Hukum Wanita Bekerjaya

Fenomena wanita keluar bekerja untuk mencari pendapatan bermula selepas berlakunya Revolusi Perindustrian yang berlaku pada pertengahan kurun ke-19 Masihi khususnya selepas kebangkitan Dunia dalam menyedarkan kaum wanita dan melatih untuk melaksanakan hak2 wanita sebagai manusia sejagat. Hal ini dinyatakan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia pada 10/12/1948 oleh Pertubuhan Bangsa2 Bersatu. Kemudian ia juga dinyatakan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Dalam Islam pada bulan Disember 1989 oleh Pertubuhan Persidangan Islam. Selepas itu respon golongan wanita terhadap bidang kerjaya ini semakin berkembang sehinggakan ada sesetengah sektor orang lelaki telah mula dikuasai oleh golongan wanita seterusnya meningkatkan lagi kadar pertumbuhan tahunan. Statistik terkini menunjukkan wanita antara penyumbang terbesar kepada institusi kekeluargaan dalam membantu meringankan beban dan meningkatkan taraf hidup disamping sebagai jaminan kepada wanita apabila hilang tempat bergantung. Bekerjaya ini juga dikira sebagai satu pelaburan bagi kaum wanita dalam menghargai bakat dan lebihan masa yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka untuk berbakti kepada masyarakat.

Isu wanita bekerjaya di bidang profesional ini merupakan isu yang tidak pernah wujud sebelum ini. Ini kerana memadai dengan kaum lelaki sahaja yang ditaklifkan untuk menyara instistusi kekeluargaan yang dibina dan menepati dengan kehendak syarak. Adapun keluarnya wanita untuk bekerja sebelum ini hanya untuk tujuan individu dan tidak mencapai bilangan yang besar. Jadi ini membuatkan tiadanya isu fiqh yang khusus untuk membincangkan isu ini. Namun apabila seruan untuk wanita keluar bekerja khususnya secara berkumpulan semakin meluas, maka timbulnya perselisihan pendapat dari Ahli2 Fiqh kontemporari tentang isu yang dinukilkan ini. Tambahan pula keperluan anak2 muda untuk mengahwini wanita2 yang bekerjaya ini dan takut berlakunya fitnah dan kerosakan di dalam arus masyarakat mengundang untuk kajian yang lebih mendalam tentang isu ini.

Ahli Feqah masa kini berpendapat haramnya wanita untuk keluar bekerja sekiranya pekerjaan itu diharamkan oleh syarak seperti pelacuran dan pembuatan arak. Golongan Fiqh ini juga berpendapat bolehnya wanita untuk keluar bekerja sekiranya tiada baginya tempat untuk bergantung atau pekerjaan yang dituntut ke atasnya seperti doktor dan guru. Tetapi Ahli Feqah berselisih pendapat tentang hukum wanita bekerja tetapi dalam masa yang sama tiada kemudharatan atau perkara yang menuntutnya untuk bekerja.

PENDAPAT PERTAMA : Haram untuk wanita bekerja di dalam apa jua bidang sekalipun jika tiada kemudharatan ke atasnya. Ini merupakan pendapat yang masyhur dari Syeikh Abdul Aziz Bin Baz, bekas Mufti Arab Saudi dan Syeikh Mohd Al-Habdan Imam Masjid Al-Iz bin Abd Salam.

Hujah pendapat ini ialah berdasarkan ayat Al-Quran yang berbunyi :

قال تعالى : وقرن في بيوتكن ولا تبرجن تبرج الجاهلية الأولى

yang bermaksud : Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang2 Jahiliyah zaman dahulu. Hujah mereka yang kedua ialah dalil As-Sunnah yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud :

أن النبي قال المرأة عورة فإذا خرجت استشرفها الشيطان وأقرب ما تكون من ربها إذا هي في قعر بيتها

mafhumnya : Wanita itu aurat. Apabila mereka keluar (dari rumah) syaitan akan merasa mulia dan kedudukan golongan wanita ini akan dekat dengan Tuhannya apabila dia berada di rumahnya.

Hujah mereka yang ketiga ialah sekiranya wanita keluar untuk bekerja akan mengundang fitnah dan keruntuhan akhlak. Maka haram untuk mereka keluar bekerja berdasarkan kaedah سد الذرائع. Dan hujah mereka yang terakhir ialah asal syarak meletakkan tanggungjawab wanita adalah di rumah. Jika golongan wanita ini keluar bekerja ia akan menghilangkan kewajipan yang diletakkan syarak ke atas mereka. Jadi keluarnya mereka ini untuk bekerja hukumnya haram.

PENDAPAT KEDUA : Dibolehkan untuk wanita keluar bekerja walaupun tiada kemudharatan ke atas dirinya dengan syarat menepati peraturan syarak seperti menutup aurat, larangan berkhalwat dan tidak menyempitkan hak suami. Ini merupakan pendapat dari Jumhur Ulama' antaranya Para Ilmuan Universiti Al-Azhar dan kebanyakan dari Ahli Feqah masa kini seperti Doktor Yusoff Al-Qaradawi dan pendapat ini telah dipraktikkan di kebanyakan Negara2 Islam.

Hujah mereka yang pertama ialah merujuk kepada ayat Al-Quran yang menyebut :

قاله تعالى : فاستجاب لهم ربهم أني لا أضيع عمل عامل منكم من ذكر أو أنثى بعضكم من بعض

yang bermaksud : Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan FirmanNya) : "Sesungguhnya aku tidak akan sia2kan amal dari orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan (kerana) sesetengah kamu (adalah keturunan) dari sesetengahnya yang lain. Hujah mereka yang kedua ialah sesungguhnya wanita2 pada zaman Nabi Muhammad SAW melakukan beberapa pekerjaan yang umum dan hal itu juga tidak menghalangnya untuk melaksanakan kewajipannya di rumah. Ini menunjukkan bolehnya wanita untuk keluar melakukan kerja2 yang umum seperti yang diriwayatkan oleh أم عطية الأنصاري :

غزوت مع رسول الله سبع غزوات أخلفهم في رحالهم؛ فأصنع لهم الطعام؛ وأداوي الجرحي؛ وأقوم على المرضى

mafhumnya : Aku bersama2 Nabi Muhammad SAW di dalam tujuh peperangan. Aku sentiasa berada di belakang mereka ketika di dalam perjalanan. Aku menyediakan makanan kepada mereka. Aku juga yang merawat mereka2 yang terluka dan membantu mereka2 yang sakit ketika peperangan tersebut.

Hujah mereka yang ketiga ialah keluarnya wanita untuk bekerja menepati maslahah dan kepentingan syarak iaitu untuk membantu si suami menyara keluarga, meningakatkan taraf hidup keluarga, jaminan untuk golongan wanita apabila hilang tempat bergantung dan juga untuk berkhidmat kepada masyarakat. Jadi jika dihitung maslahah2 ini mempunyai nilai kepentingan yang lebih besar berbanding keburukan yang akan berlaku sekiranya golongan wanita ini keluar bekerja.

Jadi jelaslah pembaharuan di dalam tamadun manusia khususnya apabila bermulanya Revolusi Perindustrian pada pertengahan kurun ke-19 menjadi pencetus kepada timbulnya beberapa isu kemasyarakatan antaranya isu yang dinukilkan kali ini. Jika kita lihat perselisihan pendapat Ahli2 Feqah masa kini mengenai masalah ini disebabkan perbezaan pendapat mereka tentang peranan dan tugas wanita itu sendiri. Adakah tugas wanita itu hanya khusus di rumah ataupun bekerjasama dengan suami untuk membangunkan rumah tangga yang dibina. Sebenarnya tugasan di rumah adalah tugasan bersama di antara suami dan isteri. Jadi di antara dua pendapat yang diutarakan mengenai masalah ini pendapat yang dipilih ialah pendapat yang kedua iaitu dibolehkan untuk wanita bekerjaya berdasarkan kekuatan dalil yang dikeluarkan tetapi dengan syarat menepati peraturan syarak seperti yang disebutkan di atas. Peranan golongan wanita ini amat bernilai di sisi masyarakat Islam selepas berubahnya tamadun manusia dari zaman Jahiliyah ke era kegemilangan Islam. Adapun pendapat yang mengatakan peranan wanita hanyalah khusus di rumah, pendapat tersebut di sangkal sama sekali. Ini kerana kebahagiaan rumah tangga tersebut hasil kerjasama yang erat antara suami dan isteri. Hasil kajian dan praktikal yang dijalankan akan berlaku lebih banyak kefasadan dan keburukan jika golongan wanita ini dilarang untuk keluar bekerja seperti yang diperbahaskan oleh pendapat yang pertama.

0 comments:

Post a Comment