Hukum Suami Meminta Isteri Bekerja Untuk Bersama2 Menyara Keluarga

Fenomena wanita bekerjaya bukanlah suatu perkara yang asing lagi bagi masyarakat dunia masa kini. Sebenarnya fenomena ini mula menular di dalam arus masyarakat dunia kesan dari gerakan dakwah yang memperjuangkan hak kebebasan wanita yang diperjuangkan oleh Ustaz Kassim Amin pada kurun ke-20 (1863-1908). Antara faktor yang mendorong golongan wanita ini bekerja ialah : Pertama - Taraf kehidupan dan ekonomi yang semakin meningkat mendorong golongan wanita ini bekerja untuk membantu suami meningkatkan taraf hidup keluarga dan mencari bekalan yang secukupnya kepada anak2 di masa hadapan. Kedua - Kecenderungan wanita itu sendiri untuk bekerja dan memanfaatkan bakat dan kreativiti yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka. Ketiga - Sebagai jaminan bagi golongan wanita di masa hadapan apabila kematian suami dan hilang tempat bergantung.

Ahli Feqah masa kini bersependapat harta2 yang diperolehi oleh kaum wanita melalui harta peninggalan, mahar perkahwinan atau pemberian dari mana2 pihak yang disimpan selama ini merupakan hak mereka sepenuhnya dan si suami tiada hak untuk menyuruh mereka membelanjakan harta tersebut untuk kegunaan seharian seperti keperluan asas rumah dan sebagainya. Ini berdasarkan ayat Al-Quran yang berbunyi :

قال تعالى : وإن اردتم استبدال زوخ مكان زوج وءاتيتم إحداهن قنطارا فلا تأخذوا منه شيئا أتأخذونه بهتانا وإثما مبينا

mafhumnya : Dan jika kamu mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang telah kamu ceraikan) sedang kamu telah pun memberikan kepada seseorang itu di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikit pun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata? Tetapi jika perolehan harta wanita itu hasil dari titik peluhnya bekerja, harta itu juga hak mereka sepenuhnya jika diredhai oleh si suami. Ini kerana waktu bekerja tersebut sepatutnya digunakan untuk berbakti kepada si suami. Tetapi jika suami telah meredhainya maka tergugurlah hak mereka ke atas harta isteri itu. Apabila pasangan suami isteri ini telah bersepakat untuk bersama2 bekerja dan menyumbangkan kadar tertentu dari gaji mereka untuk keluarga yang dibina, maka kedua2nya hendaklah melaksanakan tanggungjawab masing2 berdasarkan perjanjian antara mereka. Tetapi bagaimana pula jika si suami kedekut atau cuba mengelak dari mengeluarkan nafkah yang wajib ke atasnya dan dalam masa yang sama tiada apa2 perjanjian antara pasangan ini? Maka Ahli Feqah kontemporari berselisih pendapat apakah yang sepatutnya dilakukan oleh isteri yang bekerja ini.

PENDAPAT PERTAMA : Wajib bagi golongan isteri yang bekerja ini bersama2 mengeluarkan nafkah untuk keluarga dengan kadar yang diminta oleh si suami. Jika si isteri mengingkarinya maka isteri tersebut dikategorikan sebagai isteri yang nusyuz dan tidak berhak untuk menuntut nafkah dari suaminya. Ini merupakan pendapat Jumhur Fuqaha' terdahulu dan sebahagian dari Fuqaha' masa kini antaranya Syeikh Ahmad Ibrahim, Syeikh Abdul Wahab Khalaf, Syeikh Mohd Abu Zahrah, Syeikh Mohd Salam Madkur dan Doktor Abdul Rahman Taj.

Hujah pertama bagi pendapat ini ialah keluarnya wanita untuk bekerja menyebabkan si suami berasa kurang senang kerana hak yang sepatutnya diberi oleh si isteri ke atasnya akan berkurangan. Ini boleh menyebabkan si isteri digelar isteri yang nusyuz dan tiada nafkah ke atas dirinya. Hujah mereka yang kedua ialah berdasarkan apa yang dikeluarkan oleh jumhur Fuqaha' yang bertentangan dengan kata2 dari Mazhab Shafie tentang kewajipan memberi nafkah kepada isteri yang tinggal bersama2 suami atau pemilikan sempurna oleh si suami seperti mana dalil sunnah yang berbunyi :

أخرجه الشيخان من حديث عائشة : أن النبي عقد عليها وهي ابنة ست سنين وبنى بها وهي بنت تسع سنبن. ولم يكن النبي ينفق عليها إلا بعد البناء في بيته

maksudnya : Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW mengahwini Saidatina Aishah ketika beliau berumur 6 tahun dan mula tinggal bersama ketika beliau berumur 9 tahun. Nabi Muhammad SAW tidak pernah membayar nafkah melainkan setelah mereka tinggal bersama di rumah Baginda. Dan hujah mereka yang terakhir ialah isteri hanya berhak mendapat nafkah setelah tinggal bersama2 suami. Apabila mereka tinggal bersama maka ia menjadi hak kepada suami untuk melaksanakan kewajipan yang diletakkan ke atas dirinya sepertimana hadis dari Saidatina Aishah yang berbunyi :

أن النبي قال : الخراج بالضمان

mafhumnya : Setiap sesuatu pengeluaran itu akan ada jaminan dan manfaat yang bakal diterimanya. Apa yang dapat disimpulkan dari hadis di atas si suami mengharapkan manfaat yang diterima dari pihak isteri hasil nafkah yang diberikannya kepada isteri tersebut. Jadi jelaslah berdasarkan dalil yang tertera di atas jika isteri keluar bekerja tetapi si suami berasa kurang senang atau tidak memperkenankannya maka gugurlah hak si isteri untuk mendapat nafkah dari suami.

PENDAPAT KEDUA : Tidak wajib bagi isteri yang bekerja mengeluarkan nafkah untuk keluarganya. Ini merupakan pendapat yang lemah di dalam ilmu Fiqh terdahulu dan pendapat dari kebanyakan Ahli2 Feqah di dalam ilmu Fiqh masa kini.

Hujah mereka yang pertama berdasarkan dalil ayat Al-Quran yang berbunyi :

قال الله : تعالى ولا تتمنوا ما فضل الله به بعضكم على بعض للرجال نصيب مما اكتسبوا وللنساء نصيب مما اكتسبن واسألوا الله من فضله إن الله كان بكل شيئ عليما

maksudnya : Dan janganlah kamu terharap2 (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda,ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang2 lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang2 perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap2 sesuatu. Hujah kedua bagi pendapat ini ialah umumnya perintah mengeluarkan nafkah untuk golongan isteri berdasarkan ayat Al-Quran yang berbunyi :

قال الله تعالى : لينفق ذو سعة من سعته ومن قدر عليه رزقه فلينفق مما آتاه الله

maksudnya : Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Dan hujah yang terakhir bagi pendapat ini ialah sesungguhnya keluarnya wanita untuk bekerja tidak mengurangkan hak isteri ke atas suaminya. Ini kerana wanita bekerja ketika suami juga keluar bekerja dan pekerjaan si isteri itu juga tidak mendatangkan kemudharatan kepada suami.

PENDAPAT KETIGA : Wajib ke atas si isteri yang bekerja berkongsi pendapatan dengan suaminya untuk perkara2 keperluan tambahan keluarga seperti orang gaji, pemandu, pakaian tambahan dan makanan segera. Adapun keperluan asas yang asalnya bagi rumah tangga tersebut adalah atas tanggungjawab suami. Pendapat ini merupakan Ijtihad terkini para Fuqaha' masa kini seperti yang termaktub di dalam Ensiklopidia Keluarga Kuwait oleh Doktor Hasanain Al Muhammadi Bawadi..

Hujah pertama bagi pendapat ini ialah suami merupakan insan yang dipertanggungjawabkan oleh syarak untuk mengeluarkan nafkah untuk keperluan asal bagi sesebuah rumah tangga. Apabila si isteri juga bekerja ia menjadi penyebab wujudnya keperluan tambahan yang lain. Jadi apabila isteri menjadi penyebab wujudnya keperluan tambahan tersebut maka wajib baginya untuk berkongsi pendapatan bersama suami menyara keluarga demi keselesaan dan kebahagiaan keluarga yang dibina. Hujah yang kedua pula bagi pendapat ini ialah apabila isteri bersama2 menyara keperluan tambahan keluarga, ini akan meringankan beban si suami dan menepati dengan maksud perkahwinan tersebut iaitu saling mencintai dan kasih mengasihani. Tetapi jika tersemat di dalam diri masing2 sifat kedekut untuk berkongsi pendapatan demi kebahagiaan keluarga ia akan mengundang permusuhan dan retaknya institusi kekeluargaan itu.

PENDAPAT KEEMPAT : Wajib untuk pasangan suami isteri tersebut berkongsi pendapatan mereka di dalam apa jua keadaan sekalipun. Ini kerana harta yang dicari itu semata2 untuk kebahagiaan kehidupan mereka. Apa yang dibeli oleh salah seorang dari mereka semata2 untuk keperluan bersama bukan untuk kepentingan peribadi.

Hujah pendapat ini ialah perkahwinan itu sendiri merupakan perkongsian hidup antara suami dan isteri dan di antara perkara yang dituntut untuk dikongsi ialah diri dan harta masing2. Menurut mazhab Maliki dan Hanbali, sahnya perkongsian untuk perkara2 yang dibolehkan seperti nelayan yang berkongsi pendapatan dari hasil tangkapan yang diperoleh maka hal ini juga perlu dipraktikkan oleh suami dan isteri untuk kebahagiaan institusi kekeluargaan yang dibina.

Jadi jelaslah perkembangan tamadun manusia mendorong wujudnya beberapa isu kemasyakatan di dalam arus masyarakat masa kini dan di antara isu yang berlaku ialah isu yang dibicarakan pada kali ini. Jika kita lihat perselisihan pendapat Ahli2 Feqah mengenai masalah ini, sesetengah dari mereka melihat keluarnya wanita untuk bekerja ini menjadi penyebab wujudnya kemudharatan kepada si suami dan mendorong untuk bersama2 menyara kehidupan keluarga. Sesetengah dari mereka pula beranggapan keluarnya wanita untuk bekerja tidak akan mendatangkan apa2 kemudharatan kepada si suami kerana isteri bekerja ketika suaminya juga keluar bekerja. Dan ada pula dari mereka yang beranggapan perkahwinan itu sendiri menuntut perkongsian hidup dan harta di antara mereka. Maka pendapat yang dipilih mengenai isu yang dinukilkan ini ialah pendapat yang ketiga iaitu wajib untuk si isteri berkongsi pendapatannya untuk keperluan tambahan keluarga seperti orang gaji dan sebagainya. Ini kerana apabila si isteri bekerja ini akan menambahkan lagi perbelanjaan bagi keluarga tersebut. Jadi sebagai balasannya perlulah suami dan isteri tersebut bersama2 saling bantu membantu menyara keluarga. Dan dalam masa yang sama kerjaya si isteri itu tidak akan mendatangkan kemudharatan yang besar kepada si suami kerana kedua2 mereka bekerja di dalam waktu yang sama. Jadi terbuktilah persepakatan di antara suami dan isteri ketika perkahwinan untuk bersama2 menyara keluarga akan mendatangkan natijah dan hasil yang smpurna demi ikatan perkahwinan yang dibina.

0 comments:

Post a Comment