Hukum Bank Kulit

Sebelum ini kita ada membincangkan tentang hukum melakukan pembedahan penempelan kulit. Daripada kesan kejayaan pembedahan penempelan kulit ini yang dilakukan bagi sesiapa yang ditimpa musibah yang mengakibatkan kecederaan yang serius di bahagian kulit atau melecur terbakar maka timbullah keperluan untuk mewujudkan bank kulit. Bank kulit ini memainkan peranan untuk menyimpan dan menjaga kulit-kulit yang didermakan oleh para penderma khususnya dari orang yang telah meninggal dunia kemudian kulit-kulit ini akan digunakan ketika mana diperlukan bagi tujuan perubatan sepertimana peranan yang dimainkan oleh bank darah dan juga bank tulang.

Ada tiga cara untuk menyimpan dan menjaga kulit ini :

CARA PERTAMA : Kulit disimpan dan didinginkan pada suhu 4 darjah celcius. Melalui cara ini kulit-kulit ini boleh disimpan selama tempoh tiga minggu.

CARA KEDUA : Kulit dibekukan pada suhu 90 di bawah tahap beku dengan menggunakan nitrogen cair atau sebagainya. Melalui cara ini kulit ini mampu disimpan sehingga tempoh 6 bulan atau lebih.

CARA KETIGA : Kulit dibekukan sehingga kering kemudian dijaga di dalam bentuk serbuk pada suhu bilik iaitu kira-kira 20-25 darjah celcius selama tempoh 18 bulan. Apabila kulit ini hendak digunakan ianya akan dicairkan kembali dengan dicampurkan bersama larutan garam asli kemudian ditempelkan kepada anggota yang terkena musibah.

Secara realitinya, jika dilihat dari cara penyimpanan kulit di atas, kulit-kulit ini disimpan bukan pada waktu yang diperlukan. Hal ini bertentangan dengan pendapat yang membolehkan untuk menanam atau memindahkan anggota badan manusia. Ini kerana pendapat ini mensyaratkan wujudnya keperluan atau keadaan yang mendesak. Jika tidak wujud keadaan ini maka tidak dibolehkan untuk melakukan pemindahan organ atau kulit ini. Tetapi jika pendapat ini diambil kira ianya akan mengundang maut bagi sesiapa yang ditimpa musibah seperti kebakaran dan sebagainya kerana ketidakwujudan bekalan kulit ini akan menyebabkan para doktor tidak dapat mengambil tindakan yang selanjutnya untuk menyelamatkan pesakit tersebut. Hal ini mengundang kepada perbahasan para Fuqaha' kontemporari bagi hukum bank kulit ini kepada 3 pendapat utama :

PENDAPAT PERTAMA :

Boleh untuk mewujudkan bank kulit ini secara mutlak sama ada penderma kulit itu dari individu yang masih hidup atau yang telah meniggal dunia.

Hujah bagi pendapat ini ialah tiada wujudnya nas yang melarang bagi hal ini. Selain itu kewujudan bank kulit ini juga tidak mendatangkan keburukan dan kemudharatan dari segi syarak. Ini kerana keperluan-keperluan semasa menuntut untuk diwujudkan bank kulit manusia ini dengan tujuan untuk menyelamatkan individu-individu yang bakal ditimpa musibah. Ini kerana kemudharatan yang bakal berlaku sama peringkatnya dengan kemudharatan yang telah berlaku. Jadi langkah untuk mewujudkan bank kulit ini merupakan suatu langkah yang terbaik demi untuk mencegah segala kemudharatan ini.

PENDAPAT KEDUA :

Haram untuk mewujudkan bank kulit manusia ini secara mutlak tidak kira sama ada dari individu yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Hujah bagi pendapat ini ialah dibolehkan pembedahan penempelan kulit manusia hanya ketika darurat dan darurat ini pula ada kadar dan hadnya. Hal ini tidak meliputi idea untuk mewujudkan bank kulit manusia kerana bank kulit ini diwujudkan untuk menyimpan dan menjaga kulit-kulit yang telah didermakan oleh para penderma. Penyimpanan ini membuktikan ianya bukanlah suatu darurat bahkan ianya sebagai bekalan kepada para doktor apabila ada pesakit yang ditimpa musibah.

PENDAPAT KETIGA :

Melihat kepada tujuan untuk mewujudkan bank kulit tersebut. Jika kewujudan bank kulit itu untuk menjaga kulit-kulit yang didermakan semasa penderma-penderma tersebut masih hidup maka dibolehkan untuk mewujudkan bank kulit itu. Tetapi jika kewujudan bank kulit itu untuk menjaga kulit-kulit selepas matinya penderma-penderma tersebut maka perkara tersebut diharamkan.

Hujah bagi pendapat ini ialah individu-individu yang masih hidup berhak untuk mendermakan sebahagian dari kulitnya tetapi berbeza pula bagi orang yang telah meninggal dunia. Ini kerana apa yang diharamkan bagi orang yang telah meninggal dunia sama juga seperti apa yang telah diharamkan ke atas orang yang masih hidup sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban dan Abu Daud sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda :

كسر عظم الميت ككسره حيا


Maksudnya : Mematahkan tulang individu yang telah meninggal dunia sama hukumnya seperti mematahkan tulang individu yang masih hidup.

Ini bermaksud jika seseorang yang melakukan kecederaan kepada seseorang individu lain yang masih hidup akan dikenakan hukuman begitu juga seseorang yang melakukan kecederaan ke atas individu yang telah mati juga akan dikenakan hukuman. Jadi jelaslah walaupun individu tersebut telah meninggal dunia kita tidak berhak untuk mengambil mana-mana organ atau anggota dari mayat tersebut. Tetapi bagi individu yang masih hidup pula mereka berhak untuk mendermakan mana-mana organ atau anggota badan mereka dengan keizinan mereka sendiri. Keizinan itulah membuktikan keikhlasan para penderma ini dalam membantu insan-insan lain yang memerlukan bantuan.Bold

Tidak dapat disangkal lagi isu bank kulit manusia ini masih memerlukan kepada kajian yang menyeluruh dan penelitian yang mendalam dari sudut Fiqh berpandukan kepada keperluan semasa dalam bidang perubatan. Kajian ini hendaklah meliputi dari segala aspek sama ada dari segi positif penubuhan bank kulit ini mahupun dari segi negatifnya agar dapat memelihara kemuliaan insan itu sendiri dan juga dapat memudahkan tugas para doktor. Berdasarkan kepada resolusi yang dikeluarkan oleh Organisasi Islam bagi Ilmu Perubatan pada muktamar mereka yang ke-8 pada tahun 1995, golongan ini bersepakat dengan membolehkan penubuhan bank kulit manusia ini. Namun penubuhan bank kulit ini hendaklah selari dengan tiga syarat utama iaitu :

PERTAMA : Penubuhan bank kulit ini di bawah seliaan dan kawalan pihak kerajaan atau mana-mana pertubuhan yang diamanahkan oleh pihak kerajaan.

KEDUA : Penyimpanan kulit-kulit manusia ini sekadar keperluan untuk menampung insiden-insiden yang berlaku dan yang akan berlaku.

KETIGA : Menghormati kulit-kulit yang telah dipotong dengan dikebumikannya seperti mayat dan anggota-anggota badan yang lain bukan membuangnya seperti sampah.

0 comments:

Post a Comment