu, dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang nyata.



PENDAPAT KEDUA
: Golongan ini pula berpendapat dibolehkan berlakunya proses pemindahan organ ini sama ada dari manusia yang masih hidup atau yang telah mati dengan tujuan untuk perubatan. Namun proses pemindahan ini perlu menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak seperti adanya keperluan yang menuntut , tidak berlaku sebarang penganiayaan dan kezaliman dan juga tidak berlakunya percampuran nasab.
Hujah bagi pendapat ini ialah syariat mengharuskan untuk mengubati apa jua penyakit. Proses pemindahan organ ini juga merupakan salah satu perubatan yang berlaku pada zaman moden ini. Hal ini disebut di dalam Hadis Nabi SAW yang berbunyi :

أخرج مسلم عن جابر: أن النبي قال: لكل داء دواء، فإذا أصاب دواء الداء برئ بإذن الله

Maksudnya : Setiap penyakit itu ada ubatnya. Apabila ubat itu digunakan untuk mengubati penyakit tersebut maka dengan izin Allah akan sembuh penyakit itu.

Selain itu proses pemindahan organ ini juga membawa erti tolong menolong sesama manusia dan sifat kasih- mengasihi seperti yang dituntut oleh Islam. Walaupun sekiranya terdapat sebarang kefasadan namun ianya dimaafkan kerana darurat. Sebuah lagi Hadis Nabi SAW ada berbunyi :

أن النبي : من استطاع منكم أن ينفع أخاه فليفعل

Maksudnya : Barang siapa yang mampu untuk mengambil manfaat dari saudaranya maka laksanakanlah.

PENDAPAT KETIGA
: Pendapat ini pula melihat kepada keadaan berlakunya pemindahan organ itu. Jika organ itu dipindahkan dari manusia yang masih hidup maka hukumnya haram sama sekali. Tetapi jika dipindahkan dari manusia yang telah mati maka ia dibolehkan oleh syarak namun hendaklan menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak seperti yang disebutkan di atas.

Golongan ini berhujah dengan mengatakan manusia yang masih hidup itu lebih diutamakan dari insan yang telah mati.

Setelah melihat kepada gambaran dan hukum mengenai proses pemindahan organ ini, secara ilmiahnya tajuk yang dibincangkan kali ini masih memerlukan penelitian dan kajian yang mendalam dalam menentukan hukum yang bersesuaian dengan isu ini. Kajian yang mendalam ini haruslah meliputi segala jenis aspek yang berkaitan yang menepati terma-terma yang ditetapkan oleh syarak di samping memelihara maslahah individu dan juga masyarakat.

0 comments:

Post a Comment