Hukum Pembedahan Penempelan Kulit

Proses penempelan kulit ialah suatu proses pembedahan yang dijalankan untuk memindahkan kulit dari anggota badan yang selamat dan diletakkan di kawasan atau anggota yang terkena musibah. Proses pemindahan kulit ini boleh dipindahkan dari anggota badan pesakit itu sendiri atau dari anggota manusia lain sama ada yang masih hidup atau yang telah mati.

Pembedahan penempelan kulit ini berbeza daripada proses pemindahan organ seperti yang kita bincangkan sebelum ini. Ini kerana proses pemindahan organ ialah memindahkan organ yang berfungsi dari seseorang individu kepada individu yang lain dengan tujuan agar organ itu dapat terus berfungsi dan membantu pesakit tersebut untuk meneruskan kehidupannya. Manakala pembedahan penempelan kulit pula ialah proses memindahkan kulit dan ditempelkan ke kawasan kulit yang terkena musibah dengan tujuan agar berlakunya perubahan biologi sehingga kulit yang baru dapat tumbuh dengan sendirinya. Kulit manusia memainkan peranan yang cukup penting di dalam kehidupan manusia. Antaranya ialah melindungi bahagian-bahagian anggota badan sehingga ke ruang rongga dalamnya, deria untuk merasai sentuhan dan kesakitan, anggota yang menyeimbangi cecair dan garam bagi badan manusia serta anggota yang mengawal suhu badan manusia. Apabila seseorang individu itu kehilangan mana-mana bahagian dari kulitnya maka sebahagian atau keseluruhan fungsi-fungsi kulit ini akan memberi kesan yang berganda kepada pesakit dan adakalanya boleh membawa kepada kematian. Namun Allah SWT itu Maha Pencipta. Allah SWT telah menciptakan kulit manusia itu berkemampuan untuk diperbaharui dengan sendirinya. Tetapi jika kawasan kulit yang memerlukan rawatan itu besar, maka proses penempelan kulit ini amat diperlukan agar ianya dapat dipulihkan dengan sendirinya. Selalunya proses-proses penempelan ini dilakukan apabila berlakunya kecederaan yang serius di bahagian kulit seperti melecur terbakar dan pembedahan untuk membuang ketumbuhan yang besar di bahagian muka dan dahi.

Sebenarnya pembedahan penempelan kulit ini mula wujud pada pertengahan kedua dari kurun ke-20. Oleh sebab itulah para Fuqaha' kontemporari berbeza pendapat mengenai hukum penempelan kulit ini disebabkan perbezaan mereka pada sifat kulit yang dipindahkan itu sama ada ianya bersih atau dikategorikan sebagai najis serta adakah ianya harus dilakukan semasa masih hidup atau selepas mati. Selain itu, golongan Fuqaha' juga berselisih pendapat mengenai tujuan pembedahan tersebut dilakukan. Adakah ianya dilakukan untuk menghilangkan kecelakaan atau kemudharatan yang dialami oleh individu tersebut atau ianya dilakukan untuk tujuan mencantikkan wajah muka dan anggota badan yang lain atau dilakukan untuk mengubah ciptaan Allah SWT dengan tujuan untuk menipu manusia lain.

Ahli-ahli Feqah kontemporari berijmak bahawasanya haram dilakukan pembedahan penempelan kulit jika tujuan dilakukan proses tersebut untuk tujuan penipuan dan menyesatkan keadilan. Selain itu golongan ini juga berijmak dibolehkan dilakukan proses penempelan kulit ini di dalam keadaan darurat seperti menghilangkan kemudaratan dan kecelakaan yang dialami oleh seseorang pesakit dan di dalam masa yang masa tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Namun di dalam keadaan-keadaan yang lain golongan Fuqaha' ini berselisih kepada tiga pendapat utama :

PENDAPAT PERTAMA : Dibolehkan dilakukan pembedahan penempelan kulit ini sama ada untuk tujuan rawatan atau untuk mencantikkan keadaan asal ciptaan.

Golongan ini berhujah dengan menyatakan bahagian kulit yang dipindahkan dari anggota badan manusia dikategorikan sebagai bersih menurut pendapat yang terpilih dari pandangan Jumhur. Kulit yang dipindahkan itu juga tidak kira sama ada dari yang masih hidup atau yang telah mati atau dipindahkan dari orang Islam atau bukan Islam maka hukumnya tetap sama berdasarkan dalil umum dari ayat al-Quran yang berbunyi :


قال الله تعالى : ولقد كرمنا بني آدم

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam. Selain itu mereka juga berhujah pembedahan ini juga tidak dapat lari dari maslahah darurat seperti untuk melindungi diri apabila terkena musibah seperti melecur kebakaran. Pembedahan ini juga tidak dapat lari dari maslahah keperluan seperti menghilangkan kesan-kesan parut dari sesuatu musibah dan juga maslahah kecantikan seperti merawat dan mengubah ciptaan asal manusia.

PENDAPAT KEDUA : Hukum pembedahan penempelan kulit manusia ini bergantung kepada tujuan dilakukan pembedahan tersebut. Jika pembedahan itu dilakukan untuk tujuan kecantikan semata-mata, maka hukumnya haram kerana perbuatan itu menolak takdir Tuhan yang Maha Esa. Hal ini disebut di dalam Hadis Nabi SAW yang berbunyi :

عن ابن مسعود أن النبي قال : لعن الله الواشمات والمستوشمات، والنامصات والمتنمصات، والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله


Maksudnya : Allah melaknat orang-orang yang membuat tatu dan pembuat tatu, orang-orang yang mencukur bulu keningnya dan pencukur bulu kening itu dan orang-orang yang membentuk giginya untuk kecantikan. Golongan-golongan inilah yang mengubah ciptaan Tuhan. Tetapi jika pembedahan yang dilakukan itu untuk tujuan rawatan maka tiada larangan baginya sepertimana yang disebut di dalam Hadis Nabi SAW yang berbunyi :

أن النبي قال : تداووا عباد الله فإن الله لم يضع داء إلا وضع له دواء


Maksudnya : Rawatilah penyakit-penyakit kamu wahai hamba-hamba Allah. Sesungguhnya Allah SWT tidak mendatangkan penyakit kecuali bagi penyakit itu ada penawarnya.

PENDAPAT KETIGA : Hukum pembedahan penempelan kulit manusia itu bergantung kepada asal kulit itu sendiri. Jika kulit itu diambil dari pesakit itu sendiri maka pembedahan itu dibolehkan oleh syarak kerana sucinya kulit tersebut. Tetapi jika kulit itu di ambil daripada individu yang lain maka pembedahan penempelan kulit itu diharamkan oleh syarak kerana bahagian kulit yang dipindahkan itu dikategorikan sebagai najis berdasarkan kaedah Fiqh yang berbunyi : "Apa-apa yang terpisah daripada mayat ianya dikategorikan sebagai najis atau bangkai".

Jadi jelaslah di sini daripada perbincangan mengenai isu pembedahan penempelan kulit manusia ini, isu ini juga memerlukan kajian yang lebih mendalam agar apabila dilakukan pembedahan ini ianya haruslah menepati terma dan syarat yang ditetapkan oleh syarak yang meliputi aspek-aspek seperti merawat pesakit, mengelakkan kesusahan bagi individu yang memerlukan dan juga menjaga hak-hak bagi orang yang menderma kulit tersebut.

0 comments:

Post a Comment